Ditipu lelaki 'alim'
Ahmad menunjukkan batu delima yang dibelinya daripada lelaki tersebut.
KOTA TINGGI - Seorang warga emas kerugian RM25,000 apabila ditipu sekumpulan ’orang alim’ yang memintanya membeli sebiji batu delima dalam kejadian pagi kelmarin.

Ahmad Arbidin, 66,  dari Felda Adela, di sini, berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, dia yang baru selesai urusan di Tabung Haji didatangi seorang pemuda dipercayai warga Indonesia berusia 30-an yang membawa batu berwarna merah.

Menurutnya, dalam masa sama, Ahmad yang berada di kereta turut didatangi rakan lelaki terbabit berusia 40-an sebelum disuruh masuk ke dalam kereta dan dipukau.

"Lelaki pertama itu bercakap dalam loghat Indonesia, namun dia mengaku berasal dari Melaka dan mendakwa menjumpai batu delima itu ketika melakukan kerja menggali di makam bersejarah di Melaka.

"Lelaki itu memberitahu batu itu istimewa dan lain daripada yang lain kerana cangkul yang digunakan untuk menggali makam itu menjadi bengkok," katanya.

Ahmad berkata, lelaki itu juga mendakwa telah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih menyerupai wajahnya dan batu itu perlu dijual kepada lelaki di dalam mimpi itu.
"Malah lelaki itu turut menunjukkan keajaiban batu tersebut yang bercahaya apabila diletakkan di dalam air.

"Manakala lelaki kedua itu pula bersungguh-sungguh meyakinkan saya dengan menggunakan kalimah ALLAH dan saya seolah-olah terpukau dengan mereka," katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini semalam.

Katanya, dalam masa sama, dia juga turut didatangi seorang lelaki bergelar Haji Osman yang juga dipercayai sahabat kepada dua lelaki terbabit.

"Haji Osman mahu membeli batu itu tetapi lelaki pertama enggan menjualkannya kerana batu tersebut harus dibeli oleh saya kerana ia adalah amanah berdasarkan mimpi.

"Disebabkan itu, Haji Osman menyuruh saya membeli batu itu dahulu dan kemudian dia akan membeli batu itu dari saya dengan harga RM100,000," katanya.

Seolah-olah dipukau, Ahmad mengikut sahaja kata mereka dan mengeluarkan wang sebanyak RM25,000 untuk membeli batu tersebut.

"Sebaik mendapat batu tersebut, kumpulan lelaki terbabit menyuruh saya melakukan solat sunat sebagai syarat menerima batu ajaib itu manakala mereka pula meminta izin untuk solat Jumaat.

"Haji Osman berjanji akan membeli batu itu dari saya dan menunggu sehingga selesai solat Jumaat untuk membayar wang tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang, mereka tidak muncul malah telefon bimbit juga gagal dihubungi.

"Saya tersedar telah ditipu dan segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk membuat laporan.

"Impian saya untuk mengerjakan umrah terbantut ekoran wang tersebut sudah digunakan untuk membeli batu itu. Malah, batu itu juga sudah tidak bercahaya apabila diletakkan di dalam air," katanya.