BUTLER telah dikaitkan dengan banyak wanita, dan semua wanita tersebut menganggap dia mempunyai tarikan tersendiri.
|
BARU-BARU ini, termometer Hollywood panas dengan pengakuan seorang bintang The Real Housewives of Beverly Hills, Brandi Glanville, yang mendakwa ditiduri oleh aktor terkenal Gerard Butler.
Menerusi rancangan televisyen Watch What Happens Live, Brandi mendedahkan, hero filem The Ugly Truth itu merupakan satu-satunya aktor paling terkenal pernah menidurinya.
Brandi juga mengakui kehebatan Butler di ranjang dan memberitahu, prestasi aktor kelahiran Scotland itu adalah menjangkaui 11 daripada 10 markah.
Apabila paparazi bertanya akan hal itu (pendedahan Brandi) kepada Gerard, dia hanya menunjukkan reaksi terkejut dengan mengatakan: "Siapa itu Brandi Glanville?".
Akur dia perlu memberi kenyataan berhubung pendedahan Brandi itu, akhirnya Gerard mengakui melalui satu malam bersama aktres tersebut tetapi tidak mengenali wanita itu sebenarnya seorang pelakon ketika ditemubual oleh penyampai radio, Howard Stern.
"Saya mengenalinya (Brandi) di sebuah pesta pantai dan melalui saat-saat yang menyeronokkan bersamanya," jelasnya.
Mengulas mengenai kenyataannya kepada paparazi yang mendakwa dia tidak mengenali Brandi, ujar Butler, dia sebenarnya tidak mengetahui nama terakhir aktres itu malah tidak tahu Brandi itu sebenarnya seorang pelakon.
Ungkapnya dengan perasaan sedikit marah kepada Howard lagi: "Saya tidak sangka dia akan memberitahu semua orang mengenai perkara ini! (tidur bersama)".
Sebelum ini, Butler banyak dikaitkan mempunyai hubungan dengan aktres-aktres popular termasuk Jennifer Aniston, Jessica Biel, Reese Witherspoon, Cameron Diaz dan Naomi Campbell.
Dia kini didakwa menjalin hubungan dengan aktres dan juga model, Madalina Ghenea. Hubungannya bersama Madalina dikatakan sudah berlangsung selama lapan bulan dan khabarnya pasangan itu akan bertunang tidak lama lagi.
Sering tercedera
Di luar kehidupan peribadinya, aktor tersebut merupakan seorang pelakon yang tahan lasak.
Aktor yang sering berlakon dalam filem aksi itu mengakui, melakukan kesemua lagak ngeri yang diminta pengarah dalam filem lakonannya.
"Saya gembira kerana dapat melakukan aksi lagak ngeri sendiri. Ia rasa berbeza dan puas apabila kita dapat melakukan lagak ngeri sendiri tanpa bantuan daripada pelakon lagak ngeri," jelasnya yang turut melakukan lagak ngeri untuk filem terbaharunya iaitu Olympus Has Fallen.
Biarpun, dia seorang pelakon yang sering membawa peranan lasak seperti wataknya dalam filem 300 sebelum ini sebagai King Leonidas, tetapi dia tidak kebal.
Butler pernah ditimpa kemalangan ketika menjayakan watak peluncur air legenda, Frosty Hesson dalam filem Chasing Mavericks pada tahun 2011.
Ketika menjalani satu babak meluncur dalam filem itu, dia tidak bernasib baik apabila dipukul ombak besar dan mengalami kecederaan. Akibatnya, dia terpaksa dikejarkan ke hospital.
"Saya tiada pengalaman langsung dalam aktiviti meluncur air. Selepas kejadian itu saya rasa ombak agak menakutkan," luahnya.
Ujar Butler lagi: "Saya sedar bila perkara itu berlaku (kecederaan padanya), ramai orang yang berkata, Oh dia dipukul ombak dan lututnya tercedera, tetapi sebenarnya kecederaan yang saya alami agak serius," jelasnya.
Butler memberitahu, peluncur profesional iaitu Zach Wormhoudt, yang turut meluncur pada hari yang sama dia jalani penggambaran, juga dipukul ombak yang sama.
Sebenarnya, kecederaan Butler bukan hanya berlaku ketika penggambaran filem itu sebaliknya aktor itu sering mengalami kecederaan di set-set penggambarannya. Begitupun, Butler mengakui, insiden di set penggambaran filem tersebut adalah yang paling mengerikannya.
"Saya pernah mengalami kemalangan kereta, saya juga pernah tercedera sewaktu merempuh atap rumah, pernah juga tercedera dihentak oleh pelbagai peralatan dan saya hampir pernah kehilangan mata kerana tercedera dalam penggambaran," kongsinya.

SELAIN berbakat sebagai pelakon, Butler juga mampu menyanyi dengan baik.
Belajar guaman
Mengenalinya, anak bongsu daripada tiga beradik itu dilahirkan di Paisley, Scotland.
Merupakan anak kepada pasangan Margaret dan Edward, ketika berusia 18 bulan, kedua ibu bapanya bercerai. Butler kemudian tinggal bersama ibunya dan mendaftar di sekolah tinggi di Paisley.
Di sekolah, Butler merupakan pelajar yang bijak dan sering memperoleh pencapaian cemerlang. Dia juga seorang yang aktif dan pernah menyandang jawatan pengawas dan ketua pengawas di sekolahnya.
Tidak hanya cemerlang dalam pelajaran, Butler juga aktif di bidang teater sekolahnya.
Butler kemudiannya mendapat tempat belajar jurusan undang-undang di Universiti Glasgow.
Setelah berpisah dengan bapanya dan tinggal bersama ibunya selama 16 tahun, akhirnya dia bertemu semula dengan bapanya di sebuah restoran di Glasgow.
Semasa pertemuan itu, kerana tidak dapat membendung rasa sedih dan rindu terhadap bapanya, dia menangis sehingga beberapa jam.
Jelasnya: "Emosi itu memberitahu berapa lama ia sudah tersimpan di dalam hati saya. Kesakitan dan kesedihan yang anda tidak tahu sehingga ia dilepaskan".
Butler kemudiannya menjadi rapat dengan bapanya dan dalam masa yang sama dia meneruskan pengajiannya di Universiti Glasgow serta menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Undang-Undang. Dia juga menyanyi untuk sebuah band rock di universitinya yang diberi nama Speed.
Ketika usianya 22 tahun, bapanya menderita sakit kanser dan akhirnya meninggal dunia. Tidak dapat menerima hakikat itu, hidup Butler menjadi tidak terkawal.
Setelah tamat pengajian, Butler telah mendapat tawaran sebagai peguam pelatih di sebuah firma undang-undang di Edinburgh. Walau bagaimanapun, gaya hidupnya yang kekal tidak terkawal dan dia sering datang lewat akibat suka berpesta menyebabkan dia dipecat.
Semasa berusia 25 tahun, Butler berpindah ke London untuk mencuba nasib menjadi bintang filem.
"Apabila saya berhijrah, saya tidak tahu tujuan utama saya tetapi apa yang pasti saya ingin menjadi terkenal," ujarnya yang kini merupakan salah seorang aktor terkenal Hollywood termasuk Tom Cruise, Brad Pitt, Johnny depp, Bradley Cooper dan Leonardo Dicaprio.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: