
KAMI berpeluang berpakaian masyarakat Arab Badwi sebelum menunggang unta di Gurun Sahara.
MELALUI perjalanan selama hampir 20 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk transit di Dubai dan terus ke Afrika Utara langsung tidak memenatkan.
Menjejak kaki di bumi Tunisia menjadikan saya sedikit gementar. Tunisia sebuah negara yang terletak di hujung utara benua Afrika, baru setahun reda daripada ketegangan politik akibat daripada demonstrasi jalanan secara besar-besaran rakyatnya yang menuntut pembaharuan pemerintah.
Mempunyai penduduk seramai hampir 12 juta dengan bahasa pertuturan Arab, Tunisia dikenali sebagai permata Afrika Utara.
Ini kerana ia mempunyai banyak estetika sejarah yang boleh diterokai sejak zaman pemerintahan Rom lagi. Secara tidak langsung menjadikan ia sebuah negara yang begitu tinggi nilainya dalam sektor pelancongan.
Meneroka setiap hamparan bumi Tunisia, seolah-olah saya seperti Marty Mcfly iaitu watak dalam filem Back to the Future yang mampu pergi ke masa silam.
Hampir setiap tempat yang dikunjungi mempunyai bangunan-bangunan tinggalan sejarah silam bermula sejak zaman pemerintahan Rom.
Tinggalan bangunan yang dibina masih kekal hingga kini melangkaui beberapa tamadun ribuan tahun dahulu. Berdiri dikelilingi tinggalan purba ini sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa serta memaksa minda saya untuk mengagumi, betapa hebatnya teknologi yang digunakan oleh masyarakat dahulu.
Jika diselusuri sejarah Tunisia, ia mempunyai rantaian kisah yang panjang hasil taklukan beberapa buah kerajaan. Terletak di pantai Mediterranean, Tunisia yang membawa maksud Tanjung Tinggi pernah ditakluk oleh kerajaan Rom sebelum kedatangan Islam pada abad ketujuh Masihi.
DESERT Rose terbentuk daripada air laut dan pasir di Laut Garam.
|
Dalam era ini beberapa dinasti Islam silih berganti seperti Dinasti Aghlabid, Dinasti Zirid, Muwahhidun, Dinasti Hafsid hinggalah ke zaman Empayar Turki Uthmaniyah.
Hanya pada 20 Mac 1956 barulah Tunisia mendapat kemerdekaan sepenuhnya apabila Perancis melepaskan penguasaannya dan memansuhkan perjanjian Bardo.
Kemerdekaan yang dicapai itu merupakan hasil usaha yang dilakukan oleh Parti Destour yang dipimpin oleh Habib Bourgiba, Dr. Mahmoud Materi, Tahar Sfar dan Bahri Guiga. Habib Bourgiba telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan setahun kemudian menjadi Presiden Pertama bagi Republik Tunisia.
Tempat menarik
Gurun Sahara sebagaimana kata orang adalah neraka dunia kerana cuacanya yang panas mencapai 38 hingga 44 darjah Celcius, manakala pada waktu malamnya pula kira-kira 10 Darjah Celcius.
Di situ, saya berpeluang menikmati perjalanan merentas Gurun Sahara dengan menunggang unta dan berpakaian seperti Arab Badwi.
Walaupun tidak jauh perjalanan tersebut, namun ia memberikan pengalaman yang begitu bermakna. Di kelilingi lautan pasir halus, seolah-olah saya berada di atas timbunan emas yang begitu luas. Alangkah bahagianya saya jika ia benar adalah emas.
Perjalanan merentas Gurun Sahara juga bukanlah mudah kerana ketika saya berkunjung ke sana pada Disember tahun lalu suhunya agak sejuk.

BANGUNAN Ampitheatre atau dikenali
sebagai Colosseum Rom yang merupakan kawasan bagi pahlawan gladiator
menunjukkan kehandalan suatu ketika dahulu.
Angin sejuk dapat dirasai terutama sekali apabila angin bertiup. Saat itu menjadikan diri saya begitu kerdil apabila melihat keagungan Allah. Subhanallah, begitu hebat sekali ciptaan-Nya.
Saya dapat membayangkan bagaimana susah dan peritnya orang Arab terdahulu terutamanya para sahabat Rasulullah S.A.W berdakwah mengembangkan agama Islam.
Hanya mereka yang hebat dan memiliki iman kukuh sahaja mampu melakukan perjalanan merentas padang pasir yang luas sebegitu.
Melancong ke Tunisia juga menjadi kerugian jika tidak mengunjungi Sidi Bou Said iaitu kawasan pelancongan yang sangat unik terletak di bahagian utara Tunisia lebih kurang 20 kilometer dari pusat bandar Tunisia. Di sini anda dapat menikmati pemandangan indah panorama putih biru.
Tempat ini mendapat nama daripada seorang muslim yang tinggal di situ iaitu Abaou Said Ibnu Khalef Ibnu Yahia Ettamini el Beji pada abad ke-12 Masihi.
Sebelum kedatangannya, tempat tersebut dinamakan Bukit el-Minar. Beliau meninggal dunia pada 1231 Masihi dan ditanam di situ. Kemudian pada abad ke-18 Masihi, kerajaan Turki di Tunisia menjadikan kawasan tersebut sebagai kediaman rakyat.
Jika menurut sejarahnya, pada 1920-an Rodolphe d'Erlanger seorang pelukis dan pemuzik yang tinggal di situ telah menimbulkan idea untuk menjadikan kawasan tersebut dengan tema warna tersendiri iaitu putih dan biru.

SEPANJANG perjalanan dari Tozeur ke Douz, sempat juga kami singgah di Chott El-Jerid iaitu tasik garam yang terbesar di dunia.
Disebabkan itu, saya dapat melihat kesemua dinding bangunan dicat dengan warna putih dan pintu serta tingkapnya pula berwarna biru.
Menurut kepercayaan orang yang tinggal di situ, putih melambangkan hati yang bersih dan suci, manakala biru pula merujuk kepada warna langit dan air laut. Suasana itu semakin terasa apatah lagi ia berdekatan dengan laut.
Sepanjang sembilan hari menjelajah bumi Tunisia, beberapa tempat menarik juga dapat saya kunjungi antaranya Muzium Bardo, tapak tinggalan kota purba zaman Rom di atas Bukit Byrsa, Masjid Uqba bin Nafiq, Hamam Antonin dan Colosseum.
Sememangnya Tunisia merupakan sebuah negara yang kaya dengan estetika sejarahnya yang tersendiri.
Jutaan ucapan terima kasih kepada Safirgo Travel yang menaja perjalanan saya untuk mengembara di bumi Tunisia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: