Wednesday, May 18, 2011

Vintaj cetus kelainan


Pelbagai rekaan kasut jadi pilihan.


KREATIVITI amat penting bagi membantu membezakan kita dengan orang lain dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Umpamanya dalam memilih jenis perniagaan khususnya dalam rekaan fesyen memang memerlukan daya kreativiti yang tinggi supaya dapat mencipta kelainan untuk menarik perhatian pelanggan.

Kecil molek yang memiliki The Old Blossom Box Store iaitu Jezmine Zaidan, 27, juga contoh anak muda yang kreatif apabila menjadikan vintaj sebagai tema bagi mempelopori fesyen jenama sendiri.

Walaupun tidak dilahirkan pada zaman vintaj tetapi Jezmine berani membawa arus fesyen ini untuk dikombinasi dengan selera semasa.

Biarpun baharu setahun lebih membuka butiknya di 309, Blok 2, Tingkat 3, Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor tetapi Jezmine akui tidak bimbang dari segi persaingan memandangkan pasaran pakaian vintajnya ini ada peminatnya yang tersendiri.

Percubaan pertama dengan memperkenalkan pakaian vintaj dengan jualan secara online pada tahun 2008 telah membuahkan kejayaan.

''Ini bertepatan dengan trend anak muda hari ini yang gemar membeli-belah secara online dan The Old Blossom Box Store memberi pilihan tersebut tanpa perlu bersusah-payah ke luar negara,'' kata Jezmine yang berkelulusan Diploma Pengajian Media dan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.

Jelas Jezmine, pada mulanya niatnya berniaga online itu secara sambilan sahaja kerana pada masa itu dia sudah bekerja sebagai penulis fesyen di sebuah majalah tempatan.

Bagaimanapun disebabkan pasaran online telah mendapat sambutan yang memberangsangkan telah membuatkan dia semakin sibuk dan sukar untuk menumpulkan sepenuh perhatian terhadap kerjaya tetap.

Akhirnya Jezmine mengambil keputusan untuk membuka butik apabila kedua ibubapanya bukan sahaja memberikan galakan malah juga bantuan modal.

''Saya juga tidak menjangka akan memiliki perniagaan sendiri kerana cita-cita asal saya cuma ingin menjadi seorang penulis fesyen yang hebat,'' katanya.

Bagaimanapun kata anak sulung daripada dua beradik ini, setelah membuka perniagaan sendiri baharu dia mula menempuh cabaran sebenar sebagai seorang ahli perniagaan.

Antara cabaran itu termasuk belajar untuk menguruskan akaun dan juga bertemu sendiri dengan pelanggan berbanding sebelum ini cuma berinteraksi dengan mereka secara online.

Mengenai rekaan baju di butiknya, kata Jezmine ada yang direka olehnya sendiri dan ada yang dibeli dari luar negara.

''Ini kerana fesyen vintaj ini menjadi kegemaran kepada remaja di Jepun, Korea dan juga Taiwan dan saya perlu menjelajah ke negara berkenaan untuk mencari rekaan terkini,'' katanya.

Selain itu, Jezmine juga banyak melayari Internet untuk mencari idea terkini mengenai fesyen vintaj yang semakin menjadi kegilaan.

Katanya, kebanyakan fesyen yang dijual ini boleh di suai padan mengikut kreativiti pelanggan.

''Saya bukan setakat menjual baju malah juga aksesori seperti kasut, pin baju, selendang, beg tangan dan sebagainya yang bertemakan vintaj,'' katanya.

Berikutan itu katanya, pelanggan butiknya berusia seawal usia 12 tahun sehingga 40-an.

Jezmine memberitahu, pada bulan Januari lepas dia telah menyertai rakan blogger fesyen untuk menjual produk masing-masing di sebuah pusat membeli-belah di Jakarta.

''Dalam tempoh dua hari itu saya mendapat tahu rupa-rupanya peminat fesyen vintaj sana sudah mengenali Old Blossom Box Store menerusi Internet dan lebih menggembirakan apabila baju yang saya bawa habis dijual,'' ujarnya.

Kata Jezmine, setakat ini pelanggan baju vintajnya adalah dari Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

Untuk sesiapa yang ingin melihat koleksi vintaj Jezmine boleh melayari www.oldblossombox. blogspot.com dan jika ingin mendapat keterangan lanjut boleh menghantar emel ke alamat jezmineblossom@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: