Saturday, March 23, 2013
Lisa hanya percaya ibu
SELEPAS memilih haluan untuk menguruskan kerjayanya bersendirian tanpa bernaung dengan sebarang syarikat pengurusan, Lisa Surihani mengakui lebih selesa dan membantunya mempelajari selok-belok dunia hiburan.
Lisa meninggalkan syarikat pengurusannya sebelum ini, Metrowealth Sdn. Bhd. selepas bersama syarikat gergasi milih David Teo itu selama lima tahun.
“Saya melayan individu sekeliling saya dengan lebih berhati-hati dan perlu memilih prioriti apabila berurusan dengan pelanggan.
“Kini sudah tiada lagi orang ketiga yang akan menguruskan kerja saya seperti sebelum ini melainkan ibu saya yang saya sifatkan momager (mom & manager),” kata Lisa yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran drama bersiri Maskara di Red Box Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lisa bagaimanapun enggan bernaung di bawah syarikat produksi milik suaminya Yusri Abdul Halim iaitu KRU Studios kerana bimbang akan timbul isu pilih kasih.
“Conflict of interest adalah faktor utama kenapa saya tidak mahu bernaung di bawah pengurusan KRU Studios, selain itu saya tidak mahu timbul salah faham memandangkan saya isteri kepada Yusri yang juga salah seorang pemilik syarikat itu. Lagipun, Yusri sependapat dengan saya akan hal ini dan menyokong keputusan saya,” ujarnya.
Biarpun menguruskan sendiri kariernya, Lisa tetap mendapatkan pandangan daripada Yusri dan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.
“Dia mempercayai saya sepenuhnya dan kami akan berbincang semua perkara yang baik dan buruk sebelum membuat keputusan,” tambah Lisa.
Dalam perkembangan lain, Lisa memberitahu, dia bakal membintangi sebuah filem yang diarahkan oleh suaminya sendiri tidak lama lagi.
Biarpun pernah berlakon bersama Yusri dalam filem Ular yang masih menunggu tarikh tayangan sebelum mereka mendirikan rumah tangga, Lisa mengakui terdetik perasaan takut untuk bekerja di bawah arahan suaminya nanti.
“Kalau sebelum ini kami pernah berlakon bersama tapi kali ini dia akan mengarah lakonan saya pula. Saya sendiri sebenarnya tidak begitu pasti untuk bekerja di bawahnya sebab saya seorang yang manja.
“Yusri pula tegas waktu bekerja. Kalau di rumah pun ketika dia sedang bekerja, muka dia tidak pernah tidak serius. Saya tidak dapat bayangkan situasi di set penggambaran filem itu nanti.
“Kami juga ada bertanya sesama sendiri, apabila berada dalam set bagaimana kami mahu panggil nama masing-masing?” kata Lisa yang sebelum ini pernah menjadi pembantu peribadi Yusri ketika penggambaran filem Vikingdom.
Lisa juga akan muncul dalam dua buah telefilem berjudul Jawa Taiko dan Mama Mama Mia bersama pelakon muda Hanis Zalikha.
Dalam pada itu, berkongsi pengalaman berlakon bersama tiga aktres berbakat besar menerusi drama Maskara iaitu Nasha Aziz, Anzalna dan Andrea Abdullah, kata Lisa, hubungan yang terbentuk berterusan hingga ke luar set penggambaran.
“Nasha, Anzalna dan Andrea ibaratnya sudah menjadi kawan yang sangat rapat sekarang. Bekerja bersama Nasha sebenarnya memberikan perasaan dan pengalaman berbeza berbanding sebelum ini kerana sikap profesionalnya yang membuka mata saya sebagai orang baharu dalam industri,” katanya.
Maskara merupakan drama bersiri arahan Nizam Zakaria yang mengetengahkan kekuatan wanita dan bakal bersiaran di TV1 pada setiap Khamis pukul 10 malam bermula April ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: