Ada dua kemungkinan gagal
Laporan Sinar Harian semalam.
JASIN - Bekas tentera tidak berpencen yang gagal mendapatkan sumbangan berjumlah RM1,000 mempunyai dua kemungkinan sama ada borang permohonan tidak lengkap atau berhenti daripada perkhidmatan tentera disebabkan masalah tatatertib.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Nik Anuar Nik Man berkata, setiap permohonan yang ditolak mahupun gagal akan diberi penjelasan kepada individu terbabit ketika mereka menghantar borang berkenaan di pejabat tersebut.

“Jika seseorang itu gagal, kita akan memberi penjelasan supaya mereka faham kerana itu mereka perlu membawa buku merah untuk kita melihat sebab-sebab mereka berhenti daripada perkhidmatan sama ada kerana masalah tatatertib atau sebaliknya.

“Pihak kami di sini cuba buat yang terbaik dan sejak sumbangan itu diperkenalkan boleh dikatakan setiap hari kita menerima borang permohonan,” katanya.

Nik Anuar berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang bekas tentera tidak berpencen, Mahmood Leman, 61, yang disiarkan Sinar Harian, semalam.

Dalam kenyataan itu, Mahmood melahirkan rasa terkilan apabila permohonannya untuk menerima bantuan RM1,000 gagal biarpun sudah memohon dua kali.

Nik Anuar berkata, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan dan masalah mengenai permohonan tersebut boleh datang ke pejabat JHEV di Tingkat 1, Wisma Persekutuan, MITC.

"Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian 06-2345931/932.

“Ramai yang tidak faham kenapa mereka masih belum memperoleh sumbangan itu dalam masa sama kita juga sedang berhubung dengan pemohon yang masih belum melengkapkan borang permohonan,” katanya.

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima 3,527 permohonan di Melaka dan 4,117 dari Negeri Sembilan sejak November lalu.