Friday, March 15, 2013

Rawat guna tapak tangan

SEMASA rawatan Jariah akan meletakkan tangan ke tubuh pesakit untuk membuang gelombang negatif.


SEBATANG tongkat kristal sepanjang 40 sentimeter diangkat ke arah penulis yang sedang duduk oleh wanita berusia 67 tahun itu.
Batang tongkat tersebut seperti rod plastik boleh lentur berputar ke kiri dan ke kanan saat ia ditujukan ke beberapa bahagian tubuh penulis untuk ‘mengimbas’ masalah yang dihadapi.
“Jika tongkat ini berpusing ke kanan, ia menunjukkan anda tiada masalah, namun jika ia berlaku sebaliknya, ada sesuatu yang tidak kena dengan aura anda.
“Anda tiada masalah spiritual, cuma ada sedikit masalah dengan aura emosional dan mental,” kata bekas pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jariah Abdullah ketika ditemui di premisnya, Dr. Marya Health & Beauty di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Jalan Sungai Merab, Bangi, baru-baru ini.
Timbul persoalan bagaimana tongkat tersebut boleh bergerak sedangkan tangan Jariah tidak bergerak sama sekali.
Seolah-olah memahami apa yang bermain di fikiran penulis, Jariah memberitahu rod plastik tongkat tersebut digerakkan oleh gelombang atau tenaga tubuh seseorang yang dirawat.
Selepas diimbas, pesakit yang mempunyai masalah akan dibawa ke bilik rawatan bagi menjalani terapi reiki dengan menggunakan tapak tangan.
“Rei dalam bahasa Jepun membawa maksud universal, manakala ki pula bermaksud tenaga.
“Reiki merupakan satu bentuk tenaga penyembuhan semula jadi dan ia tiada sangkut paut dengan keagamaan,” ujarnya yang mempunyai pengalaman 11 tahun dalam rawatan reiki.
Tambahnya, reiki adalah teknik mudah, cepat dan sangat efektif untuk mengalirkan tenaga penyembuhan daripada pengamal (penyalur) kepada pesakit (penerima).
Walaupun reiki pada asalnya diperkenalkan oleh seorang sami Buddha Jepun iaitu Mikao Usui pada tahun 1922, Jariah yang mempelajari ilmu reiki daripada dua orang reiki master di negara ini sudah mengubah teknik reiki dengan menerapkan elemen Islam menggantikan simbol-simbol Jepun kepada Asma’ al-Husna yang sesuai dikenali sebagai reiki-I.
Berunsurkan Islam
Ditanya sama ada reiki-I mempunyai persamaan dengan yoga atau tidak, Jariah memberitahu bahawa ia adalah dua perkara yang berbeza.
JARIAH melakukan beberapa ujian sebelum seseorang pesakit dirawat.


“Yoga lebih kepada senaman dan memberikan pemulihan sendiri (self-healing), tetapi tidak boleh merawat orang sama seperti tai chi dan qi gong.
“Reiki-I pula boleh berfungsi untuk merawat diri sendiri dan orang lain. Reiki-I terbahagi kepada empat tahap iaitu reiki-I (1), reiki-I (2), reiki-I (3) dan reiki-I (master),” katanya sambil memberitahu mereka yang mendalami reiki pada tahap master boleh melakukan pengubahsuaian mengikut kepercayaan sendiri.
Pada asalnya, reiki mempunyai 500 simbol, namun kini hanya tinggal tujuh simbol yang digunakan.
Setiap simbol ada maknanya dan ia langsung tiada kaitan dengan penyembahan. Setiap simbol mewakili kekuatan, minda, emosional dan sebagainya.
Tujuh simbol tersebut diubah kepada simbol pada Asma’ al-Husna kerana mudah diingati dan mempunyai maksud yang sama.
“Ia dapat merawat semua jenis penyakit bergantung kepada keikhlasan pengamalnya. Reiki ini tenaga, bukan tenaga pengamalnya, tetapi tenaga alam milik Yang Maha Esa.
“Tenaga ini akan masuk ke kepala dan keluar melalui tangan. Pengamal hanya bertindak sebagai medium,” ujarnya sambil memberitahu reiki mampu memulihkan penyakit spiritual (gangguan makhluk halus), kemurungan, gangguan emosi, gangguan mental dan sebagainya.
Jariah memberitahu, pesakit akan berasa panas di bahagian yang sakit ketika sesi rawatan dijalankan dan apabila rasa panas tersebut hilang, itu bermakna tenaga di kawasan tersebut mencukupi.
Reiki menggunakan tenaga yang paling harmoni. Andai pesakit tidak tahu lokasi punca penyakitnya, memadai perawat meletakkan tangan pada badan pesakit.
Aura
Menurutnya terdapat tujuh lapis aura di sekeliling badan. Aura yang besar dan tebal adalah bagus dan jika aura seseorang itu nipis, itu menandakan dia ada masalah.
Sebagai contoh, jika seseorang itu selalu emosional, sensitif, baran, mudah terasa dan cepat marah, ia menunjukkan aura emosinya nipis.
“Sesiapa sahaja boleh menjalani rawatan ini. Tidak kira peringkat umur, bangsa dan agama. Reiki juga boleh dilakukan ke atas bayi di dalam perut ibu untuk memastikan ia sihat atau tidak.
“Rawatan reiki juga boleh dilaksanakan walaupun pengamal tidak bertemu muka dengan pesakit atau jaraknya ribuan kilometer sekalipun kerana ia melibatkan penghantaran gelombang,” katanya yang memberitahu ramai yang tidak percaya kaedah rawatan reiki dan mengaitkannya dengan penggunaan makhluk halus.
Tapak tangan pengamal akan berasa sakit, panas dan seperti dicucuk apabila mengimbas badan pesakit yang bermasalah.
Namun, Jariah lebih senang ‘mengimbas’ pesakit dengan menggunakan tongkat kristal. Selesai mengimbas, pesakit akan dibawa ke dalam bilik untuk rawatan selanjutnya.
“Ketika di bilik rawatan, sebatang jarum akupuntur halus dicucuk di bahagian cakra di atas kepala. Kemudian pesakit diimbas sekali lagi dengan menggunakan kristal bagi mengesan tempat yang bermasalah.
“Tubuh badan pesakit diimbas dengan menggunakan tapak tangan bermula dari atas kepala hingga ke kaki. Gelombang negatif di bahagian bermasalah akan dibuang dan dimusnahkan,” ujarnya sambil memberitahu pesakit perlu bebas daripada bahan metal ketika rawatan dijalankan kerana ia boleh mengganggu.
Gelombang negatif yang dibuang tersebut digantikan dengan gelombang baharu. Proses penggantian gelombang diiringi dengan bacaan ayat-ayat empat Kul dan Asma’ al-Husna.

PUSAT rawatan Dr. Marya Health & Beauty di Bangi menyediakan rawatan reiki-I.


Jariah memberitahu, seseorang pesakit itu perlu merawat masalah spiritual terlebih dahulu jika ada, sebelum meneruskan rawatan mental dan emosional.
Sesi rawatan biasa mengambil masa kira-kira satu jam, manakala tempoh tiga jam diperlukan bagi mengubati masalah spiritual.
Kebanyakan pesakit spiritual akan mempelajari reiki daripada Jariah selepas dirawat.
“Seseorang yang menguasai reiki 1 mampu merawat penyakit-penyakit fizikal seperti sakit kepala, sakit perut dan sebagainya, manakala reiki 2 pula membolehkan seseorang itu merawat masalah emosional, mental dan merawat pesakit jarak jauh.
“Seseorang pada tahap reiki 3 boleh merawat masalah spiritual dan tahap master pula membolehkan seseorang itu menjadi guru reiki yang bertauliah dan merawat pelbagai jenis penyakit dengan izin Allah,” katanya yang sudah merawat lebih 1,000 pesakit.
Mereka yang mahu mempelajari reiki akan didedahkan dengan kelas teori disusuli dengan sesi meditasi yang diiringi bacaan ayat-ayat al-Quran dan selawat selain meminta ampun kepada pencipta dengan tujuan pembersihan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: