Saturday, March 16, 2013

Ekspedisi bantu Orang Asli


SETIAP kali berdepan dengan situasi kenderaan yang rosak, masalah tersebut diselesaikan secara bersama.


SEAWAL pukul 8.30 pagi, sebanyak 30 buah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kira-kira 100 orang peserta Kembara Jalinan Kasih Dan Kenali Jiran Kita sudah bersiap sedia di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Kelantan.
Dalam acara yang dijalankan pada 10 Februari lalu itu, kenderaan-kenderaan itu dimuatkan dengan makanan seperti beras dan bahan bacaan.
Ternyata, para peserta kembara yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia, sukarelawan Komuniti 1Malaysia (K1M) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak sabar untuk memulakan ekspedisi murni itu.
Tepat pukul 9 pagi, peserta kembara memulakan perjalanan ke destinasi yang dituju iaitu perkampungan Orang Asli di Kampung Gawin dan Pos Gob.
Walaupun sedar rintangan jalan balak dan perjalanan jauh itu mengambil masa hingga enam jam untuk ditempuh, peserta tetap bersemangat demi mencurah kasih dan bakti kepada Orang Asli yang jauh di pedalaman.
Jelajah Kembara Jalinan Kasih Dan Kenali Jiran Kita bersama masyarakat Orang Asli di Gua Musang itu dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dengan turut disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertubuhan bukan kerajaan dalam merealisasikan slogan Janji Ditepati.
Ia mengagihkan bantuan kepada seramai 310 orang Asli dari suku Temiar di Kampung Gawin dan Pos Gob.
Cabaran pertama bermula sebelum memasuki jalan balak lagi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman mengalami kerosakan.
Hampir setengah jam diperlukan oleh seorang mekanik dalam kalangan peserta untuk memperbaiki kerosakan enjin tersebut.
Sejurus diperbaiki, para peserta memulakan kembali perjalanan menyusuri jalan balak yang amat mencabar.

ANTARA laluan yang disusuri dalam perjalanan menujuke kampung Orang Asli.


Mendaki bukit
Memasuki laluan balak menyebabkan kenderaan-kenderaan tersebut terpaksa mendaki bukit yang tinggi di atas permukaan tanah merah yang berdebu.
Selepas tiga jam merentas laluan berliku, mendaki dan menuruni bukit dengan kelajuan antara 40 hingga 80 kilometer sejam, terdapat juga kenderaan peserta yang terjarak sejauh dua hingga tiga kilometer.
Beberapa kali juga, ekpedisi itu terhenti di tengah-tengah belantara dan bukit-bukau akibat daripada beberapa kenderaan yang rosak.
Alat perhubungan atau komunikasi cumalah menerusi radio amatur yang dibawa sendiri oleh peserta konvoi.
Dengan adanya alat perhubungan tersebut, sekurang-kurangnya semua peserta boleh sedikit menarik nafas lega.
“Walaupun jauh dan jalan yang berisiko, tetapi pasukan konvoi tetap meneruskan misi,” kata Ibrahim.
Perkampungan Orang Asli pertama yang disinggah untuk memberi beras ialah Kampung Gawin yang mempunyai penduduk seramai 250 orang.
“Para kakitangan jabatan dan peserta dibawa mengenali rakyat orang Asli daripada kampung tersebut untuk mengetahui lebih dekat cara hidup masyarakat itu di tengah-tengah bukit bukau,” ujar beliau.
Tinjau perkembangan
“Di samping bertanyakan masalah mereka, kita juga meninjau penggunaan Astro NJOI dalam kalangan mereka yang telah diberikan secara percuma dalam ekspedisi sebelum ini,” katanya.
Selesai perkampungan Orang Asli pertama, para peserta bertolak ke Pos Gob yang mengambil masa dua jam perjalanan.
Bagi menghilangkan rasa letih dalam perjalanan jauh itu, peserta konvoi berhenti menjamu selera di sebatang sungai berhampiran. Nasi berlauk daging dan ayam goreng segera menjadi habuan bagi mengisi perut yang sudah berkeroncong.

PESERTA ekspedisi beramah mesra dengan penduduk kampung Orang Asli.


Setelah selesai makan dan mandi di situ, peserta meneruskan perjalanan ke Pos Gob yang menempatkan seramai 60 penduduk Orang Asli.
Para peserta tiba di Pos Gob kira-kira pukul 5 petang dan terus menyertai acara perlawanan bola sepak antara penduduk Orang Asli di kampung berkenaan dan peserta konvoi.
Malam itu juga, peserta-peserta terpaksa melupakan tilam empuk di rumah untuk tidur bermalam di khemah atau di dalam dewan.
Keesokan harinya, sebelum kembara bertolak pulang, sumbangan beras disampaikan kepada penduduk-penduduk Pos Gob.
Seorang penduduk Orang Asli, Mat Diah Fatin, 45, berkata, masyarakat Orang Asli tidak melupakan bantuan-bantuan yang diberikan kerajaan.
“Kita berterima kasih. Kita juga kasihan mereka sanggup masuk dalam bukit dan tidur di bawah khemah yang sejuk untuk membantu kita. Dengan pemberian seperti televisyen dan perkhidmatan Astro NJOI, kita juga boleh merasai kehidupan seperti masyarakat di luar sana.
“Apa yang penduduk bandar ada, di sini pun ada. Walaupun telefon bimbit tidak berfungsi di sini, kita juga boleh berhubung dengan rakan kita dengan alat radio amatur,” katanya sambil memberitahu kemudahan itu juga disumbangkan kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: