SEMBUNYI: AMUKAN AZAZIL berharap magis Remy Ishak (dari kiri), Diana Danielle dan Sharnaaz.
|
SESI previu filem Sembunyi: Amukan Azazil yang diadakan pada Khamis lalu tetap diteruskan biarpun tanpa kehadiran dua teraju utamanya, Diana Danielle dan Sharnaaz Ahmad.
Hanya pelakon Remy Ishak, Umie Aida, Emelda Rosmila dan Fizo Omar hadir pada majlis itu baru-baru ini. Jelas penerbit filem berkenaan, Tengku Iesta Tengku Alaudin, ketidakhadiran kedua-dua bintang itu tidak akan meninggalkan impak negatif terhadap perjalanan promosi filem berkenaan. Kedua-dua pelakon itu turut diberi sedikit kelonggaran memandangkan masing-masing ada komitmen lain.
"Sharnaaz sekarang sibuk dengan penggambaran lain, manakala Diana pula sedang berada di luar negara (Australia). Ini bukan bermakna Diana tidak akan melakukan promosi kerana dia juga memainkan peranan dengan menghebahkan tentang filem ini melalui internet.
"Kalau ada media yang berminat untuk menemuramah Diana, pihak kami boleh menguruskan untuk berhubung menerusi e-mel atau mengaturkan sebuah sesi khas menerusi Skype," ujar Tengku Iesta.
Diana kini menjadi buruan media setelah sejumlah gambar-gambar yang dimuat naik oleh Diana dan suaminya Farid Kamil menerusi laman Instagram beberapa hari lalu menunjukkan mereka sedang berada di tanah air. Namun, hasrat untuk bertanyakan khabar Diana yang sedang hamil itu tidak membuahkan hasil.
Diana memilih untuk tidak ditemui media tempatan sedangkan begitu aktif berkongsi gambar-gambar dan rutin hariannya bersama pengikut di laman Instagram.
Berbalik kepada Sembunyi: Amukan Azazil, filem seram pertama garapan pengarah Kabir Bhatia itu dinilai sebagai sebuah naskhah yang begitu kreatif. Jalan cerita hasil tulisan skrip Alfie Palermo juga boleh dianggap luar biasa berbanding naskhah seram tempatan sebelum ini.
Adunan drama, aksi serta sarat kejutan di luar jangkaan dalam filem berkenaan disusun Kabir tanpa memperlihatkan kecacatan pada jalan ceritanya. Plot secara yang berlapis-lapis juga menjadi mudah apabila setiap persoalan di minda penonton dibongkar satu demi satu.
Saat diminta mengulas mengenai peranan masing-masing dalam naskhah yang menelan belanja RM1.8 juta itu, setiap pelakon mengambil pendekatan mengunci mulut. Hal itu menjadi satu lagi kejutan semasa majlis pratonton berlangsung. Hal itu dilihat sebagai satu strategi agar Sembunyi: Amukan Azazil mengundang tarikan kuat kepada peminat untuk ke pawagam.
"Tidak banyak yang boleh diceritakan tentang watak saya melainkan saya membawa watak sebagai Ibu Yani. Kalau didedahkan lebih banyak, nanti penonton tidak akan puas pula.
"Pihak media juga diminta agar tidak mendedahkan jalan cerita, nanti penonton tidak teruja menonton filem ini kelak," jelas Umie kepada media.
Filem fantasi dan seram yang judul asalnya ditukarkan daripada Azazil kepada Sembunyi: Amukan Azazil itu ternyata berdepan pelbagai kekangan berkaitan isu sensitif.
Menurut Kabir, beberapa aspek terpaksa diperbaiki demi mengelakkan sebarang pertikaian mengenai unsur yang tidak sesuai dipertontonkan.
"Daripada namanya yang terpaksa ditukar sehinggalah pengakhiran cerita. Asalnya penamat cerita ini berlainan daripada apa yang dirancangkan, tetapi terpaksa dipotong bagi menghormati garis panduan yang ditetapkan.
"Beberapa adegan ganas dan intim juga terpaksa disunting semula. Tetapi ia tidak mengganggu perjalanan filem ini," kata Kabir.
Sembunyi: Amukan Azazil mengisahkan kehidupan lakonan Diana Danielle yang hidup ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.
Hidup mula berubah setelah dibawa bersembunyi di sebuah kampung. Pelbagai situasi yang sukar difahaminya berlaku satu persatu sepanjang dia berada di situ.
Filem terbitan bersama yang turut dibarisi pelakon Sara Ali, Sheila Rusli, Kismah Johar, Aznah Hamid dan Shukri Yahya itu bakal menemui penonton di pawagam pada 28 Mac ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: