Saturday, March 23, 2013

Kereta berprestasi untuk semua!


PERBEZAAN penampilan luaran Golf GTI dengan varian standard adalah agak ketara.


VOLKSWAGEN (VW) Golf ialah sebuah kereta yang hebat dan menjadi idaman ramai. Mencapai taraf kereta idaman adalah suatu yang hebat ketika rata-rata orang membeli kereta kerana keperluan.
Jenama VW sebenarnya masih baharu di negara kita, tetapi entah bagaimana senang-senang sahaja ia mampu menarik banyak perhatian. Hendak kata harganya murah jauh sekali, jika dibandingkan dengan produk Jepun atau Korea.
VW Golf 1.4 TSI misalnya dijual sekitar RM160,000 manakala Polo 1.2 TSI pula ditawarkan pada harga RM108,000. Jika dibandingkan dari segi saiz ternyata lebih kurang sahaja dengan model pesaing dari Jepun atau Korea.
Lebih menarik, kecuali Scirocco, reka bentuk kereta VW biasa-biasa sahaja. Boleh jadi persepsi bahawa buatan berkualiti tinggi adalah antara faktor penarik jualan.
Antara model VW yang popular dalam negara ialah Polo dan Golf. Kedua-dua model itu mempunyai peminat yang tersendiri. Menariknya, Polo dan Golf mempunyai varian sport dengan pangkal nama GTI.
Polo dan Golf GTI adalah untuk mereka yang mahukan kuasa dan eksklusiviti daripada model normal. Bijaknya VW dalam perancangan produk adalah dengan menawarkan pelbagai varian untuk pasaran.
Jika anda mahukan Golf atau Polo untuk kegunaan asas anda boleh beli model standard. Bagi pasaran luar negara, pengguna boleh membeli varian BlueMotion yang menjimatkan minyak.
Jadi pilihan ramai
Untuk mereka yang mahukan prestasi pula, anda boleh membayar model GTI. Lebih menarik apabila pemilik varian GTI terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan gender. Ada yang muda, berusia dan kaum hawa.
Masalah dengan rata-rata varian sporty, ia hanya mampu menarik mata golongan muda, tetapi tidak untuk versi GTI. Inilah yang dipanggil genius apabila VW berjaya menjadikan varian sporty sebagai pilihan arus perdana.
VW Golf generasi ketujuh baru sahaja dilancarkan di Malaysia. Bonus untuk VW ialah Golf memenangi Car of the Year Award pada awal bulan Mac lepas.
Lebih menyeronokkan, Golf mencatat skor 414 poin jauh meninggalkan pesaing lain seperti Toyota GT86/Subaru BR-Z dan Volvo V40 dengan masing-masing memperolehi 202 dan 189 poin.

TEMPAT duduk dibalut dengan corak klasik tartan yang menjadi signatur kepada Golf GTI.


Dengan pelancaran Golf 1.4 TSI di pasaran tempatan, VW Eropah sudah bersiap sedia untuk melancarkan Golf GTI. Buat pertama kali, model itu didatangkan dengan dua output kuasa iaitu standard 220PS GTI dan GTI Performance dengan 230PS yang turut dilengkapi cakera brek lebih besar dan limited-slip differential (VAQ).
GTI baharu dikuasakan oleh enjin turbo pancitan terus (TSI) dengan kedua-dua versi mempunyai tork maksimum 350Nm.
Versi GTI Performance mengambil masa 6.4 saat untuk mencecah kelajuan 99.78 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan maksimum 249.5km/j.
Kedua-dua versi dipasang dengan sistem Start/Stop dan memenuhi standard emisi EU-6 yang akan mula berkuatkuasa pada 2014. Memberi pilihan kepada pemandu, VW menawarkan transmisi enam kelajuan manual dan automatik (DSG).
Karakter sporty Golf GTI ditonjolkan lagi dengan angkup brek berwarna merah, tip ekzos krom berkembar dan suspensi sport. Pada luarannya dipasangkan rim aloi Brooklyn dengan tayar bersaiz 225/45.
Aksesori lain ialah peresap angin pada bampar belakang, lampu belakang LED yang digelapkan dan lampu utama bi-xenon dengan lampu LED siang hari. Perincian dalaman pula terdiri daripada kerusi sport dengan corak klasik tartan yang merupakan identiti GTI.
Berdasarkan varian GTI sedia ada yang dijual, saya yakin model baharu ini turut akan dijual di Malaysia. Seingat saya, tidak ada lagi model sporty yang berjaya dijual dengan banyak berbanding produk VW ini.
Angka jualan yang memberangsangkan telah membuatkan pengeluar lain ingin tumpang sekaki. Ford sudah menawarkan Focus ST dan tidak lama lagi Mercedes akan membawa masuk A Class baharu.
Jika A Class ditawarkan pada harga kompetitif, permainan selamat VW akan berubah. Selain A-Class, Volvo pula didakwa bakal membawa masuk V40.
Tidak sabar rasanya hendak tunggu VW menawarkan Golf GTI. Bukan apa, saja mahu lihat bagaimana pemain industri bersaing terutama sekali pengeluar Eropah. Satu input baharu selepas bertahun-tahun melihat persaingan pengeluar Jepun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: