Syafiq Yusof
Syafiq Yusof
SIAPA sangka, ketika mengarahkan filem pertamanya, SAM (Saya Amat Mencintaimu), Syafiq Yusof baru berusia 18 tahun. Atas faktor itulah dia menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records sebagai pengarah filem tempatan paling muda.

Kini, Syafiq sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila dipilih menerima trofi Pengarah Harapan menerusi garapan filem sulungnya itu dalam Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).

Keputusan juri FFM25 itu dilihat sangat bertepatan. Apatah lagi, idea Syafiq dalam menghasilkan filem pertamanya itu boleh dikategorikan sebagai bijak dan sangat luar biasa jika diukur pada usianya yang masih mentah dalam bidang pengarahan.

Ia sekali gus memperlihatkan Syafiq meneruskan kehebatan keluarga Yusof, setelah abangnya menjulang trofi Pengarah Terbaik dalam FFM bagi dua tahun penganjurannya.

Malah, bapanya, penerbit dan juga pengarah prolifik terkenal, Datuk Yusof Haslam sememangnya optimis sejak awal lagi Syafiq akan memenangi anugerah tersebut berdasarkan hasil kerja anak muda itu.

Menurut Yusof, meskipun optimis kemenangan berpihak kepada anaknya, namun beliau tidak memberitahu perkara tersebut kepada Syafiq.

“Sebenarnya, saya optimis Syafiq menang sebab saya lihat hasil kerja dia tapi saya tak maklumkan pada dia mengenai perasaan saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Festival Filem Malaysia ke-25, malam kelmarin.

Kemenangan Syafiq, sekali gus menewaskan pesaing lain dalam kategori sama iaitu Ghaz Abu Bakar (Hantu Kapcai), Nizam Zakaria (Cinta Kura-Kura), Goh Aun Hoe (SeeFood) dan Teng Bee (Kepong Gangster).
Syafiq terkejut

Ditemui media selepas berakhirnya majlis tersebut, Syafiq mengakui, dia amat terkejut memenangi anugerah tersebut biarpun meletakkan sedikit harapan pada mulanya.

Katanya, dia menggarap filem tersebut atas dasar tanggungjawab yang diberikan oleh bapanya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Syukur, Alhamdulillah. Saya memang tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya hasilkan filem ini atas dasar tanggungjawab dan perkara yang paling saya risaukan, saya akan malukan papa jika hasil kerja saya tidak memuaskan.

“Bagi saya sebenarnya, sudah tercalon dalam Top 5 pun, sudah cukup bermakna,” katanya yang kelihatan gugup dengan kemenangannya itu.

Merasakan karyanya itu masih banyak yang perlu diperbaiki, Syafiq berkata, secara jujurnya, dia belum berpuas hati 100 peratus dengan hasil kerjanya itu.

“Secara peribadi, saya melabelkan hasil kerja saya ini dalam standard B. Tahap kepuasan yang saya perolehi pula hanyalah sekadar 70 peratus,” ujarnya yang menerima trofi dan hadiah berupa wang tunai RM10,000 atas kemenangannya itu.

Dalam perkembangan lain, Syafiq berkata, dia kini dalam proses pembikinan filem keduanya, Abang Long Fadhil, yang digarap daripada filem KL Gangster, mengenai kehidupan Fadhil (Zizan) selepas Malik (Aaron) dimasukkan ke dalam penjara.