Saturday, March 9, 2013

Gimnasium untuk Hawa

KELAS aerobik selama sejam setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu antara yang paling menarik minat kaum wanita.


BENTUK tubuh yang langsing dan menarik sememangnya menjadi idaman hampir setiap wanita.
Tubuh yang langsing bukan sahaja memastikan wanita sentiasa tampil jelita, bahkan penting untuk kesihatan tubuh dan menambahkan keyakinan diri.
Selain faktor pemakanan, senaman adalah satu lagi elemen penting dalam mengekalkan bentuk tubuh yang langsing.
Namun, tidak semua wanita sanggup untuk pergi bersenam di pusat rekreasi atau pusat kecergasan kerana dihantui perasaan malu ketika bercampur dengan kaum Adam. Apatah lagi bagi wanita muslimah yang mementingkan aurat serta keselamatan, lokasi terbuka atau gim uniseks merupakan satu halangan.
Berbekalkan hasrat untuk melihat wanita mempunyai tubuh badan yang ideal, Azlinda Mat Isa, 30, membuka sebuah pusat gimnasium khusus untuk golongan Hawa yang terletak di Persiaran Bandar Baru Mergong, Kedah.
Idea suami
Azlinda berkata, biarpun menyedari kesedaran rakyat Malaysia kebelakangan ini terhadap aktiviti kecergasan di gim, namun dia hanya tergerak untuk mengusahakan LZ Lady Fitness N Gym selepas dicadangkan suaminya, Mazfazizan Muhammad, 36.
“Sewaktu sedang bersenam di gim mini di rumah, suami ada bertanyakan kepada saya, tidak berminatkah untuk membuka gim khusus untuk wanita bagi memudahkan aktiviti bersenam dilakukan tanpa diperhatikan lelaki.

AZLINDA (kanan) memberi nasihat teknik mengggunakan peralatan dengan betul kepada seorang pengunjung.


“Jadi dari situlah saya mula terfikir lalu mengambil idea tersebut untuk membuka sebuah gimnasium yang turut menyediakan ruang untuk aerobik,” katanya.
Ternyata idea itu tepat pada masanya, apabila LZ Lady Fitness N Gym mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan wanita termasuklah mereka yang berkerjaya. Mereka biasanya datang ke gimnasium selepas waktu pejabat.
LZ Lady Fitness N Gym bukan sahaja menyediakan ruang dan peralatan untuk bersenam, malah pelanggan juga dapat berkongsi tip yang betul bagi memiliki tubuh badan cantik serta sihat.
Serba lengkap
Pusat kecergasan yang telah beroperasi sejak tiga tahun itu menyediakan khidmat jurulatih wanita kepada pengunjung untuk mengendalikan peralatan senaman dengan betul.
Azlinda berkata, jurulatih yang disediakan tidak hanya membantu pengunjung menggunakan peralatan senaman dengan betul, malah mereka turut memberikan input kesihatan tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Saya tidak mahu pengunjung yang datang ke sini hanya bersenam, tetapi saya juga mahu mereka tahu bagaimana cara senaman yang betul dan bagaimanakah cara pengambilan makanan yang baik untuk sihat.
“Bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan, saya juga menyediakan program kurangkan berat badan secara persendirian dengan menyediakan seorang jurulatih khusus untuk peserta yang berkemampuan membayar caj tambahan,” katanya.

LZ Lady Fitness N Gym lengkap dengan pelbagai kemudahan peralatan kecergasan khusus untuk kaum wanita.


Selain menggunakan peralatan seperti basikal dan trademill, pelanggan turut disediakan ruang khas untuk melakukan aerobik yang dikendalikan seorang tenaga pengajar berpengalaman.
Azlinda berkata, kelas aerobik yang diadakan selama sejam bermula pukul 6 petang setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.
Katanya, disebabkan pelanggannya terdiri daripada pelbagai profesion, kemudahan seperti bilik persalinan turut disediakan bagi memudahkan mereka menyalin pakaian pejabat kepada pakaian sukan.
“Kita mahu pelanggan yang datang berasa selesa dengan persekitaran di sini bukan sahaja sewaktu bersenam, malah sebelum dan selepas aktiviti dijalankan,” katanya.
Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan yang berkunjung ke LZ Lady Fitness N Gym secara walk-in adalah RM8.
Ia beroperasi secara dua sesi pada setiap hari kecuali Isnin dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pukul 3 petang hingga 10 malam.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai LZ Lady Fitness N Gym bolehlah menghubungi Azlinda di talian 04-7251 189.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: