Saturday, March 9, 2013

1,001 khazanah tarikan ke UTM

BERMESYUARAT atau sekadar bersantai amat sesuai dilakukan di Rumah Tropika.


SEJAK diiktiraf sebagai sebuah universiti pada tahun 1975, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, Johor bukan sahaja berjaya melahirkan ribuan graduan dalam bidang sains dan teknologi malah kini diiktiraf sebagai sebuah universiti penyelidikan.
Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa UTM yang berkeluasan 1,222 hektar itu mempunyai bangunan-bangunan bercirikan tradisional Melayu.
Malah, persekitaran kampusnya kaya dengan flora dan fauna sekali gus mampu menawarkan percutian berkonsepkan ekopelancongan.
Lebih menarik, ketika para pelancong meneroka kesemua keunikan tersebut mereka dapat menyaksikan kehidupan kampus sebuah universiti berkelas dunia.
“UTM mempunyai pelbagai tarikan yang sesuai untuk ekopelancongan antaranya balai cerapan, hutan rekreasi, taman tropika, litar kawalan jauh, taman rusa dan tasik-tasik yang cantik.
“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti perkhemahan, menjejak rimba, berjalan malam, bersampan, berkayak, abseiling, memancing ikan, berkuda atau sekadar bersantai di tasik-tasik menikmati kesegaran udara dan kehidupannya,” kata Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Profesor Ir. Dr. Wahid Omar.
Tarikan-tarikan tersebut termasuk:
Hutan rekreasi
Mempunyai keluasan 53 hektar, pengunjung pasti teruja menyusuri hutan rekreasi yang kaya dengan kehijauan pokok-pokoknya.
Sebutkan sahaja aktiviti berkaitan hutan, kawasan itu tidak kurang hebatnya. Aktiviti perkhemahan, jalan malam dan program bina semangat boleh sahaja dilakukan di situ.
Anda pasti tidak menjangka, kawasan hutan tersebut juga mempunyai laluan sungai yang berbatu-batu. Memijak batu-batu sambil meredah sungai memberikan cabaran yang tidak kurang menyeronokkan.
Menjalankan semua aktiviti itu membuatkan anda tenggelam dengan suasana hutan yang sunyi sekali gus dapat merehatkan minda dan menyegarkan badan.
Ekoran itu, pihak UTM telah menaik taraf kemudahan yang ada di hutan rekreasi tersebut dengan membina empat buah rumah berkonsepkan tradisonal Melayu.

KANAK-KANAK turut teruja apabila melakukan aktiviti menunggang kuda di Pusat Ekuin.


Taman Tropika
Taman Tropika terkenal dengan tumbuhan heliconia dan halia. Terletak hanya beberapa meter dari pintu masuk utama, taman itu sesuai untuk aktiviti santai.
Dalam kalangan pelajar UTM, taman tersebut merupakan lokasi bagi mereka menyegarkan dan merehatkan diri setelah penat menjalankan pelbagai aktiviti kehidupan kampus.
Selain berjalan-jalan menikmati keindahan tumbuh-tumbuhan, taman berkenaan juga bersebelahan tasik yang sesuai untuk aktiviti air atau sekadar bergambar bersama rakan-rakan atau keluarga.
Taman Rusa
Bagi penggemar rusa atau sekadar untuk membawa anak-anak melihat haiwan itu, Taman Rusa UTM menempatkan 33 ekor rusa bintik atau nama sainstifiknya, axis-axis yang dilepaskan bebas dalam kawasan berpagar.
Duduk di bawah rimbunan buluh dan pokok besar sambil memerhatikan kumpulan rusa bermain sesama mereka atau memakan tumbuh-tumbuhan pasti memberikan pengalaman unik terutama kepada kanak-kanak.
Bagi penduduk yang tinggal berhampiran UTM bolehlah meluangkan masa berjoging di sekeliling Taman Rusa yang berkeluasan 0.8 hektar itu.
Litar kawalan jauh
Bagi peminat kereta kawalan jauh yang ingin mengasah bakat atau meningkatkan kemahiran, UTM turut menawarkan kemudahan trek aktiviti tersebut.
Ia bukan sahaja dibuka kepada para pelajar, malah untuk masyarakat luar terutama bagi mereka yang ingin menganjurkan aktiviti permainan alat kawalan jauh.
Balai cerapan
Bangunan itu terletak di kawasan yang paling tinggi di UTM. Dari atas bukit, pengunjung boleh menyaksikan pemandangan keseluruhan kampus UTM termasuk kawasan perumahan dan pembangunan sekitarnya.
Balai Cerap itu terletak pada paras ketinggian 142 meter dari aras laut. Kawasan bukit itu menjadi tumpuan para pelajar dan kakitangan UTM untuk berjoging atau sekadar berehat-rehat di atas bukit berkenaan.
Pusat Ekuin
Peminat aktiviti berkuda atau yang ingin mencuba menunggang kuda boleh berbuat demikian di Pusat Ekuin UTM.
Dengan kadar bayaran RM5, pengunjung boleh menikmati aktiviti Fun Ride iaitu menunggang kuda padi bagi kanak-kanak atau menunggang kuda biasa untuk dewasa.
Pusat Ekuin itu juga terkenal dengan beberapa aktiviti sukan berkuda bertaraf antarabangsa sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mengenali kuda dan aktiviti berkaitannya.
“Ketika ini Pusat Ekuin mempunyai 18 ekor kuda yang dibeli daripada Australia, New Zealand, Argentina dan Uruguay. Harga seekor kuda mencecah sehingga RM300,000 bergantung kepada kemampuan kuda atau aktiviti sukan yang disertai seperti lompatan, endurance, joget atau untuk persembahan,” kata Pengarah Pusat Ekuin UTM, Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam.
Tasik
SIAPA sangka aktiviti meredah sungai dan meniti batu-batu boleh dilakukan dalam kawasan UTM.


Di UTM terdapat beberapa tasik yang sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah seperti
Tasik Ilmu dan Tasik Desa Bakti.
Selain bersantai di tepi tasik, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti berkayak, mengambil gambar pemandangan dan hidupan liar atau menyertai pertandingan memancing ikan yang sering diadakan.
Masjid Sultan Ismail
Siap dibina pada tahun 1990, masjid yang terletak di kawasan tinggi di tengah-tengah kampus UTM itu mampu memuatkan lebih 10,000 jemaah sekali gus memudahkan para pengunjung untuk menunaikan solat.
Uniknya, masjid itu menggabungkan pelbagai elemen seni bina Islam yang dapat disaksikan seperti kubah elemen seni bina Isfahan dan pintu gerbang pengaruh Iwan di Iran. Tidak ketinggalan mimbar mengadaptasi masjid dari Kaherah, Mesir, tiang sokongan ala Afrika Utara dan menara dari Masjid Biru Istanbul, Turki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: