Tuesday, March 5, 2013

Riwayat akhir sutera emas Kemboja


WANITA ini asyik memintal benang sutera di Pulau Oknhatey, Kandal yang terletak 10 kilometer di timur laut Phnom Penh.


DALAM sebuah bilik kecil di ibu negara Kemboja, juruteknik makmal memakai sarung tangan getah dan selipar memeriksa ratusan kupu-kupu putih sebelum disatukan dengan pasangan bagi tujuan mengawan.
Di sebalik industri sutera yang mencatat kemerosotan, Kemboja menyemat harapan dengan 'menjodohkan' semua kupu-kupu itu dan mengawal penyakit sebagai usaha melestarikan tradisi berabad lamanya itu kekal hidup.
Lebih 30 tahun yang lalu, rejim kejam Khmer telah menghapuskan segala industri pertanian sutera dan sejak itu sektor tersebut mengalami kesukaran untuk pulih. Ia ketinggalan jauh daripada pesaing serantau yang kini menggunakan teknologi moden untuk menghasilkan kualiti sutera yang lebih baik.
Kini, ulat sutera di Kemboja sekali lagi di bawah ancaman, tetapi daripada musuh jenis lain.
"Penyakit ini membunuh lebih daripada 50 peratus ulat sutera. Ulat yang mampu hidup lama hanyalah satu pertiga daripada bilangan sebenar," kata Pengarah Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertanian Sedunia (FAO) program sutera Kemboja, Mey Kalyan.
Tambahnya, secara ringkas, kelompok petani telah berhenti menternak ulat sutera. Penenun telah berhenti menenun dan perladangan buah mulberi yang diperlukan sebagai makanan kepada ulat sutera juga telah dihentikan.
Jumlah tanah yang diagih untuk penanaman mulberi di Kemboja menjunam daripada kira-kira 6,000 hektar pada tahun 1940-an kepada hanya 40 hektar hari ini, kata Kalyan.
PEKERJA ini sedang memberi makan kepada ulat sutera yang diternak dalam bekas khas.


Projek pemulihan
Ditubuhkan oleh FAO, Pusat Pengeluaran Telur Ulat Sutera di Phnom Penh adalah sebahagian daripada projek pemulihan bernilai A$475,000 yang dilancarkan pada September 2009.
Diatur di atas kepingan beberapa akhbar, setiap seekor kupu-kupu diperiksa oleh juruteknik yang kemudian menyatukan mereka supaya boleh membiak.
Selepas empat hingga enam hari, kupu-kupu betina akan diletakkan di atas kertas yang dirawat dengan bahan kimia dan diasingkan untuk bertelur. Kemudiannya, ia disterilkan dan disimpan dalam inkubator.
Di bawah projek tersebut, sebanyak tujuh ladang sutera telah dibuka di seluruh negara dan latihan pengeluaran sutera disediakan kepada mereka yang berminat dalam industri itu.
Malangnya, selepas tiga tahun, dana dari FAO untuk menjalankan operasi pusat pengeluaran telur akan berhenti pada bulan Mac ini. Tidak ada orang lain yang dilihat berminat untuk melabur.
Sungguhpun begitu, ia masih ada harapan.
Selepas tiga tahun berusaha, para penyelidik menemui ulat hibrid pulangan tinggi yang memakan ubi kayu khas iaitu sejenis sumber yang mudah diperoleh di Kemboja.
Kejayaan yang dicapai itu sekali gus memberi keyakinan untuk melindungi tradisi yang bermula pada abad ke-13 tersebut.
Tekstur halus dan kualiti produk yang digelar 'sutera emas' Kemboja yang dijahit oleh penenun moden dan penenun tradisional itu dapat dilihat melalui pengeluaran pakaian sutera berkualiti tinggi di Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, perdagangan itu juga dikhuatiri sedang pupus secara perlahan.
Pengeluaran benang sutera perlahan-lahan merosot dalam tahun-tahun kebelakangan ini, daripada lima tan pada tahun 2009 kepada kira-kira empat tan setahun.
Harga benang buatan tempatan telah meningkat lebih dua kali ganda sejak 2010 dan Kemboja kini mengimport kira-kira 400 tan setiap tahun dengan nilai hampir AS$10 juta (RM31 juta).

TELUR kupu-kupu ulat sutera ini dijaga dengan rapi agar dapat meningkatkan jumlah ulat yang bakal digunakan untuk industri tenunan.


Pulangan kecil
Ven On, penenun sutera di daerah Takeo, wilayah Prey Kabbas berusia 60 tahun yang menggunakan benang Kemboja, hanya mampu meraih pendapatan kira-kira AS$50 (RM155) sebulan dengan menjual tudung sutera dan kain sarung tradisional. Ia sudah cukup mahal bagi kebanyakan pembeli.
"Saya mendapat pulangan yang sangat sedikit dan tidak dapat menyara keluarga saya," katanya.
Kain tenunan tangan wanita tua itu mencecah antara AS$120 hingga AS$150 (RM372 hingga RM465) bergantung kepada kualiti, namun keuntungannya hanyalah 10 peratus.
Kualiti sutera buatan Kemboja secara umumnya kurang baik berbanding pengeluar serantau lain. Ia disebabkan proses tenunan tradisional yang menjadikan tekstur kain tersebut terlalu kasar untuk pasaran mewah.
Dalam kalangan pasaran sutera yang lebih maju seperti di China dan India, yang menghasilkan lebih daripada 90 peratus daripada bekalan dunia, mesin menyumbang kepada penjimatan masa dalam proses pembuatan sutera.
"Industri sutera Kemboja, khususnya pengeluaran benang sutera mengalami masalah sekarang.
"Ini adalah satu keaiban besar bagi sebuah negara yang pernah memegang reputasi hebat dengan kepompong unik kuning yang dipanggil 'sutera emas'," kata pereka pakaian kelahiran Madagascar, Eric Raisina, yang memiliki kedai di Phnom Penh dan Siem Reap.
Kedainya sendiri menggunakan kain sutera yang diimport dari Thailand dan China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: