Saturday, March 23, 2013

Miliki semua teknologi terbaik SKYACTIV

PENAMPILAN luaran MAZDA6 memang tidak jauh berbeza dengan rekaan kereta konsep Mazda TAKERI.


MAZDA6 dibina berdasarkan kepada gayaan KODO - Soul of Motion Design yang banyak dipengaruhi oleh kereta konsep Mazda TAKERI dan Mazda SHINARI.
Ia bukan sekadar mengagumkan dari segi visual, malah rekaan tersebut menitikberatkan aspek aerodinamik, penjimatan bahan api dan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Sedan eksekutif itu dilihat sebagai model utama untuk produk generasi baharu Mazda. Maka, tidak hairanlah jika pasukan jurutera dan pereka bentuk Mazda menggunakan sepenuhnya kepakaran teknikal dan keterampilan yang mereka ada sewaktu membangunkan Mazda6.
Ini melibatkan aspek prestasi, dinamik pemanduan, reka bentuk, mesra alam sekitar dan keselamatan yang sememangnya sudah menjadi DNA kenderaan Mazda. Penampilan Mazda6 memang cukup sporty. Ia seolah-olah lari daripada rekaan yang biasa diterapkan pada model sedan segmen D.
Ketika hendak melancarkan Mazda6, Mazda perlu memastikan mesej yang sebelum ini disampaikan dengan jayanya oleh model CX-5 terus difahami oleh orang ramai. Usaha itu dilakukan dengan serius di pasaran Eropah terutama di United Kingdom.
Impak besar
Selain aplikasi pada peranti pintar yang menerangkan secara terperinci mengenai Mazda6, bilik-bilik pameran di sana turut dilengkapi komputer tablet bagi menjelaskan bagaimana sistem i-ELOOP, enjin dan ciri-ciri SKYACTIV yang lain berfungsi. Teknologi itu jugalah yang bertanggungjawab membuatkan nilai jualan semula produk Mazda semakin baik.
SKYACTIV memberi impak yang sangat besar terhadap jenama Mazda sama ada di peringkat global mahu pun di Malaysia. Malah, teknologi inovatif tersebut menjadi buah mulut dalam kalangan industri ketika pengeluar kenderaan yang lebih berpengaruh seperti BMW dan Volkswagen sibuk melobi teknologi Efficient Dynamics serta BlueMotion
RUANG kokpit Mazda6 dibina agar ergonomik dan lebih fokus kepada pemandu.


Technologies masing-masing.
Malam Rabu lalu, pengedar tunggal kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor Sdn. Bhd. (Bermaz Motor) dan pemegang francaisnya, Prima Merdu Sdn. Bhd. (Prima Merdu) mengakhiri penantian orang ramai apabila melancarkan Mazda6 secara rasmi.
Tiga varian Mazda6 disediakan iaitu SKYACTIV-G 2.0 liter, SKYACTIV-G 2.5 liter dan SKYACTIV- G 2.5 liter wagon atau nama lebih glamor, Hatch Touring. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, SKYACTIV-DRIVE.
Hasil kerja keras Bermaz Motor mencanang kehadiran Mazda6 ke pasaran tempatan, lebih 500 unit sedan itu sudah ditempah. Jumlah itu dijangka terus meningkat, memandangkan orang ramai kini boleh memandu uji Mazda6 di mana-mana bilik pameran Mazda di seluruh negara.
Ada banyak sebab kenapa anda perlu memasukkan Mazda6 dalam senarai jika mahu memiliki sebuah sedan segmen D. Sebab utamanya, Mazda6 dibangunkan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi SKYACTIV.
Sedia maklum bahawa Mazda6 merupakan model kedua dipasarkan di Malaysia yang berpaksikan kepada teknologi SKYACTIV selepas SUV CX-5. Maka, tidak hairanlah jika kebanyakan teknologi yang ada pada CX-5 boleh didapati pada Mazda6 generasi ketiga ini.
Malah, ia menjadi jentera yang lebih dinamik berikutan titik graviti rendah, ringan dan olengan tubuh minimum. Selain enjin berkuasa serta menjimatkan iaitu SKYACTIV-G 2.0 liter dan SKYACTIV-G 2.5 liter, Mazda6 turut digerakkan oleh transmisi yang menawarkan pemanduan lancar, SKYACTIV-DRIVE. Pedal pendikitnya juga disertakan dengan Kickdown Switch bagi meningkatkan lagi keseronokan pemandu mengawal jentera tersebut.
Mengikuti rapat trend penghasilan kenderaan kontemporari yang memberi penekanan terhadap penjimatan bahan api, Mazda6 (varian 2.5 liter) menjadi model pertama dilengkapi teknologi brek janaan semula tenaga atau i-ELOOP.
Bagaimana i-ELOOP berfungsi? Dalam kenderaan biasa, kira-kira 10 peratus output enjin digunakan untuk menggerakkan alternator dan menjana tenaga elektrik yang kemudiannya disimpan di dalam bateri.
Kaedah itu nyata tidak efisien. Justeru, jurutera Mazda membangunkan sistem i-ELOOP yang bertanggungjawab 'memerangkap' tenaga yang hilang sewaktu nyahpecutan. Tenaga itu kemudian disimpan dalam bentuk kuasa elektrik di dalam Electric Double Layer Capasitor (EDLC) berkapasiti tinggi.

SISTEM brek janaan semula tenaga i-ELOOP khas untuk varian 2.5 liter sahaja.


Tenaga elektrik di dalam EDLC yang boleh dicaj penuh dalam tempoh cuma tujuh hingga sepuluh saat itu akan digunakan untuk menjana komponen elektrikal kenderaan.
Kombinasi i-ELOOP dengan sistem melahu i-Stop serta teknologi SKYACTIV yang terdiri daripada rangkaian kuasa, casis dan kerangka membolehkan penggunaan bahan api sedan itu dijimatkan dalam jumlah yang signifikan.
Menyentuh tentang aspek ciri dan aksesori pula, perbezaan di antara varian 2.0 liter dan 2.5 liter agak ketara. Versi 2.5 liter dilengkapi sistem navigasi pada skrin sentuh TFT, bumbung suria serta sistem bunyi BOSE dengan 11 pembesar suara (enam unit pembesar suara untuk model 2.0 liter).
Bukan itu sahaja, varian tersebut juga lebih selamat menerusi beberapa sistem keselamatan yang diletakkan di bawah i-ACTIVSENSE. Ia terdiri daripada sistem Smart City Brake Support (SCBS) yang memantau jarak kenderaan di hadapan ketika dalam kesesakan lalu lintas.
Menggunakan teknologi infra merah, SCBS yang berfungsi pada kelajuan di antara 4 hingga 30km/j akan memberhentikan sepenuhnya kenderaan jika mengesan ia mungkin melanggar objek di hadapan.
Sementara Smart Brake Support (SBS) pula menggunakan radar miliwave untuk mengesan dan mengukur jarak kenderaan di hadapan. Sekiranya Mazda6 didapati berada terlalu rapat, SBS akan memberi amaran kepada pemandu. Apabila tiada tindakan diambil, SBS akan memperlahankan kenderaan. Ia berfungsi pada kelajuan antara 15 hingga 145 kilometer sejam (km/j).
Rear Vehicle Monitoring memantau titik buta kenderaan ketika hendak menukar laluan. Aspek keselamatan terus ditingkatkan menerusi aplikasi sistem Lane Departure Warning, Adaptive Front Lighting dan High Beam Control (HBC). HBC berfungsi merendahkan lampu utama secara automatik apabila mengesan cahaya lampu dari arah bertentangan.
Mazda6 didatangkan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Sebab itulah apabila ditanya mengenai sasaran jualan Mazda6, Pengarah Urusan Bermaz Motor, Datuk Ben Yeoh menyatakan pihaknya ingin menjual sebanyak mungkin sedan tersebut. Namun ia tetap bergantung terhadap permit import (AP) yang mampu diperoleh Bermaz Motor.
Apa pun, Mazda6 nampaknya tidak sukar untuk mencipta gelombang populariti di Malaysia tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: