Saturday, March 23, 2013

Sheila gesa karyawan mendaftar


DARI kiri: Habsah, Sheila dan Adrian pada sidang media MACP bersama PPM dan RPM di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PADA bulan Mac 2012 kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah meminda Akta Hak Cipta 1987, salah satunya berhubung dengan kutipan royalti dalam kalangan artis.
Antara pindaan yang dibuat, kerajaan telah memberi syarat agar setiap badan pengutip royalti perlu berdaftar dengan kementerian terlebih dulu serta mendapatkan lesen dan sesiapa yang melanggarnya boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
Ternyata dengan syarat yang ditetapkan itu telah menjejaskan pengurusan beberapa badan pengutip royalti seperti Music Authors' Copyright Protection Bhd. (MACP), Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM), Recording Performers Malaysia Bhd. (RPM) dan Prism Berhad (Prism)
Bagaimanapun, tiga buah badan iaitu MACP, PPM dan RPM kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi pengiktirafan dengan pemberian lesen menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kepada ketiga-tiga badan pengutip royalti berkenaan.
Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid menyatakan, dengan lesen yang dimiliki sejak awal Mac ini akan memudahkan lagi pihaknya mengutip royalti yang sememangnya menjadi hak penyanyi dan pemuzik.
“Sehingga kini RPM sudah memiliki seramai 250 orang ahli yang sudah berdaftar dan menerusi lesen yang telah diberikan ini menyeru supaya lebih ramai lagi yang berdaftar dengan kami.
“Biarpun RPM dilihat sebagai sebuah badan pengutip royalti yang baharu, kami berazam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan supaya nasib para ahli terbela,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Pengerusi MACP, Habsah Hassan dan Pengerusi PPM, Adrian Lim iaitu dua buah badan pengutip royalti yang turut diberi lesen oleh kerajaan.
Menurut Sheila, memandangkan, RPM baru sahaja dua tahun ditubuhkan masih lagi banyak perkara yang perlu dipelajari dan antara langkah yang telah diambil adalah dengan menerangkan kepada para penyanyi dan pemuzik tentang hak sebenar mereka apabila mendaftar sebagai ahli.
Jelasnya, dengan keadaan industri muzik sekarang yang tidak menentu serta penjualan album yang semakin merosot, sudah tentu royalti boleh dijadikan salah satu sumber pendapatan kepada mereka.
“Saya sendiri seorang penyanyi dan sudah tentu saya tahu keadaan sebenar yang berlaku dalam industri sekarang. Sebelum ini saya kurang ambil tahu mengenai royalti, tetapi kini ia merupakan satu perkara yang perlu diambil serius agar hak masing-masing terjamin.
“Selain itu, kami bertekad untuk menjalankan pengagihan royalti yang lebih telus. Kami akan menerangkan kepada para ahli tentang cara pengagihan supaya mereka mendapat maklumat yang lebih jelas lagi,” jelasnya.
Ujar Sheila, dia sangat berharap agar tiada lagi sebarang masalah kontroversi yang timbul pada masa akan datang memandangkan RPM kini sudah pun mendapat pengiktirafan kerajaan.
Ejen pengutip royalti
Memandangkan RPM masih lagi baru beroperasi sebagai sebuah badan pengutip royalti, mereka telah mengambil keputusan untuk melantik PPM sebagai ejen pengutip royalti bagi pihak mereka.
Pengerusi PPM, Adrian Lim pula menjelaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan RPM secara rasmi sekarang setelah kontraknya sebagai ejen kepada Prism Sdn. Bhd. sudah berakhir dua tahun lalu.
“Baru-baru ini RPM ada menyatakan hasrat mereka tentang kerjasama ini dan kami sudah memulakan tugas mengutip royalti bagi pihak mereka pada bulan ini.
“Dengan pengiktirafan yang telah diperoleh oleh ketiga-tiga badan ini, sudah tentu kami sepakat untuk berganding bahu dan berharap agar kutipan royalti akan meningkat selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Sheila menjelaskan, pihaknya terpaksa melantik PPM sebagai ejen pengutip royalti memandangkan mereka lebih berpengalaman dan sudah ditubuhkan selama 24 tahun.
“Buat masa ini kami akan menyerahkan tugas mengutip royalti kepada mereka terlebih dulu, tetapi bukanlah buat selama-lamanya kerana kami akan mengutip sendiri royalti setelah RPM mampu berbuat demikian,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: