|
DUA bulan selepas melahirkan cahaya mata sulungnya yang diberi nama Alec Djuara Djoewarsa, Astrid enggan meletakkan dirinya dalam posisi terlalu selesa dan bersantai.
Kali terakhir membuat persembahan ketika usia kandungannya lapan bulan sekitar hujung tahun lalu, membuatkan Astrid benar-benar ghairah untuk kembali beraksi di lantai yang menguji keunggulan vokalnya.
Kata Astrid atau nama sebenarnya Astrid Sartiasari, 31, sepanjang tempoh kelahiran bayi lelakinya secara pembedahan (caesarean) pada tanggal 24 Disember 2012 lalu, dia mahu kembali ligat mengadakan promosi untuk albumnya yang akan muncul menjelang bulan Mei nanti.
"Saya pun kaget apabila sudah kuat untuk bekerja sekarang. Tempoh berpantang biasanya enam bulan. Mungkin kerana terlalu teruja untuk kembali bekerja setelah lama bercuti.
"Lagipun, komitmen ini saya harus lunaskan kerana proses pembikinan album ini sudah dibuat sebelum saya melahirkan Alec lagi jadi sekarang sudah sampai masa untuk saya beraksi semula," ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Astrid diterbangkan khas oleh Sony Music Entertainment Indonesia untuk sesi promosi single terbaharu berjudul Mendua selain dijemput khas untuk menerima Anugerah Lagu Pilihan Popular pusat karaoke RedBox menerusi lagu Tentang Rasa pada malam Rabu lalu.
Mendua
Mengulas lanjut mengenai keunikan lagu berentak balada berjudul Mendua yang dilancarkan terlebih dahulu di Indonesia, kata Astrid, pengertian lagu itu lebih menyakitkan berbanding Tentang Rasa. Ia mengenai situasi seorang wanita yang dikhianati dan dicurangi oleh kekasihnya. Dia memberikan cinta sepenuh hati tetapi lelaki itu menduakan dia akhirnya, kata Astrid yang merakamkan lagu tersebut awal tahun lalu.
|
|
Lagu Mendua dicipta oleh komposer sama yang menghasilkan lagu Tentang Rasa, Ade Govinda dan merupakan single pertama yang daripada album ketiga Astrid.
Lagu itu terpilih untuk menjadi lagu tema drama Diandra yang akan disiarkan di slot Lestary TV3 tidak lama lagi. Sebelum ini lagu Tentang Rasa digunakan sebagai lagu perdana drama Vanilla Coklat.
Sementara itu, Astrid mengakui dia perlu mencari formula baharu untuk turut kekal bersaing dalam industri yang semakin pantas berkembang.
"Saya tidak boleh berhenti berkarya untuk menjadi yang terbaik dan sekarang sudah banyak sekali persaingan. Saya harus melakukan sesuatu baharu dan mempertahankan yang sudah ada sekarang.
"Saya tidak akan berhenti bekerja keras. Kalau ditanya sampai bila, jawapan saya adalah selagi saya masih diinginkan dalam industri dan selagi ada peminat," tuturnya.
Keluarga
Selain itu, Astrid turut merakamkan sebuah lagu ciptaannya sendiri berjudul Lagu Untuk Anakku ketika mengandung lapan bulan.
"Ini lagu pertama yang saya hasilkan sendiri bersama suami untuk anak kami, Alec dan lagu ini saya cipta ketika saya sedang hamil empat bulan.
"Lagu ini mengenai kecintaan seorang ibu kepada anaknya yang sama sekali gembira dan teruja dengan adanya dia. Ia ibarat sebuah nasihat kepada anak supaya membesar menjadi insan berguna suatu hari kelak," jelas penyanyi kelahiran Surabaya, Indonesia itu.
Astrid tidak meletakkan sebarang halangan untuk anaknya memilih haluan hidup pada masa hadapan dan memberikan peluang sekiranya Alec meminati bidang seni.
"Kalau dia mahu jadi penyanyi saya tidak halang, apatah lagi ibunya juga penyanyi. Asalkan rezeki itu halal," tambah Astrid yang tidak keruan berpisah selama tiga hari dari Alec yang ditinggalkannya di Indonesia.
|
|
Astrid bagaimanapun belum merancang untuk mendapatkan cahaya mata seterusnya dalam tempoh terdekat namun tetap memberikan prioriti kepada keluarga selain kerjaya.
"Kalau dulu, apabila keluar rumah saya tidak perlu bawa banyak barang tapi sekarang perlu pintar merancang perjalanan. Saya tidak boleh terlalu lama meninggalkan Alec kerana dia masih kecil," getus Astrid.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: