|
SETIAP peralatan termasuk sambungan struktur batang paip telah dipasang, namun Mohd. Haidi Samsuri, 27, masih belum berpuas hati. Dia memeriksa sekali lagi.
Tindakan itu bagi memastikan ujian yang akan dijalankan berjalan lancar sekali gus mendapat keputusan yang paling tepat.
Kemudian dia menekan satu butang lantas mesin penguji mulai bergerak. Batang paip yang dipasang mulai bertindak balas dengan ombak dan data-data tertera di skrin monitor komputer.
“Saya perlu pastikan peralatan yang diuji dipasang dengan betul dan pelarasan mesin juga mengikut aturannya. Jika salah, mesin mungkin tidak berfungsi dengan baik atau keputusan yang diperoleh tidak tepat.
“Data-data yang tertera di skrin akan direkodkan kerana ia akan menentukan keupayaan batang paip berkenaan ketika digunakan dalam operasi di tengah laut,” kata juruteknik yang bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai itu.
Anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu melakukan ujian daya tahan batang paip ketika digunakan di dalam laut untuk industri minyak dan gas.
Ujian batang paip itu dilakukan sebuah syarikat berkaitan minyak tempatan di Pusat Teknologi Marin, UTM. Hasil ujian adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada syarikat pesaing.
Pusat marin bernilai RM35 juta itu dibangunkan pada tahun 1996 bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kerja komersial di bawah seliaan Jabatan Teknologi Marin malah merupakan yang pertama di Malaysia dan kedua di Asia Tenggara, selepas Indonesia.
Ia dilengkapi pelbagai prasarana terkini dan moden, antaranya tempat ujian model kapal merangkumi sebuah takungan air sepanjang 120 meter dan mesin penguji pergerakan dengan kelajuan maksimum lima meter per saat.
Pusat tersebut juga menyediakan mekanisme penjana ombak bagi menghasilkan olakan air seperti suasana sebenar dan penyerap gelombang. Ia menjadikan pusat berkenaan menjadi tumpuan pelbagai pihak yang inginkan khidmat perundingan mahupun kerja teknikal.
Tugas berat
Mohd. Haidi berkata, dia bersama lima pekerja lain bertanggungjawab melakukan ujian seperti yang dikehendaki pelanggan terbabit.
“Pelanggan mahu kami melakukan kira-kira 300 ujian dalam tempoh tiga bulan. Ia merupakan satu tugas berat kerana setiap hari kami perlu melakukan sekurang-kurangnya 18 ujian rintangan.
“Ujian rintangan batang paip ini amat penting kerana apabila ia dipasang di lokasi sebenar di platform tengah laut, ia sepatutnya mampu menahan arus ombak. Jika gagal, kesan buruk akan berlaku seperti tumpahan minyak,” kata anak kelahiran Labis, Johor yang memiliki kelulusan Diploma Elektronik dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor Bahru.
Ketika ujian dijalankan, beberapa pekerja syarikat minyak terbabit turut berada di lokasi ujian bagi memantau perjalanan ujian berkenaan yang membabitkan kos lebih RM1 juta.
Selain daripada tugas tersebut, Mohd. Haidi juga terbabit dengan kerja-kerja pembinaan prototaip kapal-kapal sebelum melakukan ujian rintangan, kestabilan, ombak dan pendorongan.
Pembinaan prototaip dilakukan di bengkel kayu di makmal berkenaan. Tugas tersebut memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi bagi menghasilkan model seperti lukisan yang diberikan oleh pelanggan atau pihak tertentu.
“Model kapal yang dihasilkan adalah berdasarkan nisbah 1:40 daripada saiz sebenar kapal. Model kapal yang diuji mestilah mempunyai kelajuan sederhana iaitu pada kadar 40 knot dan lazimnya ia untuk kapal yang panjangnya 200 meter pada ukuran yang sebenar,” katanya.
Menimba ilmu
Selain tumpuan pihak luar menjalankan ujian bagi produk-produk mereka, pusat berkenaan juga menjadi medan para pelajar menimba ilmu dalam bidang berkenaan.
Antaranya, Maziah Suraya Abd. Majid, 32, yang kini mengikuti pengajian separuh masa peringkat Sarjana Teknologi Marin dan sibuk menjalankan kajian tentang platform minyak di tengah laut.
Pada masa sama dia turut bekerja sebagai jurutera seni bina kapal dan luar pantai (naval architect) di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa di KL Sentral, Kuala Lumpur.
Setelah enam tahun bekerja, Maziah berpendapat inilah masa terbaik baginya menimba ilmu baharu malahan kemudahan yang ada di UTM tersebut merupakan satu peluang keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.
“Saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran demi menggembangkan kerjaya dalam bidang ini. Ini kerana, saya dapati negara kita kekurangan pakar dalam menghasilkan platform terapung di laut untuk industri minyak dan gas,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.
Ekoran kekurangan itu, pakar-pakar luar terpaksa diimport bagi membantu membina platform terapung berkenaan.
Antara kajian yang dilakukannya termasuk mengenal pasti kemampuan platform dan paip gas menentang arus laut pada paras kedalaman berbeza.
Kestabilan kapal
Seorang pelajar dari Sulawesi, Indonesia, Rahimuddin Samad, 41, sanggup merantau ke negara ini bagi mendalami ilmu berkaitan kestabilan kapal.
Antara perkara yang dipelajarinya termasuk membuat prototaip kapal, menjalankan ujian terhadap model kapal, pembangunan perisian komputer dan stimulasi komputer yang kesemuanya berkaitan dengan kapal.
“Sebahagian ujian perlu diadakan di kawasan laut terbuka seperti di perairan Selat Melaka atau Selat Johor. Ketika kajian dijalankan, pergerakan-pergerakan ombak akan direkodkan. Ini bagi memastikan apabila kapal sebenar dibina, tidak berlaku olengan yang boleh menyebabkan anak-anak kapal mabuk lauk.
“Kajian juga penting bagi memastikan prestasi kapal sebenar, keselesaan dan kemampuan menghadapi rintangan ombak. Jika tiada kajian itu, apabila dipukul ombak yang tinggi, kapal akan pecah sekali gus membahayakan keselamatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: