AHMAD Idham merupakan pengarah yang bijak menerbit serta mengarahkan filem-filem yang jalan ceritanya dekat di hati para penonton terutamanya golongan muda di negara ini.
Kisah mat rempit atau pelumba haram antara jalan cerita yang sering dipaparkannya menerusi layar perak seperti filem Remp-It (2006), Impak Maksima (2007) dan Adnan Sempit (2010).
Terbaru pengarah berusia 40 tahun ini sekali lagi menggunakan pengaruh watak mat repit menerusi Hantu Bonceng biarpun filem itu dikategorikan dalam genre komedi seram.
Menurut Idham, dia tidak bergantung kepada kekuatan watak mat rempit semata-mata, tetapi banyak lagi cerita dalam bidang permotoran yang boleh diketengahkannya melalui filem.
“Dalam filem Hantu Bonceng saya menggunakan watak seorang penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan segera tetapi ia diolah secara santai.
“Ia tidak sama seperti Remp-It yang lebih ke arah dunia permotoran. Setiap satu filem tentang mat rempit yang saya paparkan berbeza situasi dan latarbelakang kerjaya mereka.
“Sebab itu, saya rasa ada banyak lagi kisah mat rempit atau dunia permotoran yang boleh diketengahkan dalam filem,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pertemuan selepas pratonton Hantu Bonceng di pawagam Odeon itu, pengarah yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah ini menafikan kisah mat rempit membawa pengarah yang negatif.
Sebaliknya kata Idham, dalam Hantu Bonceng yang diterbitkan syarikatnya, Excellent Pictures dia cuba memaparkan banyak mesej berbentuk nasihat yang boleh diteladani para penonton.
“Memang sasaran penonton filem ini adalah remaja dan mereka yang menunggang motosikal. Dalam hal ini, saya mahu tunjukkan antara sebab yang menyebabkan mat rempit insaf.
“Saya pula menggunakan Zizan Raja Lawak melakonkan watak Amran kerana dia juga merupakan penunggang motosikal di Kuala Terengganu suatu ketika dulu.
“Jadi Zizan lebih faham dan boleh menghayati watak Amran dengan baik. Saya juga sudah meneliti karekter Zizan dan dia memang sesuai membawakan watak itu,” ujarnya.
Zizan yang ditemui pada majlis itu tidak menafikan kebanyakan penonton menyukai kisah-kisah mat rempit kerana ia bukan sahaja berkait rapat dengan realiti kehidupan masa kini.
Malah, finalis pertandingan Maharaja Lawak ini berkata, dia dapat melihat penerimaan para penonton terhadap filem seperti itu sewaktu pratonton Hantu Bonceng diadakan.
“Ini adalah kali ketiga saya menonton Hantu Bonceng dan saya dapati penerimaan para penonton cukup baik. Pada pratonton ini sambutannya juga cukup positif.
“Sewaktu 10 peratus pertama tayangan filem ini para penonton ketawa melihat gaya lakonan saya. Saya lega kerana filem ini boleh mencuit hati penonton walaupun saya nampak serius.
“Ini adalah suatu petanda positif di mana saya harap sambutannya akan berterusan dan bukan setakat sewaktu majlis pratonton ini sahaja,” katanya penuh optimis.
Pada majlis pratonton tersebut, seramai hampir 50 ahli kelab Zizan FC hadir memberi sokongan terhadap filem yang menelan kos produksi dan promosi yang mencecah RM1.5 juta itu.
Filem ke-23 arahan Idham dalam genre serius komedi itu akan ditayangkan serentak pada Hari Raya Aidilfitri ini di 80 buah pawagam seluruh negara termasuklah Singapura dan Brunei.
Selain Zizan, turut membintangi Hantu Bonceng ialah Juliana Evans yang melakonkan watak Maya dan Ayu, Jue Aziz (Halimaton), Taiyuddin Bakar (Kunyit) dan Azlan Kami (Dani).
haha napa zizan yg jadi si perempit
ReplyDelete