SOPHIE RAY, dari Wrexham, Wales, tidak mempunyai tabiat makanan yang betul sejak berumur dua tahun dan ketika dia berumur 11 tahun, dia hanya memakan makanan berasaskan keju serta piza sahaja.
Dia yang mengalami gangguan pemakanan mengakui fobia hampir kepada semua makanan malah masalah itu semakin rumit apabila dia sentiasa takut untuk mencuba hidangan baharu. Masalah itu bermula apabila dia mengalami penyakit gastroenteritis, ketika berusia dua tahun.
Berikutan penyakit radang usus itu, dia mula takut dengan makanan dan hanya boleh memakan pasta keju, kentang goreng dan sandwich. Dia juga boleh memakan kulit piza sahaja tanpa ramuan tambahan kadangkala boleh bertahan sehingga tiga hari.
"Saya suka piza, setiap jenama menawarkan rasa yang baharu, tetapi ia adalah semua makanan yang sama, jadi saya tidak perlu untuk mencuba makanan baharu.
"Kata ibu, sejak sakit, saya menjadi takut untuk makan kerana fikir makanan menjadi penyebab kepada penyakit saya. Saya mula makan pasta dan kemudian memakan sandwich setiap hari selama empat tahun.
|
"Kemudiannya, saya mempunyai keberanian untuk mencuba piza apabila berumur 11 tahun dan saya memakannya setiap hari untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Jika saya tidak mempunyai peluang untuk makan piza sebelum pergi ke kolej, saya tidak akan makan sepanjang hari, kerana tiada apa-apa lagi yang boleh saya makan, jadi saya tunggu sehingga saya pulang ke rumah," ujar pelajar seni persembahan itu.
Tambahnya, dia akan memasak sendiri piza kerana dia tidak boleh memakan piza yang sejuk serta tidak mempunyai sebarang bahan tambahan di atasnya.
"Saya tidak pernah menyentuh buah-buahan atau sayur-sayuran kerana takut. Hasrat untuk mencuba makanan lain membuatkan saya sangat cemas, sakit dan benar-benar tertekan. Bau sesetengah makanan juga boleh membuatkan saya muntah.
"Ramai orang mengatakan saya seorang yang cerewet tetapi sebenarnya ia adalah fobia. Ibu pernah menyuruh saya mencuba makanan baharu tetapi saya rasa itu ibarat meminta seseorang yang membenci labah-labah untuk memegang serangga tersebut," katanya.
Selepas berjumpa pakar makanan, Sophie dinasihatkan untuk mencuba makanan baharu.
"Saya makan semua jenama piza tetapi jika piza mempunyai apa-apa ramuan lain di atasnya, saya tidak akan dapat memakannya.
"Gangguan pemakanan ini juga membuatkan saya berasa agak rendah diri dan kadangkala berasa tertekan ketika keluar makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Agak sukar untuk menukar diet saya selepas makan seperti ini untuk sekian lamanya.
Pakar Pemakanan, Carina Norris memberitahu, cara pemakanan yang diamalkan Sophie itu membuatkan dia akan kehilangan segala vitamin dan mineral yang diperoleh melalui makanan.
"Kumpulan pakar yang menjaga tabiat pemakanannya akan beransur-ansur memperkenalkan menu baharu untuk dimasukkan ke dalam dietnya kerana ini merupakan satu masalah dan bukannya trend.
"Untuk permulaan, dia boleh bermula dengan ramuan tambahan yang berbeza pada piza tetapi dia perlu memulakan secepat mungkin, kerana apa yang dimakan ketika masih muda mempunyai kesan yang besar ke atas kesihatan anda dalam kehidupan masa depan," jelasnya.
Seorang jurucakap dari Persatuan Amal Gangguan Pemakanan Beat memberitahu, terdapat gangguan dalam pemakanan jika seseorang mula memfokuskan kepada sejenis hidangan makanan tertentu sahaja yang biasanya tinggi lemak atau karbohidrat.
"Penyelidikan baru-baru ini menunjukkan lebih ramai orang dewasa mendapatkan khidmat pakar untuk mengatasi penyakit ini berbanding kanak-kanak," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: