Saturday, March 16, 2013

Pesta sebelum Nyepi


RUPA bengis salah satu patung syaitan yang dipanggil ogoh-ogoh.


PERAYAAN Nyepi merupakan salah satu daripada perayaan terbesar dalam kalangan penganut Hindu di Indonesia selain Hari Raya Galungan.
Nyepi yang bermaksud sunyi memerlukan penganut agama Hindu di Indonesia menghabiskan masa pada hari itu dengan duduk di rumah bermeditasi atau sekadar berehat.
Mereka disuruh meninggalkan kesibukan kerja serta aktiviti duniawi seperti bersukan dan berhibur. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum Nyepi yang biasanya disambut pada bulan Mac, pelbagai ritual dan upacara dijalankan sempena menyambut perayaan tersebut.
Ketika inilah, penganut agama Hindu terutamanya di Bali serta beberapa bandar lain termasuk Jakarta akan berpakaian cantik, berarak, membuat patung gergasi syaitan dan dewi, membawa penyembahan ke tepi laut serta banyak lagi.
Pendek kata beberapa hari sebelum mereka 'mengunci' diri di rumah masing-masing, mereka akan berpesta.
Lantaran keunikan pesta dan ritual itulah, perayaan menyambut Hari Nyepi sering menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia.
Tiga hari sebelum Nyepi, upacara dipanggil Melasti diadakan dengan kebanyakan penganut Hindu akan berjalan ke tepi laut atau sungai sambil membawa buah-buahan, barang penyembahan dan bermain alat muzik. Selain untuk persembahan dan berdoa, upacara itu dikatakan bertujuan menyucikan kekotoran dalam hati penganutnya.
Satu lagi upacara menarik sehari kemudian dipanggil pengerupukan. Ketika inilah penganut agama Hindu akan keluar ke jalan raya sambil berarak membawa patung gergasi yang dipanggil ogoh-ogoh menyerupai syaitan dan Dewi Kali.
Patung-patung dibuat sendiri menggunakan buluh, kayu dan dawai itu biasanya mewakili sesebuah kampung. Semasa perarakan yang diiringi muzik tradisional itu, ada yang akan menari dan membawa andang api.
Sebahagian besar ogoh-ogoh syaitan kemudiannya akan dibakar sebagai simbolik untuk menghalau syaitan agar tidak lagi mengganggu keamanan penduduk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: