YUKA menggunakan masa selama lima tahun untuk mempersiapkan diri menjadi penyanyi.
|
SEJAK terkeluar daripada program realiti Indonesian Idol musim kelima pada tahun 2008, semangat Yuka Kharisma tidak pernah luntur untuk mengecapi kejayaan dalam bidang nyanyian.
‘Percutian’ hampir lima tahun yang dilalui oleh Yuka digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki diri.
Beritahu wanita berusia 25 tahun ini, dia menganggap dirinya belum punya rezeki dalam bidang seni, akan tetapi ingin terus berusaha sebaik mungkin.
“Ramai juga peminat yang bertanya kepada saya bila mahu lancarkan single mahupun album. Bagaimanapun, ketika itu saya rasa belum lagi punya rezeki.
“Saya manfaatkan waktu cuti saya itu untuk menjalani latihan vokal bagi memantapkan lagi kualiti vokal saya.
“Selain itu, saya juga sempat menghasilkan sendiri empat buah lagu. Antara judulnya ialah Jatuh Cinta, Pulang, Bukan Dia serta Mati Rasa dan ia bakal dimuatkan dalam album saya kelak,” jelas Yuka yang ditemui ketika mengadakan sesi bergambar yang bertempat di Cosry Couture, Bangsar, Kuala Lumpur.
Akan tetapi, sebelum melancarkan album, Yuka bagaimanapun telah memilih langkah selamat dengan mempromosikan dua buah single di Malaysia dan negara kelahirannya, Indonesia.
Apa yang boleh dibanggakan, dua buah single Yuka yang berjudul Kita Harus Percaya serta Ku Bersedia tersebut telah digubah oleh dua orang komposer terkenal iaitu Pay dan Dewiq.
Yuka bukan sahaja berkolaborasi dengan komposer Indonesia, malah, dia juga telah mendapat kepercayaan untuk membawakan lagu yang digubah oleh komposer tempatan iaitu Azlan Abu Hassan.
“Saya juga ingin mengambil peluang untuk berkolaborasi dengan komposer Malaysia. Antara banyak lagu yang dihantar, pihak Mentari Management merasakan komposer Azlan Abu Hassan mempunyai lagu yang sesuai dengan diri dan suara saya.
“Saya telah pun habis rakaman bersamanya beberapa hari lepas di mana judul single yang dihasilkan itu berjudul Dengan Tiada Luka," bicara Yuka teruja ingin menantikan respon daripada peminat Malaysia terhadapnya.
Apapun, beritahu Yuka, dia berharap peminat di Malaysia akan memberikan peluang kepadanya.
Apa yang boleh dikatakan, ternyata Yuka mempunyai alunan vokal yang baik yang mana ia mampu untuk membawa anak kelahiran Aceh ini ke tahap yang lebih tinggi dalam industri muzik kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: