Sunday, March 17, 2013

Fidz buat lagu guna iPad

SINGLE berjudul Kerna Dia sandaran Fidz.


ASALNYA Fidz merencana perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi melalui jalan biasa. Dia memilih salam perkenalan ke persada muzik dengan mengeluarkan sebuah single.
Lagu yang diberi judul Kerna Dia hasil garapan komposer Aidi Qalil telah pun diputarkan di corong-corong radio sejak awal tahun ini. Kata pemilik nama penuh Muhammad Hafidzuddin Roslan itu, respons yang diterima juga positif.
"Pastinya ada perasaan teruja apabila lagu kita diterima pendengar. Bahkan respons sebegitu daripada mereka lebih menaikkan semangat saya untuk meneruskan hasrat tersebut.
"Apabila ada yang menghargai usaha, saya tidak ragu-ragu untuk meneruskan impian bergelar seorang penyanyi seperti yang pernah dicita-citakan," kata lelaki berusia 26 tahun itu.
Jalan untuk menempa nama tidak boleh bersandarkan sebuah single semata-mata. Respons positif bukan janji bahawa percaturan yang dibuat sedang berhasil. Anak sulung daripada empat beradik itu akur bahawa tidak mudah untuk bergelar seorang penyanyi, apatah lagi berdepan kekangan kewangan.
Lantas Fidz menemui idea baharu apabila seorang rakannya memperkenalkan sebuah aplikasi mencipta lagu menggunakan gajet mudah alih iaitu iPad yang begitu menjimatkan dari segi kewangan.
"Harga bagi sebuah lagu boleh mencecah hingga RM10,000. Setelah menggunakan aplikasi GarageBand yang boleh dimuat turun dengan bayaran AS$4.99 (RM15.50), saya boleh menghasilkan lagu sendiri dengan pelbagai jenis alat muzik.
"Pastinya cara itu lebih memuaskan hati kerana segala idea yang saya mahukan bebas dicurahkan seratus peratus. Tidak lama lagi saya bakal mengeluarkan single kedua yang dihasilkan sendiri sepenuhnya dengan aplikasi itu. Ia diberi judul Why You Leave Me Alone," katanya.
Biarpun tanpa sebarang pengetahuan luas dalam kerja-kerja menghasilkan lagu, namun usaha anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Percaya bahawa ilmu dan teori muzik harus seiring untuk menghasilkan sesebuah karya yang baik namun Fidz juga yakin sesuatu yang lebih penting ialah menghasilkan muzik tulus dari jiwa.
"Pengetahuan tentang muzik sangat penting tetapi bagi saya yang tidak tahu tentang hal sedemikian, saya harus bekerja keras. Teknologi perisian sungguh membantu, ia boleh mengeluarkan irama dengan hanya menyentuh skrin.
"Selagi ia enak didengar dan mampu mencuri tumpuan, bagi saya itu sudah cukup untuk menghasilkan sesebuah lagu. Jika muziknya boleh meresap ke akal dan hati, lagu itu akan mudah melekap kepada pendengar jua nanti," katanya.
Sebagai perancangan sebelum tirai tahun ini dilabuhkan kelak, Fidz kini mempunyai tempoh kira-kira lapan bulan bagi merealisasikan impian menghasilkan sebuah album.
"Saya merancang untuk mengeluarkan album penuh atau album mini pada November ini. Lagu-lagu berkenaan turut menggunakan aplikasi iPad tersebut.
"Insya-Allah, saya akan berkerjasama dengan seorang penyanyi wanita tanah air," kata pemegang Diploma Seni Lakon daripada Universiti Teknologi Mara dan Diploma Syariah Islamiah daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: