|
SUDAH lama tidak muncul dengan sebarang single, Angin Syurga kini menjadi pengubat rindu buat pencinta Misha Omar.
Dihasilkan oleh gabungan Buddi Hikayat untuk lirik dan Datuk M. Nasir pada melodinya, lagu tersebut kini semakin mendapat perhatian.
Justeru, Misha mengambil keputusan untuk membuat klip video yang pertama kali menyaksikan dia berganding dengan pelakon Nazim Othman.
Malah, klip video Angin Syurga juga merupakan buah tangan sulung pengarah drama Pali Yahya.
"Untuk klip video ini, Misha hanya memandang kamera untuk satu babak sahaja, yang lainnya, ia dibikin seolah seperti sebuah drama," ujar Pali yang mengambil masa sehari untuk menyudahkan klip video tersebut.
Misha yang bakal muncul dengan drama bersiri Nur Kasih Di Jabbal Rahmah sewaktu dihubungi Kosmo! berkongsi cerita tentang lagu tersebut, klip video serta kisah perkahwinannya bersama Firos Ezwan Rosly yang terpaksa ditangguhkan.
Bolehkah Misha ceritakan tentang kisah di sebalik lagu Angin Syurga?
Angin Syurga umpama satu keluhan seorang wanita terhadap status hubungan mereka. Saya rasa ia mirip dengan kisah peribadi saya.
Apakah magis Angin Syurga bagi anda?
Sejujurnya saya tak pasti apa magis lagu ini, namun saya harus katakan lirik dan melodinya yang melekat di hati. Barangkali juga ia terletak kepada kehilangan saya selama ini tanpa sebarang single. Alhamdulillah, sejak bulan Januari, ia mula diputarkan di corong-corong radio, ramai yang memberi komen positif dengan mengatakan vokal saya kedengaran semakin matang.
Siapakah yang memilih Nazim Othman untuk klip video ini? Kenapa dia, bukan pelakon lain?
Pemilihan ini dibuat oleh pengarah, Pali Yahya. Pali berpendapat Nazim mempunyai 'wajah kasihan' yang sesuai dengan jalan lagu ini.
Bagaimanakah anda membina keserasian bersama Nazim?
Sebenarnya tak ada keserasian yang wujud antara kami. Tapi Nazim banyak membantu saya mencari mood dan membuang rasa segan saya berganding dengannya. Dia seorang pelakon baharu yang sangat berbakat.
Bolehkah kongsikan tentang persiapan perkahwinan anda yang sepatutnya dirancang pada tahun ini?
Sebenarnya, saya tidak jadi kahwin tahun ini. Saya telah menunda perkahwinan saya ke tahun hadapan. Jangan fikir bukan-bukan, kerana tiada hal negatif yang berlaku. Kesibukan kami berdua membuat majlis perkahwinan terpaksa dianjak ke tahun hadapan. Bagaimanapun, saya melihat ada banyak hikmah kerana saya boleh memberi fokus terhadap album yang dijadual keluar pada bulan Mei ini. Tahun ini, saya mahu kembali aktif sebagai penyanyi dengan mempromosi album baharu saya.
Bila anda beritahu tak ada hal negatif, ia bertentangan dengan gosip yang kami terima. Anda menunda perkahwinan kerana kononnya tidak mendapat surat cerai daripada bekas suami sebelum ini. Ya, kisah kononnya anda pernah berkahwin dengan seorang usahawan automotif kembali dibangkitkan. Bolehkah anda komen sedikit?
Oh, saya tak berani nak komen tentang surat cerai ini. Cuma apa yang boleh saya tegaskan, saya tidak pernah berkahwin. Sehingga kini pun, saya belum lagi pergi mengambil kursus perkahwinan.
Kalau benar saya ini isteri orang, macam mana saya boleh bertunang dengan orang lain. Dayus suami saya tengok saya bertunang dengan lelaki lain. Jadi tolonglah, jangan bercerita tentang perkara yang tidak wujud.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: