Saturday, March 9, 2013

Digamit laut biru Teluk Andaman


PHUKET juga mempunyai kawasan yang sesuai untuk membeli barangan cenderamata bagi dibawa pulang.


STATUS Pulau Phuket selaku destinasi pelancongan utama dunia memang sukar untuk dipertikaikan. Penulis yang melancong ke Phuket, Thailand bersama isteri, Nor Asmanira Sulong, 29, selama empat hari baru-baru ini mendapat banyak pengalaman menarik.
Antara tempat yang kami kunjungi termasuk Central Festival Phuket, Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket, Akuarium Phuket, Masjid Bang Tao, Pantai Bang Tao dan Patong.
Pada hari pertama di sana kami menginap di sebuah hotel berhampiran Pantai Patong. Pada hari itu, kami menghabiskan masa dengan bersiar-siar di sekitar Pekan Patong dan menikmati keindahan waktu petang di tepi pantai.
Pantai terindah
Pantai Patong terkenal di Phuket dengan pantainya yang memutih dan air laut berwarna biru kehijauan. Ia menjadikan Pantai Patong antara pantai terindah di pesisir Laut Andaman sehingga mampu menarik pelancong antarabangsa ke Phuket.
Keesokannya pula, kami menaiki sebuah kenderaan dipanggil songthaew ke Central Festival Phuket sebelum mengambil moto teksi ke Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket.
Songthaew merupakan sebuah trak besar yang diubah suai menjadi pengangkutan awam. Mereka yang ingin menjelajah Phuket dengan bajet yang rendah, menaiki songthaew merupakan pilihan terbaik.
Bagaimanapun, anda perlu menaiki songthaew ke pekan Phuket terlebih dahulu sebelum mengambil songthaew lain ke destinasi yang dituju.
Motor teksi pula ialah motosikal yang digunakan untuk mengangkut penumpang di Phuket. Penunggang memakai jaket merah dan pelanggan dinasihatkan berunding harga sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut. Bayaran dikenakan berdasarkan jumlah penumpang dan destinasi yang dituju.
Central Festival Phuket merupakan sebuah kompleks pasar raya yang terkenal di Phuket. Kami sempat membeli cenderamata berupa pelekat magnet peti sejuk untuk dijadikan kenang-kenangan.

PANTAI Patong antara pantai terindah di pesisir Laut Andaman sehingga mampu menarik jutaan pelancong antarabangsa ke Phuket.


Jinak
Kunjungan ke Taman Rama-Rama dan Dunia Serangga Phuket juga tidak mengecewakan kerana kami dapat melihat rama-rama yang bebas berterbangan. Rama-rama yang mempunyai pelbagai saiz serta warna itu cukup jinak dan turut hinggap di badan penulis.
Bagi mengenali lebih mendalam tentang rama-rama dan serangga lain penulis tidak melepaskan peluang memasuki muzium rama-rama dan serangga yang terletak di dalam taman tersebut.
Selepas penat menjelajah sekitar taman rama-rama itu, kami mengambil keputusan untuk keluar dan menahan sebuah moto teksi.
Loghat utara
Pemandu motor teksi itu beragama Islam dikenali sebagai Abdullah yang boleh berbahasa Melayu loghat utara. Saya selesa berbual dengannya tambahan pula ayahnya berasal dari kampung yang berdekatan dengan tempat lahir penulis di Kedah.
Dia telah membawa kami ke sebuah restoran makanan halal di pekan Phuket. Sebelum, kami berpisah penulis sempat mengambil nombor telefonnya.
Selepas makan, kami sempat membeli sedikit barang cenderamata dan bersolat jamak di Masjid Pekan Phuket sebelum pulang ke hotel di Patong.
Hidupan laut
Pada hari ketiga, tumpuan kami pada hari itu adalah untuk melawat Akuarium Phuket dan sebuah perkampungan Islam yang mempunyai masjid terbesar di Phuket iaitu Bang Tao.
Akuarium Phuket kerana terletak di tepi laut iaitu penghujung kawasan Cape Panwa, di timur selatan Phuket. Ia mempunyai keluasan yang sederhana tetapi tetap berbaloi untuk diterokai.
Di akuarium itu, para pelawat boleh melihat pelbagai jenis hidupan laut secara langsung sambil merakam gambar aksi-aksi hidupan itu.
Salah satu tarikan utama di akuarium tersebut ialah sebuah terowong cermin kaca. Para pelawat boleh berjalan di bawah terowong tersebut sambil melihat kehidupan marin. Kami merasakan seolah-oleh berada dalam akuarium yang besar dengan kepelbagaian kehidupan marin lengkap dengan pasir, batu laut, batu karang dan rumpai laut.
Selepas keluar dari akuarium itu, kami menjamu selera di gerai yang diusahakan orang Islam yang terdapat di luar kawasan berkenaan. Selepas itu, kami menghubungi Abdulah untuk membawa kami ke Pantai Bang Tao.

TEROWONG kaca membolehkan pengunjung melihat kehidupan marin di Akuarium Phuket.


Masjid tercantik
Di pertengahan perjalanan, kami singgah solat jamak di Masjid Mukaram di kampong Bang Tao. Masjid Mukaram lebih dikenali dengan panggilan Masjid Bang Tao berusia 46 tahun merupakan masjid terbesar dan tercantik di Phuket.
Selepas mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Bang Tao. Kami rasa teruja menikmati angin sepoi-sepoi bahasa sambil mendengar deruan ombak memecah pantai.
Pantai Bang Tao cukup indah dan keasliannya masih terpelihara berbanding Pantai Patong yang kelihatan agak moden. Malah Pantai Bang Tao lebih bersih daripada Pantai Patong. Kami menghabiskan masa bermain-main di gigi air sehingga hari hampir senja, barulah kami pulang ke hotel.
Pada malam tersebut, kami hanya merehatkan badan di hotel. Keesokan harinya, kami bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia. Percutian di Phuket nyata memberikan kami pengalaman yang indah dan menyeronokkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: