Monday, March 11, 2013
Dimensi baharu pementasan Secret Cinema
DI bawah pemantauan pengawal, sekumpulan penonton wayang duduk dalam keadaan senyap ketika bas era 1950-an yang mereka naiki meredah kota London. Tidak lama kemudian, sebuah kompleks penjara kelihatan.
Selamat datang ke Secret Cinema. Namun, berbeza daripada menonton di pawagam biasa, di Secret Cinema penonton akan dibawa ke lokasi lakonan sebenar.
Filem tidak setakat ditayangkan di skrin kerana penonton boleh melihat sendiri dengan lebih dekat karakter yang dihidupkan oleh pelakon.
Penonton datang sehelai sepinggang ke lokasi rahsia yang hanya diketahui melalui jemputan e-mel.
Mereka membayar sejumlah 43.50 pound sterling (RM213) untuk sekeping tiket Secret Cinema.
"Segalanya adalah rahsia. Mereka tidak mempunyai sebarang idea apa yang akan ditonton dan perkara yang akan dilalui.
"Namun, sebaik sahaja sampai ke lokasi pelakon, pengarah dan kru menjadi lebih terbuka. Penonton perlu bersedia merasai pengembaraan hebat itu," kata Fabien Riggall yang mengasaskan Secret Cinema pada tahun 2007.
Pendekatan wayang gambar inovatif itu juga kini sudah mula menjadi fenomena di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Athens, Greece apabila mula merebak sejak April tahun lalu.
Lokasi sebenar
Secret Cinema menyaksikan penganjurnya mengubah sebuah gudang menjadi lokasi yang pelbagai.
Contohnya sebuah taman untuk latar belakang Lawrence of Arabia dan terowong bergenangan air bagi filem The Battle of Algiers.
Siri terbaharu pengembaraan menawarkan penonton pengalaman kehidupan penjara yang sukar seperti yang dialami Morgan Freeman dan Tim Robbins seperti dalam filem The Shawshank Redemption.
Pada awalnya penonton dimaklumkan akan tiba di sebuah perpustakaan di timur London dengan pakaian era 50-an, sebelum dibawa ke mahkamah dan dibicarakan atas pelbagai jenis jenayah yang menggelikan hati daripada penculikan hinggalah mempunyai dua isteri.
'Banduan' baharu tersebut kemudian dibawa menaiki sebuah bas vintaj ke sebuah sekolah tinggal yang ditukar oleh Secret Cinema kepada penjara.
Diasak masuk oleh 'pengawal penjara' iaitu pelakon sebenar filem, mereka kemudian dipaksa menanggalkan pakaian asal mereka.
Daripada topi cantik dan kot panjang, mereka kini diminta memakai uniform kelabu dan menghabiskan tiga jam meneroka bilik kurungan masing-masing dengan gangguan pengawal secara berkala.
Peningkatan penonton
"Jika anda mengikut rentaknya, ia menjadi menarik.
"Setiap kali menyertainya, ia menjadi lebih besar," kata Andy yang sudah enam kali mengikuti Secret Cinema dan pernah datang dengan pakaian Badwi untuk Lawrence of Arabia dan pesakit psikologi untuk One Flew Over The Cuckoo's Nest.
Babak filem seolah-olah jatuh daripada layar perak menjadi realiti. Bagi The Shawshank Redemption, ia melihatkan sebahagian pelakon tidak dapat dibezakan dengan penonton kerana memakai uniform yang sama, mencipta semula babak rogol dengan kejam, pergaduhan dan hukuman mati.
Bermula dengan kelompok penonton pertama seramai 400 orang pada 2007, Secret Cinema kini berkembang sehingga 13,500 orang 'banduan' dalam beberapa siri tayangan untuk The Shawshank Redemption pada Disember lalu.
"Setiap kali pembikinan, kami cuba mencipta sesuatu yang melebihi sebelumnya dari sudut bagaimana penonton menjadi sebahagian daripada dunia itu dan cara mewujudkan kekaburan antara persembahan serta tontonan," kata Riggall.
Tambahnya, ramai peminat melihat bentuk wayang baharu itu sebagai satu penawar kepada pengalaman biasa yang hanya memerlukan seseorang duduk di hadapan skrin.
"Ramai yang mahukan pengembaraan. Mereka mahukan kelainan daripada apa yang mereka sudah ketahui dan saya rasa Secret Cinema adalah langkah tersebut.
"Kami mempunyai pelakon yang tidur bersama penonton, malah anda mungkin bangun dan terdapat tahanan yang menyanyikan lagu klasik di sebelah. Seluruh bangunan ini menjadi pentasnya," katanya lagi.
Tiket-tiket untuk Secret Cinema kali ke-20 di London untuk April ini sudah pun habis dan ia buat julung-julung kalinya dijalankan serentak di lokasi rahsia di Athens dan New York.
Jos, seorang pemuda Belanda yang tinggal di London berkata, peminat filem dari bandar-bandar lain mengalu-alukan projek itu dengan tangan terbuka.
"Anda seperti disedut ke dalamnya. Pada mulanya agak kelakar namun selepas 10 minit anda sudah turut serta.
"Ia membuat anda berfikir bagaimana rasanya berada di penjara sebenar," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: