|
LANDAK raya atau Hystrix brachyura merupakan sejenis mamalia berbulu keras di seluruh bahagian badan.
Bulu landak yang sering digambarkan sebagai duri beracun pula merupakan mekanisme pertahanan landak.
Di sebalik keupayaan melepaskan duri, landak sebenarnya mampu memecut dengan laju untuk melarikan diri dari pemangsa seperti harimau. Sekiranya landak tidak sempat melarikan diri, landak akan mengembangkan bulu kerasnya sehinggakan seluruh tubuh mamalia itu kelihatan penuh dengan duri tajam yang keras terpacak.
Sesetengah landak bertindak menyerang pemangsa, menyebabkan durinya boleh tercucuk kepada pemangsa tersebut tetapi bukan semua spesies landak mempunyai bulu yang keras. Terdapat juga spesies landak yang mempunyai bulu lembut seperti Trichys lipura di Borneo.
Penyembuh luka
Daging landak yang berprotein tinggi, lembut, tidak mengandungi lemak dan kurang serat menjadikan ia semakin diminati penggemar makanan eksotik.
Malah, peratusan protein daging landak raya sama dengan daging lembu dan kambing selain mengandungi asid amino yang tinggi dianggap ubat mujarab untuk proses penyembuhan luka.
Menyedari hakikat itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak tahun 2005 giat menjalankan program pembiakan baka landak raya secara komersial.
Program berkenaan turut memberi nilai tambah kepada usaha memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini selain memberi impak besar pada bilangan populasi hidupan liar dalam kurungan melalui sistem pembiakan teratur dan aplikasi teknologi pembiakan terkini.
Projek penternakan komersial menambahkan bekalan landak untuk pengusaha restoran daging haiwan eksotik itu yang semakin banyak susulan mendapat permintaan ramai.
Selain Malaysia, landak dalam spesies Rodentia keluarga Hystricidae itu turut ditemui di tenggara China, Hainan, Nepal dan negara Indo-China (Vietnam, Kemboja dan Laos).
Di Malaysia, terdapat tiga spesies yang biasa ditemui iaitu landak raya (Hystrix brachyura), landak nibong/ landak batu (Atherurus macrourus) dan landak padi (Trichys fasciculate).
Landak raya selalunya ditemui di kebun, kawasan ladang dan dusun buah-buahan serta hutan tetapi populasinya agak berkurangan ketika ini selain sukar untuk menangkap atau memburu landak raya ini.
Dalam keadaan liar, landak raya biasanya akan membina terowong dalam tanah dan lubang pada banir pokok sebagai tempat tinggal. Terowong yang dibina itu pula biasanya mempunyai beberapa lubang keluar. Haiwan ini lebih aktif pada waktu malam dan balik ke sarang pada waktu subuh.
Harga mahal
Menurut Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, projek pembiakan komersial landak raya dijalankan di Pusat Penyelamat Spesies Hidupan Liar Sungai Tengi (PPSHL Sungai Tengi), Kuala Kubu.
"Selain menyelamatkan spesies ini, PPSHL Sungai Tengi bertanggungjawab menternak baka landak raya untuk dijual kepada penternak komersial selain memberikan khidmat nasihat.
"Sehingga kini, pusat ini sudah menternak 220 ekor landak dengan 110 baka (50 pasang) manakala 80 ekor sudah dijual kepada penternak komersial dengan harga RM200 seekor," ujarnya.
Rahim memberitahu, masalah utama dalam penternakan pembiakbakaan landak raya adalah untuk mendapatkan pasangan landak yang serasi. Haiwan ini sangat cerewet memilih pasangan selain susah untuk serasi antara satu sama lain.
"Untuk itu, kita akan pasangkan landak bagi melihat keserasian dan jika tidak serasi, ia akan bergaduh sehingga membawa kepada luka yang menjadi punca utama jangkitan penyakit.
"Tempoh bunting haiwan ini adalah selama tiga bulan dan induk bunting boleh melahirkan sehingga empat anak. Bagaimanapun, kebiasaannya melahirkan seekor hingga dua ekor anak, namun pernah direkodkan melahirkan sehingga tiga anak," tambahnya.
Jelasnya, berat seekor landak raya ialah 340 hingga 370 gram semasa dilahirkan dan menyusu sehingga umur 100 hari tetapi pada umur 10 hingga 14 hari ia sudah mula makan pepejal.
"Bagi tujuan pembiakbakaan, anak landak akan diasingkan daripada ibunya pada usia dua bulan bagi membolehkan ibunya membiak lagi. Ukuran seekor landak raya dewasa ialah 51.5 hingga 85 sentimeter dan berat di antara empat hingga 10 kilogram (kg).
"Setakat ini, berat sebanyak 24kg pernah direkodkan di dalam kurungan dan peratus berat badan seekor landak raya yang sudah dibersihkan ialah 60 hingga 66 peratus (daging)," beritahu beliau.
Ujarnya, mengikut kajian yang dijalankan, seekor landak raya mempunyai 30,000 duri untuk mengelak daripada musuh dan jika terlampau agresif, duri tersebut boleh tertembak dengan sendirinya tetapi ia tidak boleh pergi jauh selain berpotensi untuk dijadikan sebagai kraftangan.
Makanan
Menurut Penolong Pegawai Veterinar Kanan, Sugenah Maidin Kuty, proses untuk menternak landak raya sehingga boleh dijual mengambil masa sehingga 10 bulan.
"Di PPSHL Sungai Tengi, amalan pengurusan harian landak raya ialah membersihkan kandang, memberi makanan dan mengaturkan pembiakan. Makanan segar seperti keledek, betik, sengkuang, nangka, daun nangka, timun dan labu akan diberikan mengikut kadar 10 peratus daripada berat badan landak raya tersebut dan satu peratus bagi makanan dedak atau 'pelet' selain pemberian ubat cacing setiap tiga bulan sekali.
"Bagi tujuan komersial dan ternakan ia diletakkan dalam kurungan besi berukuran 100 sentimeter panjang, 90 sentimeter lebar dan tinggi 77 sentimeter. Di pusat ini, kita mempunyai sebanyak 122 kurungan besi dan setiap landak akan ditandakan dengan cip khas untuk tujuan pengenalan pada umur dua bulan selepas pengasingan daripada ibunya.
"Peratus kematian landak raya yang dibela dalam kurungan besi juga agak rendah iaitu sekitar 0.5 hingga satu peratus dan penyebab utamanya berpunca daripada kecederaan ketika pergaduhan sesama sendiri yang akhirnya menyebabkan 'myiasis' iaitu luka berulat," tuturnya.
Bagi Pembantu Hidupan Liar, Mohd. Noor Itam, 50, pula memberitahu, landak raya sebenarnya boleh dijinakkan dan haiwan itu hanya bertindak agresif ketika proses penangkapan dilakukan.
"Setakat ini, saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya luka kecil sahaja," tambahnya yang sudah berpengalaman menjaga landak raya sejak tahun 2006.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: