|
DALAM filem Eat, Pray, Love lakonan Julia Roberts, persinggahan watak utamanya, Elizabeth Gilbert, di Itali menggambarkan negara tersebut amat menggoda dengan pelbagai tarikan kulinari.
Terkenal dengan sajian pasta, Itali sememangnya boleh dianggap syurga bagi destinasi gastronomi oleh pencintanya. Tidak ketinggalan, kota fesyen, Milan yang terletak di wilayah Lombardi turut mempunyai seleksi makanan tersendiri.
Terbaharu, rangkaian restoran kasual terkemuka, Italiannies tampil dengan kuisin keemasan cita rasa Milan yang mampu membangkitkan selera pengunjung.
Melalui promosi Passport to Italy: Taste of Milan, sebanyak lima hidangan istimewa diperkenalkan sebagai pilihan selain menu sedia ada buat pengunjung.
Ketua Chef Kumpulan Restoran Italiannies, Fazil Shahreen Ahmad, 32, berkata, promosi itu merangkumi satu sajian pembuka selera, tiga sajian utama dan satu hidangan pemanis mulut.
"Seperti kebanyakan kota di Itali, kuisin Milan dipengaruhi budaya makanan serantau iaitu tipikal kuisin Lombardi. Ia menampilkan sajian berasaskan nasi seperti risotto dan masakan berasaskan mentega serta krim.
|
"Selain itu, terdapat juga variasi menu yang dipersembahkan dalam rona kuning keemasan sekali gus menonjolkan keunikan budaya makanan di Milan," ujar Fazil Shahreen yang berpengalaman selama 11 tahun dalam dunia kulinari.
Antara menu yang boleh dinikmati ialah funghi gratinati con crema di polenta iaitu cendawan premium dari jenis porcini dan butang dipanggang berkrim, dihidang bersama jagung lecek dan kacang hazel, direnjis dengan minyak trifle serta ditaburi keju parmesan.
Ia diikuti hidangan utama iaitu risotto con pesce bianco (tumis bayam dengan filet ikan yang dihidang dengan nasi herba Arborio), ossobuco d'agnello (kaki kambing direneh lembut dan digaul dengan potongan kecil buah epal, lemon, oren, bawang putih dan selasih yang dihidang dengan kentang lecek manis) serta costole di manzo glassata (rusuk daging lembu yang dilapisi madu dan dinikmati bersama kentang lecek berkrim).
Kemudian, sajian itu akan diakhiri dengan pemanis mulut yang dinamakan crostata di mele con crema di mascarpone iaitu pai epal klasik buatan sendiri yang dihidang bersama krim Mascarpone.
Kesemua sajian tersebut mampu membuatkan pengunjung tersenyum riang dan mengusap perut tanda kenyang sejurus menikmatinya lantaran keenakan yang tiada tandingan.
Percutian ke Itali
Namun, bagi menghangatkan promosi sajian Passport to Italy: Taste of Milan, pengunjung juga berpeluang memenangi percutian ke negara tersebut jika berbelanja mengikut dua kategori yang ditetapkan.
Menurut Eksekutif Pemasaran Chaswood Resources Sdn. Bhd., Shahrul Ezanee, promosi itu akan berlangsung selama dua bulan bermula 15 Februari sehingga 15 April 2013.
Untuk kategori pertama, pengunjung yang berbelanja RM50 ke atas terhadap mana-mana hidangan ala carte, akan menerima satu borang penyertaan dan jika berbelanja RM120 ke atas, mereka akan menerima dua borang penyertaan.
Kategori kedua pula, pengunjung yang memesan sajian utama Passport to Italy: Taste of Milan akan menerima dua borang penyertaan.
"Sepanjang promosi ini berlangsung, lapan pemenang mingguan akan dipilih dan mereka akan menerima minyak wangi jenama Versace. Daripada lapan pemenang ini pula, hanya satu yang akan berpeluang memenangi tiket percutian ke Itali untuk dua orang," jelas Shahrul ketika ditemui Kosmo! di Restoran Italiannies, Paradigm Mall, Petaling Jaya.
Setiap hidangan bermula daripada harga RM16.90 sehingga RM52.90. Rangkaian Restoran Italiannies boleh dikunjungi di Empire Shopping Gallery, The Gardens Mid Valley, Sunway Pyramid, 1 Utama Shopping Centre dan The Curve.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: