|
|
KOTA BHARU – Biarpun Aidilfitri sering disulami dengan kemaafan, namun bagi seorang nenek, Rokiah Boto yang menjadi mangsa samun di rumahnya oleh cucu sendiri dan seorang rakan cucunya yang telah menerima hukuman penjara Julai lalu, masih sukar memaafkan perbuatan kedua-duanya kerana amat trauma dengan peristiwa itu.
Rokiah, 78, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Taman Binjai Manis, Ketereh berkata, perbuatan cucu dan rakannya itu masih kekal dalam ingatannya dan membuatkan dia berasa sangat takut setiap kali didatangi orang di depan pintu rumah.
“Saya masih tidak boleh maafkan cucu saya. Kejadian pun baru beberapa bulan dan apa yang dilakukan mereka amat kejam.
“Saya yang bertongkat ditolak jatuh ke lantai dan barang kemas yang dipakai diragut. Sudahlah perasaan takut dan sakit masih dirasai, barang berharga saya juga hilang,” katanya.
Kosmo! pada 25 Julai lalu melaporkan seorang cucu bukan saja tergamak berpakat dengan rakan untuk merompak neneknya dalam kejadian di sebuah rumah di Ketereh di sini Jun lalu, malah sanggup membiarkan warga emas itu ditolak oleh rakannya ketika meragut rantai emas dipakai mangsa.
Tindakan jahat cucu itu, Shamsul Kahar Mohamad, 30, rakan sebayanya, Mohd. Ikhwan Abdullah, menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 tahun selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan merompak Rokiah di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Irwan Suainbon turut mengenakan lima kali sebat terhadap setiap tertuduh.
Shamsul Kahar dan Mohd. Ikhwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rokiah dengan melarikan seutas rantai tangan dan seutas rantai emas bernilai RM6,000 yang dipakai mangsa di Taman Binjai Manis, Ketereh pada pukul 1 petang pada 28 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: