|
MELIHAT susuk tubuh dan paras rupa lelaki yang berumur 30-an ini tidak kurang hebatnya ditambah pula dengan kerjayanya dalam bidang pengiklanan di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Namun, siapa sangka pada usianya itu, Imran masih belum berkahwin. Dia bukan tidak ghairah pada wanita tetapi hasratnya untuk berkeluarga sering terbatas akibat syarat-syarat yang ditetapkan ibunya dalam menerima calon menantu. Untuk itu, Imran terpaksa memendam dulu hasratnya untuk berkahwin.
Imran dilahirkan hanya selepas tujuh tahun ibu bapanya berkahwin. Bagi ibu bapanya, Imran merupakan anugerah terbesar yang perlu ditatang dengan penuh kasih sayang supaya menjadi insan yang berguna. Apatah lagi terhadap budaya-budaya yang negatif.
“Segala pergerakan dan keperluan saya diaturkan oleh ibu dan dunia saya ketika itu hanyalah di rumah dan sekolah sahaja.
“Ibu tidak membenarkan saya berkawan dengan rakan sebaya kerana khuatir mereka mempengaruhi saya.
“Jika selepas waktu persekolahan, kawan-kawan saya akan menghadiri tuisyen di pusat-pusat tuisyen di pusat bandar tetapi saya hanya dihantar mengikuti kelas tuisyen di rumah seorang guru yang terletak di hadapan rumah saya dengan jaraknya tidak sampai 10 meter pun,” luah Imran.
Perli
Pesanan jangan berkawan dengan orang yang tidak tentu hala sering diungkapkan oleh ibu kepada Imran. Betapa ibunya mengawal setiap pergerakan dan pergaulannya.
Cerita Imran, walaupun kedua-dua ibu bapanya bekerja, mereka tetap memantau setiap pergerakan Imran termasuklah dengan siapa dia berkawan dan aktiviti apa yang dilakukannya.
“Habis sahaja waktu persekolahan, saya dikehendaki pulang terus ke rumah dan tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana tanpa izin mereka.
“Semasa berada di sekolah menengah, ayah membelikan saya sebuah motosikal sebagai kemudahan untuk berulang-alik ke sekolah.
“Dengan adanya kemudahan itu, saya fikir pergerakan saya mungkin akan bebas. Namun, lain pula yang terjadi.
“Saya tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana melainkan untuk pergi dan balik sekolah sahaja. Dunia sekolah dan rumah saya rupa-rupanya masih belum berakhir,” katanya yang terpaksa menuruti segala peraturan yang ditetapkan ibu bapanya walaupun hatinya memberontak.
Imran kemudiannya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta di Melaka.
“Jarak yang jauh daripada ibu bapa dan pengalaman pertama tinggal berjauhan, membuatkan saya betul-betul mengenal dunia.
“Dengan kemudahan kereta yang ibu bapa berikan, saya mula keluar melepak bersama kawan-kawan dan ada masanya saya juga ke kelab malam untuk berseronok,” katanya.
Sesekali tersenyum penuh makna, bercerita kisahnya, Imran memberitahu bahawa kebebasan yang dirasai itu bukanlah kebebasan yang mutlak, tapi cukuplah untuk dia merasai nikmat hidup tanpa kongkongan keluarga.
“Walaupun berada jauh di Melaka, kedua-dua orang tua saya mensyaratkan supaya saya balik setiap minggu ke Kuala Lumpur.
“Saya sering diperli oleh rakan-rakan kerana bagi mereka kawalan yang dibuat oleh ibu bapa saya mengalahkan kawalan untuk seorang anak perempuan.
“Pernah satu kali saya melepasi waktu yang ditetapkan, telefon saya tidak pernah berhenti berbunyi dengan deringan telefon dan mesej. Tidak senang duduk saya dibuatnya,” keluhnya.
Memasuki alam pekerjaan merupakan perkara terindah bagi diri Imran kerana komitmen serta tanggungjawab benar-benar mengajar Imran menjadi dewasa.
“Saya ingatkan apabila sudah bekerja, kongkongan keluarga terhadap saya berkurang, rupa-rupanya tanggapan saya itu salah.
“Ibu sering bertanya tentang hari cuti saya dan saya mengambil keputusan untuk tidak memberitahu mereka apabila saya bercuti.
“Ketika ini, saya masih lagi dipaksa menghadiri majlis-majlis yang diadakan oleh kaum keluarga termasuklah menjadi peneman ibu ke kenduri kahwin,” ceritanya.
Imran sudah seakan terbiasa sehinggakan setiap kali ingin membeli pakaian atau keperluannya, dia akan menelefon ibunya untuk mendapatkan kebenaran.
“Jika difikir secara logik, saya bukan lagi kanak-kanak yang tidak tahu membuat keputusan, tetapi ini semua kerana perkara ini sudah sebati dalam diri saya.
“Rimas dengan kongkongan, saya cuba mengelak. Tapi tabiat memberi laporan atau memberitahu setiap pergerakan ini seakan-akan menjadi kemestian yang saya akan buat. Saya pun tidak pasti sampai bilakah tabiat ini akan hilang,” luah Imran mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: