Sunday, May 1, 2011

Zhariff tidak menangis


KAKI menjadi pengganti tangan untuk melakukan aktiviti harian termasuk makan dan minum.


JASAD kecil insan istimewa Zhariff sewaktu dilahirkan amat berbeza daripada bayi lain. Tiada hembusan nafas, tiada tangisan dan tiada pergerakan.

Malah pakar perubatan yang menyambut kelahiran bayi lelaki pada tarikh 7 Disember 1981 itu mengesyaki bayi itu telah meninggal dunia.

Namun, Tuhan masih memberikan peluang untuk Muhammad Zhariff Afandi hidup dan mencipta pelbagai kejayaan walaupun tanpa kedua-dua belah tangan.

Sepanjang merentas liku-liku hidup sepanjang 29 tahun kini, Zhariff mengakui dia diberi peluang untuk membuat dan mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti manusia normal.

“Saya belajar, berlari, jatuh, dimarah, dihukum, diejek malah mengejek,” luahnya kepada Jurnal.

Mengimbas kembali zaman awal bertatih, Zhariff sudah dihantar ke sekolah tadika seawal usianya dua tahun setengah gara-gara kehendaknya untuk menaiki bas sekolah walaupun jarak rumahnya dengan sekolah berselang lima buah rumah sahaja.

Zhariff melabelkan dirinya sebagai budak lasak dan tidak membataskan aktivitinya.

Ketika berusia empat tahun, dia sudah berani melakukan parasailing di pantai Batu Feringhi, Pulau Pinang.

Pada usia itu juga, atas dorongan dan galakan daripada kedua ibu bapanya, Zhariff memasuki kelas renang dan mendapat latihan intensif daripada jurulatih profesional.

Dia menjadikan perenang terkemuka Amerika Syarikat, Michael Phelps sebagai sumber inspirasi.

Menginjak tahun 1990, dia mula menjinakkan diri dengan aktiviti menunggang kuda.

“Meskipun banyak kali terjatuh, kesakitan itu adalah penawar untuk saya mencuba lebih gigih,” getusnya yang turut menyuntik motivasi melalui muzik trip-hop ciptaannya sendiri.

Minatnya diteruskan ketika menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor dengan aktiviti skuba.

Highland Towers


ZHARIFF turut memiliki akaun Facebook dan laman webnya sendiri.


Insiden kondominium mewah Highland Towers runtuh di Taman Hillview, Hulu Klang pada tahun 1993 banyak menjentik sanubari Zhariff tentang nilai kemanusiaan.

Menceritakan pengalaman hampir kehilangan kedua-dua orang adiknya, Alia Amalina dan Aiman Yahya yang masing-masing berusia enam dan satu tahun, meninggalkan parut bersejarah dalam dirinya.

“Ketika kejadian, saya sedang bermain permainan video di rumah rakan di Blok B yang letaknya bersebelahan Blok A yang runtuh itu.

“Tiba-tiba saya dengar satu bunyi yang amat kuat dan sempat menjenguk ke luar tingkap beranda Blok B sebelum ibu kepada rakan saya merangkul dan membawa kami turun ke kawasan lapang di bawah bangunan.

“Pada masa itu saya hanya terbayangkan nasib adik-adik saya dan cuba berlari sambil meraung-raung ke arah bangunan yang telah ranap yang dilitupi debu-debu tebal.

“Namun, saya dihalang oleh orang ramai,” ujarnya yang akhirnya dipertemukan dengan semua anggota keluarganya dalam kondisi selamat selang beberapa jam selepas runtuhan.

Sementara memulakan semula kehidupan baru, Zhariff sekeluarga diberikan penempatan sementara di rumah bapa saudaranya yang ketika itu bertugas di Kedutaan Taiwan di Kuala Lumpur.

Tsunami


ZHARIFF berlari bersama medal selepas berjaya menghabiskan renangan sejauh 6.5 kilometer dengan catatan masa 2 jam 46 minit dan 47 saat dari Pulau Kapas


“Syukur Alhamdulillah, semuanya kembali normal. Kesan daripada peristiwa hitam itu saya semakin aktif sebagai sukarelawan,” tambah penggemar minuman kopi ini.

Semarak suntikan kemanusiaan terus membara dan bergabung dengan intuisi semangat keremajaan untuk menyumbang bakti kepada golongan yang perlu.

Pelbagai kempen kesedaran dilancarkannya ketika masih menuntut. Antara yang memberi impak mendalam kepadanya adalah kempen Blanket For Life yang berhasil mengumpulkan selimut untuk dihantar ke Afghanistan.

Semasa Aceh dilanda tsunami pada penghujung tahun 2004, Zhariff yang sedang bercuti di Batam, Indonesia turut merasai bahang gelombang bencana alam itu.

Tanpa membuang masa, Zhariff lekas menawarkan khidmatnya di sana.

“Saya mendapat sokongan daripada Ellynita Lamin dan Ririn Syodikin yang baru dikenali ketika itu untuk bersama-sama menawarkan bakti sosial dan logistik di Aceh.

“Setelah beberapa kali pergi dan pulang dari sana, saya memutuskan untuk meneruskan misi saya selama sembilan bulan di sana,” katanya yang kemudian dihadiahkan trauma berpanjangan setelah pulang semula ke Malaysia.

Terapi terbaik yang difikirkannya ketika itu adalah berhijrah ke kawasan yang hampir dengan laut dan pilihan terbaiknya adalah ke Gold Coast, Australia.

Selain mendapat tawaran meneruskan pengajian dalam bidang psikologi di sana, Zhariff menyatakan impiannya untuk berdikari sedikit sebanyak terlaksana.

Sepanjang meneruskan hidup di Universiti Griffith, Australia, Zhariff lebih banyak belajar makna kehidupan sebenar tanpa bantuan daripada keluarga lagi.

“Di sana, saya perlu menghantar pakaian ke pusat dobi sendiri, makan minum atas kudrat sendiri dan landasan hidup hanya dipandu dengan doa keluarga di Malaysia dan semangat juang sendiri dalam hati,” katanya yang aktif dalam sukan papan selaju, bola sepak, bodyboarding selain mendaki gunung dan berenang di laut.

Kehidupan di sana adalah yang paling mencabar baginya.

“Sebulan diperlukan untuk saya menyesuaikan diri dengan persekitaran di tempat baru, semua prasarana sudah tersedia dan orang di sana sangat mengambil berat terutamanya individu seperti saya.

“Malah, penduduk di sana tidak pernah memandang sinis dan menenung saya seperti kebanyakan orang di Malaysia,” katanya.

Menangis bukan penyelesaian buat Zhariff. Prinsip itu dipegangnya sejak kali terakhir empangan matanya pecah berderai tatkala kehilangan datuk kesayangannya yang merupakan bekas Menteri Besar Pahang ketujuh, Tan Sri Yahya Mohd. Seth.

Inisiatif Zhariff

Permulaan kerjaya bagi Zhariff yang berlainan daripada insan lain berhadapan dengan kepayahan sekembalinya ke Malaysia.

“Ramai yang mempertikaikan kebolehan saya disebabkan kekurangan yang ada pada saya namun akhirnya saya dilantik menjadi Ketua Bahagian Perkembangan Perniagaan di PRIDE Foundation iaitu sebuah pertubuhan kanser payu dara,” singkapnya mengenai perbezaan stereotaip yang dilakar masyarakat tempatan.

Kemudiannya, Zhariff dilantik menjadi Pengurus Besar di sebuah organisasi baru berkaitan bidang rekreasi berkuda, Denai Alam Recreation & Riding Club (DARC).

Setelah hampir lima tahun memendam hasrat mempunyai pertubuhan bukan kerajaan sendiri, akhirnya pada bulan Mei tahun lalu, The Zhariff Initiative berjaya dibangunkannya.

Menerapkan elemen kerja sosial, kesedaran umum dan kemanusiaan, Zhariff mencurahkan iltizamnya untuk berbakti kepada masyarakat.

Walaupun mempunyai jaringan kerjasama yang kian mekar, Zhariff belum puas dan tidak ingin mendabik dada.

“Saya berpegang pada prinsip hidup Just Do It! kerana bagi saya tiada halangan buat kita mencapai setiap mimpi yang diidamkan walau bagaimana dan siapa kita sekalipun asalkan ada matlamat dan keperluan,” bicaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: