Wednesday, March 6, 2013

Bella Awards iktiraf wanita


PENYANYI antarabangsa Ronan Keating menerima kejutan ulang tahunnya dengan sebiji kek yang disediakan oleh pihak penganjur Bella Awards.


PENGANJURAN anugerah yang julung-julung kali diadakan oleh ntv7, Bella Awards dilihat berjaya dari segi menghargai sumbangan dan kejayaan wanita tempatan kepada masyarakat.
Daripada 10 anugerah yang ditawarkan dan satu kategori untuk lelaki iaitu Bella Mars Award, acara yang berlangsung gilang-gemilang di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur itu turut menampilkan wajah antarabangsa antaranya Ronan Keating, Rossa, Gary Chaw, Marcel Siahaan dan Maliq & D'Essentials sebagai penyeri majlis.
Menariknya pada malam yang turut sama meraikan Hari Wanita Sedunia itu, pengiktirafan bukan hanya merangkumi wanita yang aktif di persada seni bahkan juga bidang-bidang lain seperti kecantikan, fesyen, kesihatan, bisnes, kebajikan dan sukan.
Fara Fauzana barangkali nama yang tidak asing lagi dalam industri radio dan selama berkecimpung sebagai penyampai radio selama lebih lapan tahun, Fara melihat pengiktirafan yang diterimanya menerusi Bella Radio Award membuka lembaran baharu untuk audiens berbeza dan lebih meluas.
"Sebelum ini saya banyak menang anugerah berdasarkan pilihan orang ramai dan penghargaan kali ini berbeza kerana lebih urban dan audiens yang lebih besar. Saya rasa lebih diterima oleh orang sekeliling dan ini merupakan anugerah individual urban yang pertama saya," katanya yang tidak menduga akan kejayaan yang diterimanya pada malam Sabtu lalu.
Fara yang sebenarnya menjangkakan kejayaan itu bakal diraih oleh penyampai radio Fly FM, Hunny Madu memandangkan anugerah Bella sendiri yang bersifat hip, moden dan lebih antarabangsa.
Daripada 10 calon awal dalam kategori itu, lima calon terbaik diumumkan sebagai pesaing Fara Fauzana iaitu Dilly, Sara-Jane Lo, Serena C dan Yoon Ng.
Bella Radio Award dipilih berdasarkan undian orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan undian dalam talian di laman rasmi Bella Awards sejak awal bulan Februari lalu.

DATUK SITI NURHALIZA bersama anugerah yang dimenanginya, Bella On-Stage Award.


Tidak ketinggalan, anugerah Bella On-stage Award yang membuktikan Datuk Siti Nurhaliza tetap menjadi pilihan ramai berdasarkan kaedah undian sama seperti Bella Radio Award.
Malam bersejarah itu turut menyaksikan Datuk Ruby Khong merangkul anugerah tertinggi Bella Awards atas sumbangan dan minatnya yang mendalam berbakti kepada masyarakat.
Melihatkan kejayaan yang diraih pada penganjuran sulung ntv7 kali ini, ujar Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airil Zainul memberitahu anugerah ini akan diteruskan pada tahun akan datang.
"Saya sekarang sudah tidak sabar-sabar untuk membeli pakaian baharu untuk tahun depan apabila melihat kejayaan Bella Awards tahun ini dan acara ini akan bertambah meriah pada tahun mendatang," tambahnya.
Kehangatan malam Bella Awards turut diserikan oleh persembahan artis tempatan antaranya Mizz Nina, Joe Flizzow, Darren Ashley dan The Impatient Sisters selain diacarakan oleh Hans Isaac diapit oleh Elaine Daly, Daphne Iking dan Vanessa Chong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: