JENTERA lima tempat duduk ini berupaya menawarkan kuasa setinggi 155PS.
|
AWAL Febuari lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan hasrat syarikat untuk menjual 64,000 unit kenderaan bagi tahun ini.
Peneraju segmen hibrid tempatan itu kelihatan agresif untuk meletakkan sasaran sedemikian memandangkan angka jualan tahun lalu sekadar 34,947 unit.
Terjemahan mudah, syarikat automotif jenama Jepun itu mahu menggandakan jualan hampir 90 peratus.
Strategi menuju impian itu sudah digariskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.
Honda Malaysia akan memperkenalkan lima model kereta baharu yang juga merangkumi tiga produk pemasangan tempatan (CKD).
Langkah pertama sudah dilakukan. Model naik taraf CR-Z 2013 sudah dimasukkan dalam pasaran. Selang beberapa minggu kemudiannya, Honda CR-V generasi keempat pula dilancarkan untuk pengguna tempatan.
CR-V terbaharu itu merupakan produk CKD keluaran kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka.
Kilang yang memulakan operasi pada tahun 2002 turut menghasilkan model Civic, City, Jazz hibrid dan Accord.
Untuk makluman, CR-V merupakan jentera pertama keluaran kilang Honda Malaysia. Pada ketika itu, ia merupakan model generasi kedua. Generasi ketiga CR-V menemui peminat tempatan pada 2007.
Dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran generasi ketiga itu, CR-V sudah menerima tempahan sebanyak 3,900 unit yang melepasi sasaran Honda Malaysia untuk setahun.
Unjuran jualan Honda Malaysia pada masa itu adalah 3,600 unit. Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu sememangnya popular.
Ueno menyatakan sehingga kini terdapat sebanyak 34,000 unit model CR-V berada di atas jalan raya tempatan. Statistik itu membabitkan produk sehingga generasi ketiga sahaja.
"Model CR-V serba baharu ini bakal meningkatkan penanda aras SUV ke peringkat yang lebih tinggi menerusi reka bentuk, ruang dalaman, praktikaliti, penjimatan bahan api dan keselesaan," katanya pada majlis pelancaran model berkenaan di ibu negara baru-baru ini.

GARISAN pada badan CR-V generasi keempat membuatnya kelihatan lebih mantap dan moden.
Tempahan 1,000 unit
Percaya atau tidak, Honda Malaysia menyatakan, pihaknya sudah menerima tempahan awal bagi model CR-V generasi keempat itu hampir 1,000 unit.
Itu tempahan diterima sebelum hari pelancaran. Sasaran jualan ditetapkan bagi tahun ini adalah sebanyak 7,000 unit.
Angka itu masih realistik bagi model CR-V memandangkan segmen SUV kini memiliki lebih banyak pesaing berbanding senarionya sebelum ini.
Reka bentuk model generasi keempat itu nyata mencerminkan kemodenan pada keseluruhan badannya. Lampu hadapan jenis projektor dan gril tiga jalur mendatar menyerlahkan lagi imejnya.
Bahagian belakang semakin menarik apabila mengadun set lampu yang kelihatan seperti produk Volvo. Tidak ketinggalan penggunaan antena berbentuk sirip pada bahagian atas bumbungnya.
Buka sahaja pintu, dua perkara pertama yang boleh diterjemahkan menerusi pandangan mata adalah keselesaan dan kemewahannya. Keselesaan penumpang belakang diberi perhatian menerusi pemasangan corong pendingin hawa.
Papan pemuka CR-V turut menerima pembaharuan. Pertama, butang ECON berwarna hijau ditempatkan pada sebelah kanan stereng. Jika ditekan, ia membantu mengoptimumkan penggunaan bahan api secara automatik.
Perkara itu dibantu dengan adanya sistem Eco Assist. Ciri ini mengubah gegelang pencahayaan pada kluster meter. Warna putih menandakan anda tidak efisien. Matlamat pemanduan adalah pencahayaan berwarna hijau.
Buat masa ini, Honda Malaysia hanya menawarkan satu varian enjin kepada orang ramai iaitu petrol 2.0L i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan automatik. Gabungan itu menghasilkan kuasa 155PS pada 6,500rpm.

SISTEM pacuan empat roda CR-V berupaya menyalurkan kuasa pada roda belakang apabila diperlukan.
Ia merupakan tambahan kuasa sebanyak 5PS jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Kuasa kilasnya setinggi 190Nm pada 4,300rpm.
CR-V menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD). Perkara itu dibuat memandangkan Honda Malaysia mendapati majoriti pelanggan tempatan lebih gemarkan sistem pacuan sebegitu.
Berhubung ruang kargo pula, jentera lima tempat duduk itu menawarkan keluasan ruang 589 liter. Kapasiti tersebut boleh ditingkatkan kepada 1,156 liter sebaik sahaja tempat duduk barisan kedua dilipat.
Untuk melipat kerusi belakang, anda hanya perlu menarik tuli yang disediakan. Sekali tarik, tempat duduk kerusi akan dilipat secara sistematik. Cukup mudah.
CR-V ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu biru, putih, perak, hitam dan kelabu. Harga jualan atas jalan termasuk insurans adalah RM148,800 seunit. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Tidak lama lagi, Honda Malaysia akan memperkenalkan CR-V 2.4L dengan harga anggaran sebanyak RM190,000 sebuah. Sama-sama kita nantikannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: