Saturday, March 9, 2013
Fiesta pamer kehebatan silat
DI SEBUAH kawasan lapang, kelihatan dua lelaki sedang beradu tenaga. Kedua-duanya kelihatan sama hebat, saling berbalas tumbukan dan sepakan. Aksi mereka menjadi tumpuan orang ramai yang berada di situ.
Sesekali terdengar teriakan, pertarungan bertambah sengit dan hanya berakhir apabila salah seorang daripadanya tumbang.
Aksi kedua-dua lelaki berkenaan, sebenarnya merupakan salah satu acara yang dipersembahkan pada Fiesta Pencak Silat Beradat di Dataran Lapang Bonzai, Bandar Tenggara, Kulaijaya, Johor, baru-baru ini.
“Program ini bagi memartabatkan kembali seni persilatan selain mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Ia juga bagi memberi peluang kepada golongan remaja untuk aktif dalam memperjuangkan seni budaya Melayu,” kata pengerusi program, Alwee Shamrin.
Penyertaan
Program tersebut menarik penyertaan lebih 400 pesilat dari sembilan perguruan seni silat dari Kulaijaya, Kota Tinggi, Johor Bahru, Singapura dan Indonesia.
Antara perguruan seni silat tersebut termasuk Panglima Bugis, Gayong Malaysia, Sendeng Hang Tuah, Jawa, Seligi Tunggal, Tapak Suci, Lok 9, Lintau dan Abjad Asli Malaysia.
Salah seorang pesilat dari Perguruan Seni Silat Jawa dari Bandar Tenggara, Md. Yusri Jafri, 37, berkata, seni silat telah sebati dengan dirinya sejak mempelajari ilmu mempertahankan diri itu sejak berusia 19 tahun.
“Keindahan seni dan ketangkasan gerakan dalam pencak silat membuatkan hati saya terpaut untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.
“Namun, minat semata-mata tidak cukup kerana perlu ada sifat kecintaan terhadap ilmu yang dipelajari, barulah dapat menghayati seni mempertahankan diri ini,” katanya yang turut mempelajari silat kampung dan silat gayong.
Nilai-nilai murni
Pesilat daripada Perguruan Seni Silat Tapak Suci, Achmad Radian Syah Ramdhani, 37, berkata, banyak perkara atau ilmu boleh dipelajari menerusi seni silat.
Menurutnya, setiap gerakan silat dikaitkan dengan ibadat yang kita lakukan seharian. Ia bukan sahaja aktiviti yang lasak tetapi dapat mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta.
“Pada masa yang sama, ia menerapkan nilai-nilai murni dengan mendidik diri untuk mengatur waktu, taat kepada ketua dan menghormati orang yang lebih tua,” kata bapa kepada tiga orang anak berasal dari Jakarta Barat, Indonesia itu.
Anak bongsu daripada tiga beradik dari Singapura, Hidayu Hassim, 21, berkata, mempelajari silat adalah bukan semata-mata untuk mempertahankan diri malah dapat mengisi waktu lapang dengan perkara yang berfaedah.
“Selain untuk mempertahankan diri dan kesihatan, mempelajari silat turut merapatkan hubungan antara ahli apabila kerap berlatih bersama,” katanya yang berharap ilmu persilatan akan terus berkembang dan terus kekal sebagai warisan Melayu yang tidak ternilai.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Kulai 1, Nor Asyraf Haikal Nor Azam, 12, berkata, dia meminati silat sejak usia lapan tahun kerana ketangkasan serta kehebatan seni mempertahankan diri itu.
Katanya, silat bukan sahaja sebagai dinding pertahanan diri tetapi juga aktiviti sampingan pada waktu lapang.
Rakannya, Nor Amirah Balqis Abdul Rauf, 12, berkata, dia gembira kerana ibu bapanya memberi galakan untuk mempelajari ilmu persilatan yang amat diminatinya itu.
“Mereka turut memberi sokongan selain membenarkan saya mengikuti latihan di gelanggang pada sebelah malam,” katanya yang mengikuti Perguruan Seni Silat Seligi Tunggal yang telah menjadi seni warisan keluarganya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: