|
MUNGKIN ada yang tidak faham maksud pasangan komuter. Pasangan komuter bukan bermaksud mereka yang bekerja dengan pihak Keretapi Tanah Melayu dan bukan juga mereka yang selalu menggunakan komuter.
Pasangan komuter merupakan satu istilah yang sering diguna pakai kepada individu yang berkahwin, tetapi tinggal berjauhan. Mereka jarang berpeluang untuk hidup bersama sebagai suami isteri normal yang tinggal sebumbung. Bahasa mudahnya pasangan suami isteri yang berjauhan.
Jarak bukan halangan
Pengalaman saya mengendalikan kes-kes rumah tangga, isu jarak memang menjadi antara punca kepada masalah kebanyakan hubungan suami isteri kini.
Hakikatnya, jarak bukan alasan untuk bercerai, beralih arah atau pun putus kasih sayang.
Secara logiknya, tidak ada halangan untuk mencapai bahagia walau berjauhan.
Ini kerana kasih sayang yang ada antara suami isteri pada asalnya juga daripada individu-individu yang hidup berasingan sebelum ini.
Rata-ratanya kita berkahwin dengan seseorang dari daerah, negeri malah adakalanya dari negara yang berlainan. Jika jarak bukan alasan untuk membibitkan rasa cinta, wajarkah jarak kemudian dijadikan alasan untuk tidak lagi berkasih sayang?
Asas paling penting dalam hubungan suami isteri adalah melaksanakan komunikasi unggul. Tidak perlu tinggal sebumbung untuk mewujudkan komunikasi unggul.
Ketika inilah pengorbanan perlu dan dituntut iaitu untuk memahami kehendak keadaan semasa.
Jika perlu berjauhan kerana urusan kerja, maka perlu berusaha untuk mengekalkan semarak cinta. Andai berpeluang untuk kembali tinggal bersama, maka ia menjadi satu bonus yang perlu disyukuri.
Ada lima panduan yang boleh diaplikasikan agar cinta anda bersama pasangan komuter kekal mekar dan harum mewangi.
1Perkara paling penting ialah sentiasa sedar diri iaitu mengingati mengenai status anda sebagai suami atau sebagai isteri. Apabila anda sedar diri, anda akan berjaya mengawal diri agar tidak melakukan sesuatu yang melukakan hati pasangan, malah sentiasa berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri seperti yang disarankan oleh syarak.
2Sentiasa wujudkan komunikasi unggul dengan pasangan. Jika berkemampuan, usahakan untuk berkumpul bersama pasangan dan anak-anak paling minimum sekali dalam masa dua minggu.
Hingga tempoh tersebut, sentiasalah berhubungan sama ada melalui telefon, chatting atau apa saja mekanisme komunikasi yang ada pada zaman penuh canggih ini.
Tiada alasan untuk menjarakkan hubungan biarpun berjauhan jika benar-benar menghayati dan menghargai kasih yang ada.
3Jangan bertindak memasarkan diri sendiri dirangkaian sosial terutamanya Facebook atau menerusi saluran komunikasi lain. Jika anda fikir pada mula nya tindakan itu mungkin hanya untuk cuba-cuba, percayalah ia akan berakhir dengan kejadian buruk apabila anda sudah terikat dengan orang baharu.
4Bataskan hubungan anda dalam bergaul dan berkawan. Elakkan hubungan yang terlalu mesra terutamanya dengan rakan berlainan jantina termasuk tidak boleh keluar berdua sahaja tidak kira apa juga alasannya seperti berkongsi kenderaan ke pejabat atau menjadi pendengar setia masalahnya.
Kajian membuktikan kebanyakan kes berkaitan orang ketiga yang menjadi punca kepada pecah-belah dalam hubungan suami isteri bermula daripada hubungan santai tanpa niat untuk memasang pasangan baharu.
5Elakkan juga daripada berkongsi masalah dengan rakan berlawanan jenis tidak kira masalah dengan pasangan atau masalah anda yang lain. Perkongsian masalah itu kerap kali membawa kepada perkongsian perasaan dan emosi yang memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri pasangan komuter ini.
Paling utama, banyak berdoa agar kasih sayang anda sebagai pasangan suami isteri sentiasa utuh dan kekal dan hingga ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: