Tuesday, March 12, 2013

Jalinan cinta Nora-Sam

SAM dan Nora menjalin cinta dalam filem Dua Kalimah.


KETIKA pelakon Nora Danish dan Shaheizy Sam muncul di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menjalani sesi fotografi bersama-sama bagi mempromosikan filem Dua Kalimah, kelihatan cukup jelas kemesraan yang terjalin antara mereka berdua.
Kemesraan yang ditampilkan itu bukan sahaja semasa beraksi di depan kamera, malah ketika berada di luar sesi fotografi sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai gosip percintaan mereka berdua sebelum ini.
Mengenai kisah percintaan dengan Sam, ternyata Nora mengakui ia memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, cinta mereka hanya berlaku menerusi filem Dua Kalimah yang akan ditayangkan pada 4 April ini.
"Tidak dinafikan saya sering kali digosipkan bercinta dengan setiap pelakon lelaki yang digandingkan dengan saya seperti yang pernah berlaku terhadap Adi Putra sebelum ini.
"Adakalanya perkara tersebut membuatkan saya agak risau kerana tidak mahu peminat salah sangka, namun saya anggap apa yang berlaku itu lumrah dalam kehidupan sebagai artis," ujar pelakon berstatus janda itu.
Sepanjang 10 tahun bergelar pelakon, Nora mengakui tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk jatuh hati dengan rakan sesama artis dan menganggap hubungan yang terjalin tidak lebih sebagai rakan sekerja.
Jelasnya, bekas suaminya sendiri sebelum ini bukanlah seorang artis. Bagaimanapun, dia tidak menolak ketentuan Allah sekiranya dijodohkan dengan artis pada masa akan datang.
"Secara jujurnya saya hairan apabila selalu digosipkan bercinta dengan rakan artis, sedangkan saya lebih selesa untuk menjalinkan hubungan profesional dalam kerja tanpa menaruh apa-apa perasaan," tegasnya.
Mengenai gandingan dengan Sam dalam filem Dua Kalimah, ibu kepada seorang cahaya mata iaitu Putera Rayqal Ramli itu berkata, sejak dahulu lagi dia berhasrat agar dapat digandingkan bersama.
Ujar Nora, apabila mendapat tahu dia dan Sam akan berlakon dalam filem arahan Eyra Rahman itu, dia lantas memberikan persetujuan dan berasa teruja apabila mereka digandingkan berdua untuk watak utama.
"Selama ini saya memang mengagumi Sam kerana dia seorang pelakon yang hebat dan ia terbukti dengan pelbagai pencapaian yang diraih. Meskipun kami bernaung di bawah syarikat yang sama, baru sekarang kami berkesempatan digandingkan berdua," ujarnya.
Berkenaan dengan wataknya dalam filem ini, Nora menjelaskan ia memegang watak sebagai Selina, seorang gadis kaya yang menjalinkan hubungan cinta dengan Aiman (Sam) semasa sama-sama belajar di luar negara.
Apabila Aiman mahu pulang ke kampung halamannya, Selina mahu mengikut kekasihnya itu. Kemudian konflik berlaku apabila Aiman dibesarkan dalam keluarga yang penuh didikan agama, manakala Selina pula sebaliknya yang menjalani kehidupan lebih bebas.
"Salah satu yang membuatkan saya tertarik untuk membintangi filem ini kerana saya diberikan watak yang lebih serius. Selain itu, ia merupakan sebuah filem berat kerana bercorak Islamik dan sudah tentu memberi cabaran baharu kepada saya," jelasnya.
NORA sedar dia sering digosipkan dengan pasangan dalam filemnya, namun dia menganggap hubungan baik mereka hanya pada tahap profesional.


Luar negara
Melihat kepada laman instagram milik Nora Danish sejak kebelakangan ini, ternyata kebanyakannya adalah gambar-gambar dirinya ketika berada di luar negara.
Jelasnya, pemergiannya ke luar negara secara kerap sejak awal tahun ini bukanlah melancong semata-mata. Sebaliknya, ia lebih kepada tuntutan kerja.
"Pada bulan Januari saya telah berkesempatan pergi ke Jepun untuk menjalani sesi fotografi sebuah produk jenama terkenal setelah saya dilantik menjadi duta. Cuma saya tidak boleh umumkan jenama tersebut buat masa sekarang.
"Kemudian tidak lama selepas pulang dari Jepun, saya mengikuti pula rombongan bersama pengedar produk losen Mustajab ke Singapura memandangkan saya adalah duta kepada produk itu," jelasnya.
Menurut Nora, pada bulan lepas pula dia berkesempatan pergi ke Jakarta. Menariknya, pemergiannya itu bertujuan untuk menjayakan sebuah rancangan terbitan Astro berjudul Republik Cinta Ahmad Dhani sebanyak 10 episod.
Ujarnya, mendapat peluang menjadi pengacara rancangan tersebut memberikan kenangan tersendiri buat dirinya apabila berpeluang mengunjungi rumah komposer dan pemuzik popular itu.
"Sudah tentu saya berasa sangat bertuah kerana tidak semua orang yang dapat berkunjung ke rumahnya yang turut dijadikan studio. Ternyata ia satu pengalaman yang menarik apabila dapat mengenalinya dengan lebih dekat.
"Bagi yang tidak mengenali Ahmad Dhani secara dekat, pasti ramai menyangka dia seorang yang serius dan saya juga agak gementar semasa menemubualnya. Namun begitu, dia sebenarnya seorang yang sangat kelakar dan tidak sombong," ujarnya.
Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Nora memberitahu dalam tempoh terdekat ini dia akan berlakon dalam filem Suamiku Ustaz dan sekali lagi dia akan bergandingan dengan Adi Putra selepas drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pada tahun lalu.
SAM tidak kisah berganding dengan sesiapa sahaja dalam sesebuah karya lakonannya.


Cepat serasi
Sementara itu, Shaheizy Sam yang merupakan teraju utama filem Dua Kalimah pula menyatakan tidak sukar untuk mencari keserasian semasa bergandingan dengan Nora, meskipun kali pertama mereka digandingkan.
Menurut Sam, jika kebanyakan pelakon lain memerlukan sedikit waktu untuk serasi dengan pasangan dalam sesebuah filem, tetapi mereka berdua ternyata cepat serasi bersama.
"Sepanjang menjalani penggambaran dengan Nora, dia buat saya rasa begitu senang untuk kami sama-sama menghayati watak yang diberikan dan sebab itu kami kelihatan agak mesra.
"Saya harap janganlah kemesraan kami ini disalah erti pula kerana apa yang dilakukan itu semuanya atas dasar kerja, malah saya akui memang agak teruja bergandingan dengannya," jelas Sam apabila mengulas mengenai kemesraannya itu.
Pada masa yang sama, Sam juga menyatakan kekagumannya terhadap pelakon cantik itu dan menyifatkan ketika ini sudah banyak peningkatan terhadap lakonan Nora.
"Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan sebarang kisah cinta lokasi. Buat masa ini saya mahu memberi lebih banyak tumpuan terhadap kerjaya lakonan setelah berehat panjang sebelum ini," ujarnya.
Produksi luar
Biarpun ramai yang sudah mengetahui tentang Sam yang menjadi artis naungan Metrowealth Pictures sejak 2010, ia langsung tidak menghalang dirinya untuk terus bekerja dengan produksi luar.
Menurut Sam, pada tahun ini dia banyak menerima tawaran lakonan daripada syarikat lain, termasuk berlakon dalam bersiri Kisah Cinta terbitan syarikat kakaknya sendiri, Zizie Ezette iaitu BZ 2121 Production.
"Dalam drama berkenaan saya berlakon di samping Nadia Aqilah dan Nazim Othman. Ia akan ditayangkan di stesen TV3 dalam tempoh terdekat ini, malah saya turut bertindak sebagai penerbit bersama.
"Selain itu, saya juga akan muncul dalam dua buah filem bersama Red Films Sdn. Bhd. yang bakal memulakan penggambaran pada bila-bila masa sahaja," ujar anak kepada pelakon Khaty Fauziah itu.
Jelasnya, memandangkan sebelum ini dia sudah berehat dalam tempoh yang cukup lama iaitu selama sembilan bulan, kini sudah tiba masanya untuk kembali aktif dalam lakonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: