|
PASTI ramai masyarakat di negara ini yang gemar melancong ke luar negara bagi melihat sendiri keindahan negara orang. Tidak kurang juga yang melancong atas tujuan ingin berbelanja besar di negara-negara yang terkenal dengan jolokan syurga beli-belah.
Tetapi berapa ramai pelancong dari Malaysia yang boleh digelar sebagai seorang pengembara? Menjelajah ke negara asing secara backpacker seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pelancong Eropah.
Mungkin tiada apa yang perlu dihairankan jika individu yang melancong secara bersendirian itu merupakan seorang lelaki.
Namun, lain pula halnya jika aktiviti tersebut dilakukan oleh kaum wanita yang mampu membuktikan mereka mampu mengembara bersendirian.
Berbekalkan keberanian dan minat mendalam terhadap dunia pengembaraan telah membawa dua figura wanita yang terkenal dalam dunia travelog Malaysia untuk menjelajah negara asing secara solo.
Menariknya, kedua-dua mereka merupakan wanita yang berani membawa diri ke tempat asing tanpa ditemani sesiapa.
Ternyata apa yang dilakukan mereka memberi inspirasi kepada kaum wanita di luar sana yang masih berasa ragu-ragu dengan kemampuan berkelana seorang diri keluar dari negara masing-masing.
Mahu kenal budaya
Seorang pegawai teknologi maklumat, Siti Noridah Ab. Rahman, 29, mula mengembara secara solo sejak dua tahun lalu ke Thailand sebelum meneruskan penjelajahannya ke beberapa negara di Asia Tenggara antaranya Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
"Saya gemar melancong secara solo untuk memgajar saya lebih berdikari dan berani berinteraksi dengan masyarakat setempat.
"Memandangkan minat utama saya ketika melancong adalah mempelajari perkara baharu di negara orang, saya berjaya menggunakan wang yang ada sebaiknya, tanpa perlu membazir dengan membeli-belah," ujarnya yang mesra disapa Et.
Menurutnya, pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan adalah ketika mengembara secara solo sejauh 2,500 kilometer merentasi tiga buah negara selama 14 hari menggunakan jalan darat.
Pengembaraan tersebut bermula dengan penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh di Vietnam dan seterusnya melewati bandar Phnom Penh, Siem Reap dan Battambang di Kemboja. Kemudian, Et meneruskan perjalanan ke Bangkok dan Hatyai di Thailand sebelum pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas.
"Walaupun berjaya menempuh perjalanan secara bersendirian, saya masih berasa gementar apabila berada di tempat baharu kerana bimbangkan keselamatan diri.
"Namun, setakat ini kebanyakan orang yang ditemui tidak menimbulkan sebarang keadaan mencemaskan," jelas wanita yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.
Meskipun jarang berdepan dengan situasi buruk, Et mengakui tidak dapat melupakan kenangan ketika seorang pelancong asing cuba mengambil kesempatan secara seksual ke atasnya sewaktu bercuti di Phnom Penh.
"Pelancong asing itu kelihatan mabuk dan cuba meraba, tetapi saya sempat mengelak. Sejak peristiwa itu, ketika bercuti saya lebih berhati-hati dengan orang yang mabuk," ujarnya.
Berkongsi tentang tip keselamatan pula, sebagai seorang backpacker wanita dia selalu membawa wisel dan tali besi halus untuk mengikat beg yang dibawa bagi mengelak berlaku kecurian atau apa-apa kejadian yang tidak diingini.
Pada mulanya, minat Et mendapat tentangan ibu bapanya kerana bimbang aspek keselamatan gadis berkenaan memandangkan dia seorang perempuan yang berada jauh daripada pengawasan keluarga.
"Lama-kelamaan kedua-duanya orang tua saya akur dan selalu mendoakan keselamatan saya sepanjang bercuti ke luar negara," katanya yang bercadang untuk mendaki Gunung Rinjani, Lombok di Indonesia pada bulan depan.
Tawan gunung di Indonesia
Berlainan pula dengan seorang peguam muda, Farah Nadiah Zainudin, 27, yang memberanikan diri mengembara secara solo ke Kemboja ketika masih berusia 23 tahun iaitu pada 2009.
"Semasa melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, saya kerap ketinggalan aktiviti percutian yang dirancang oleh rakan sekelas kerana duit yang ada hanya cukup-cukup untuk kos sara hidup sebagai seorang mahasiswa.
"Saya berazam untuk mengembara secara solo bila sudah bekerja selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara pada tahun 2008," katanya.
Farah Nadiah memberitahu, dia gemar melawat negara yang mempunyai tarikan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan tidak kisah berhabis duit untuk membeli peralatan pendakian.
Beberapa kawasan tumpuan pendaki seluruh dunia yang berjaya ditawan gadis dari Kulim, Kedah itu ialah Gunung Semeru, Jawa Timur dan Gunung Rinjani, Lombok di Indonesia serta Gunung Mulu di Miri, Sarawak.
Berkongsi tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakannya pula, Farah Nadiah memberitahu, dia pernah melalui saat mencemaskan ketika melawat New Delhi, India pada Februari 2011 kerana ketika itu berlangsungnya perhimpunan Hari Asyura oleh puak Syiah di sana.
"Terus-terang saya bimbangkan keselamatan diri pada ketika itu kerana saya telah ditolak ke kiri dan ke kanan sewaktu terperangkap dalam ribuan peserta perhimpunan tersebut. Syukur tidak terjadi apa-apa. Saya hanya mengikut perarakan mereka yang rata-rata berpakaian hitam sempena sambutan tersebut," ujarnya.
Tambah Farah Nadiah, pengalaman mendapatkan sebuah beca auto di India adalah sangat mencabar kerana kebanyakan pemandunya biadap dan sukar untuk tawar-menawar.
"Saya baru hendak mencuba tawar-menawar dengan pemandu beca auto untuk mengetahui tentang kadar perjalanan, tiba-tiba mereka berlalu begitu sahaja. Selepas tiga kali mencuba, saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja berpandukan arah yang diberikan oleh masyarakat setempat," jelas Farah Nadiah.
Menurutnya, pengalaman bercuti secara solo sangat berharga kerana dia berpeluang memupuk nilai survival dalam diri meskipun ketika berada di negara orang.
"Jika saya tidak mulakan langkah pertama untuk bercuti secara seorang diri, sampai bila-bila saya tidak akan tahu kemampuan diri sendiri. Tidak dinafikan memang berasa takut ketika mula-mula mencubanya. Rupa-rupanya, ia (bahaya) tidaklah seperti yang digambarkan, malah menyeronokkan," jelasnya.
Adakalanya gadis genit itu turut mengembara bersama beberapa orang rakan yang berkongsi minat sama bagi mengurangkan kos perjalanan dan bersesuaian dengan aktiviti lasak yang disukainya.
"Kadang-kadang memang tidak mampu untuk pergi semua destinasi impian secara berseorangan dan lebih baik untuk bercuti secara berkumpulan.
"Bagi percutian dalam negara pula, saya selalu mengikuti aktiviti anjuran Tourism Selangor yang aktif mengadakan lawatan ke lokasi menarik di negeri itu," katanya yang pernah dicalonkan dalam Anugerah Blog Eko-pelancongan Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.
Beberapa negara yang telah dilawati Farah Nadiah secara solo ialah Indonesia, Filipina, Kemboja, Myanmar dan India.
Maklumat lanjut berkenaan kisah menarik tentang perjalanan kedua-dua gadis itu boleh dilayari di www.derubirusiti.blogspot.com dan www.thatsofarah.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: