|
NAMA Salwa Razak asing buat peminat industri seni suara tempatan. Bagaimanapun persepsi itu segera bertukar sebaik terdengar nama Arora Salwa. Nama itu pasti membawa ingatan kepada seorang penyanyi baharu.
Hadir dengan nama Arora Salwa, penyanyi dan aktres yang pernah menganggotai pasukan polis itu kembali dengan menggunakan nama Salwa sebagai nama komersialnya. Nama baharu tersebut mula digunakan sejak Oktober tahun lalu.
Mengaku menyukai nama Arora yang bermaksud fenomena cahaya, Salwa akur menukar nama komersialnya kerana 'badi' nama Arora menimbulkan pelbagai cerita negatif.
Kini nama Salwa Razak menjadi taruhan penyanyi ini yang kini bernaung di bawah label JJ Solution Sdn. Bhd., kepunyaan Junita Jaafar yang juga bertindak selaku pengurusnya.
Sebagai langkah awal, Salwa hadir dengan dua buah single berjudul Hidup Baru dan Takdir Dan Masa. Kedua-dua buah single itu ditulis oleh komposer terkenal, Kunci Demak.
Menurut penyanyi ini, single dengan tajuk Hidup Baru tersebut mempunyai sentuhan peribadi buat dirinya dan Salwa sendiri bertindak memilih Rudi atau Kunci Demak untuk bekerjasama.
|
"Saya menyukai muzik balada. Saya sudah berbincang dengan pasukan saya (syarikat rakaman dan syarikat promosi, Mewah Event Management) dan mereka memberi peluang untuk saya buat apa yang saya mahukan," jelasnya pada satu sidang akhbar di ibu negara baru-baru ini.
Tambahnya dalam majlis tersebut, lagu Hidup Baru merupakan sebuah perkenalan dan langkah Salwa sebagai penyanyi.
"Sekarang ini adalah imej yang baharu, bagi saya perkara-perkara yang lepas tu adalah perkara lama," jelas Salwa dengan yakin.
Bakat wanita muda kelahiran Kota Tinggi, Johor ini mula diterokai sejak dia menyertai uji bakat semasa berkhidmat dalam pasukan polis. Usai tamat latihan polis, Salwa dipilih menjadi penyanyi utama bagi grup D'Muse yang memberinya peluang menyanyi di konsert-konsert dan persembahan.
Salwa berada dalam pasukan polis selama tujuh tahun bermula tahun 2004 hinggalah 2010 sebelum membuat keputusan untuk menjadi penyanyi sepenuh masa.
Bernaung di bawah label Sony Music selama dua tahun, kini Salwa mengambil keputusan untuk menjadi penyanyi profesional dan seterusnya melancarkan lagu Hidup Baru.
Penyanyi ini juga menerokai bidang lakonan dan muncul sebagai anggota polis dalam filem baharunya yang berjudul Kerat 14.
Pengalaman lampau sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), Kuala Lumpur membuatkan dirinya dapat menghayati watak yang diberikan. Pangkat terakhir Salwa dalam bidang kepolisan ialah Lans Koperal di bahagian tugas-tugas am.
Penyanyi berumur 28 tahun itu juga tidak menolak karakter yang diberikan kepadanya dalam filem yang turut membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Aaron Aziz, Siti Saleha, Zamarul Hisham dan Fouziah Gous.
Pelakon dan penyanyi ini juga turut muncul dalam drama bersiri bertajuk Operasi D6 yang mengisahkan tugas anggota pencegah rasuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: