
Majlis resepsi perkahwinan gilang-gemilang dan penuh protokol milik pelakon, Zed Zaidi dan isterinya, Nelly Natalia berlangsung dengan sempurna di Dewan Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.
Majlis yang bermula seawal 8 malam ini bagaimanapun dikawal ketat oleh 20 orang petugas yang mengiringi pengantin disetiap upacara yang diaturkan sehingga menimbulkan rungutan beberapa jurugambar media kerana menyukarkan mereka untuk mengambil gambar pengantin.
Mengakui petugas itu ditaja oleh Epanco, jelas Zed Zaidi, mereka semua telah pun diberi taklimat terlebih dahulu sebelum majlis resepsi ini berlangsung.
Dihadiri oleh lebih kurang 800 orang tetamu, majlis berkonsepkan moden tradisional ini turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu terhormat dan rakan-rakan artis antaranya Liyana Jasmay, Fizz Fairuz, Kamal Adli, Misha Omar, Emilda Rosmila, dan Intan Ladyana.

Biarpun penat, namun kedua mempelai bersyukur apabila majlis itu telah selamat disempurnakan.
"Saya memang risau dengan perjalanan majlis ni, walaupun berada di atas pelamin tapi hati saya berdebar-debar, takut ada yang datang tidak ada tempat duduk dan macam-macam perkara lain.
"Alhamdulillah, bila majlis selesai walaupun penat, saya berpuas hati dengan perjalanan majlis ini. Saya akui ada beberapa kekurangan, tapi ia tidak mengganggu perjalanan majlis,"jelasnya.
Tamat agenda pernikahan dan persandingan, kini Zed Zaidi dan isteri sedang mencari masa yang sesuai untuk mereka berbulan madu. Memilih Dublin, Ireland sebagai lokasi bulan madunya nanti, Zed berharap dapat bertemu adiknya disana.
"Selain berbulan madu saya mahu melawat adik perempuan saya, Rozleen yang menetap di sana. Dia tidak dapat hadir pada majlis ini, jadi saya akan kesana untuk bertemunya.

Kedua mempelai akan berbulan madu di Dublin, Ireland
"Namun, setakat ini kami berdua masih belum mempunyai tarikh yang sesuai untuk kesana, dan memandangkan cuti tidak lama, jadi kami belum ada tarikh yang benar-benar khusus,"jelasnya lagi.
Tak lengkap sekiranya pasangan pengantin ini tidak menyatakan impian mereka terhadap anak. Mahu segera memiliki anak, Zed tidak sabar mahu melihat wajah anak-anaknya nanti.
"Kalau boleh saya mahukan anak secepat mungkin, dan sebolehnya saya biarlah sebelum saya berusia 30 tahun,"jelas Nelly yang kini baru berusia 28 tahun.
"Saya berserah pada tuhan, itu semua rezeki daripada-Nya, tetapi sebolehnya biarlah secepat yang mungkin kerana saya sudah tidak sabar nak lihat anak-anak saya nanti ikut wajah saya atau Nelly,"luahnya.
Majlis resepsi ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi, Zehra Zamri, Adeeb The Fabolous Cats, dan Zizi The Fabolous Cats.
Pasangan ini telah melangsungkan pernikahan pada 29 April yang lalu di Restoran Felda Villa, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: