Lawak Ke Der sudah mempunyai siri pertama dan kedua dalam versi teater dan filem.
Menurut Hans, Lawak Ke Der siri akan datang mungkin menggunakan pelakon mengikut maklum balas penonton.
“Sudah pasti akan ada Lawak Ke Der ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh. Itu adalah satu ‘brand’ yang saya buat daripada dulu.
“Mungkin pelakon-pelakonnya akan ditukar dalam siri seterusnya, mungkin tidak. Saya tak tahu. Itu terpulang kepada respons penonton,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Filem Lawak Ke Der 2 bakal menemui penonton Khamis depan di 70 pawagam termasuk Singapura dan Brunei.
Bercakap soal filemnya yang menggunakan konsep baru itu, Hans berjanji lawak yang disajikan kepada penonton dalam Lawak Ke Der 2 itu tidak dapat ditonton di tempat lain.
“Tetapi saya janji, apa yang anda dapat, lawak yang anda dapat di atas pentas ini tidak dapat ditonton di TV... tak dapat di tempat lain. Hanya dalam filem ini,” katanya yang mengambil masa sembilan bulan untuk proses suntingan.
Lawak pentas yang difilemkan itu menampilkan barisan pelawak terkenal tanah air Jozan, Boboi, Harith Iskander dan Nabil Ahmad di mana masing-masing dengan konsep yang berlainan.
Sementara itu, keletah Boboi yang dijayakan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik di awal tayangan berjaya mencuit hati penonton dengan karakter Datin Sardinia dan hantu.
Di tengah-tengah persembahan pula, King of Comedy aka ‘Halusss’, Harith Iskander tampil menggeletek penonton dengan isu semasa antara wanita dan lelaki.
Tidak lengkap sekiranya tanpa gandingan serasi Jozan yang membawa konsep dan jalan cerita sendiri yang turut memberi pengajaran kepada penonton.
Meski hanya menjadi pengacara, Nabil berjaya menghidupkan suasana dan mencuit hati penonton dengan tarian kuda di awal tayangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: