Sunday, May 8, 2011

Variasi sukan kasut roda

pix_middle

DI sebuah gelanggang di Taman Titiwangsa, kelihatan dua kumpulan berentap bermain hoki. Sekali pandang, ia kelihatan seperti permainan hoki ais kerana menggunakan kayu hoki bermuncung leper.

Namun ia dimainkan di gelanggang bersimen dan pemainnya menggunakan kasut beroda untuk meluncur laju sambil membawa bola hoki atau 'disk-shaped puck' untuk dijaringkan.


Itulah corak permainan inline hockey atau hoki kasut roda yang popular di negara Barat seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

  • Foto

    INLINE HOCKEY...seakan-akan sama seperti hoki ais tetapi menggunakan kasut roda.

  • Foto

  • Foto

    PELBAGAI...antara kasut roda yang digunakan.

  • Foto

    BARU...pasukan inline hockey berjaya mencuri tumpuan penonton.

Inline hockey mirip seperti sukan hoki ais daripada segi reka bentuk gelanggang, bilangan pemain serta peralatan sukan itu tetapi bezanya ia menggunakan kasut roda.


Permainan itu adalah satu daripada kategori dipertandingkan dalam Pertandingan Inline Skate "Freedom Life On Wheels" (Flow).


Selain inline hockey, tiga lagi kategori dipertandingkan iaitu inline speed skating, aggressive inline dan freestyle skating.

Pertandingan anjuran Persatuan Inline Skate Malaysia (Misa) itu menghimpunkan lebih 150 penggemar sukan itu yang bukan hanya daripada golongan belia, malah kanak-kanak.


Presiden Misa, Ahmad Idroose Mohad Tambarin berkata, pertandingan itu yang pertama dianjurkan dalam skala besar oleh pihaknya.Katanya, sukan inline skate sudah lama bertapak di negara ini namun belum diberi pendedahan sepenuhnya, menyebabkan ia hanya diketahui sesetengah golongan.


"Ramai menganggap sukan ini hanya sesuai untuk golongan muda berikutan pembabitan mereka lebih dominan berbanding golongan lain.


"Namun ia sebenarnya sesuai untuk semua peringkat usia baik dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa, malah dalam pertandingan ini ada peserta berusia lebih 40-an mengambil bahagian," katanya.


Lebih menarik, lima peserta teratas bagi setiap kategori dipilih menjadi atlet negara untuk berentap dalam Sukan Sea 2011 di Indonesia pada November depan.


Katanya, bagi kategori inline speed skating, aspek kelajuan diberi penekanan, di mana peserta perlu mencatat mangsa terpantas dalam jarak ditentukan.


"Kategori aggressive inline skate pula lebih menarik kerana di sini peserta bebas menunjukkan teknik dan aksi yang mereka mahir.


"Juri menilai daripada segi kreativiti dan tahap kesukaran melakukan teknik berkenaan, termasuk kemampuan mereka gaya pengakhiran sempurna dalam masa satu minit," katanya.


Freestyle inline menuntut kemahiran peserta mengawal keseimbangan mereka ketika melalui 10 kon yang diletakkan bersusun.


Sama seperti aggressive inline, peserta bebas melakukan aksi mereka tetapi jika kon berkenaan disentuh, markah ditolak.


Melihat peserta cuba memperlihatkan pelbagai aksi dan teknik mencabar serta menarik, terdetik di hati bahawa negara mempunyai ramai bakat dalam sukan ini.


Mungkin teknik mereka tidak setanding dengan jaguh inline skate di luar negara namun jika bakat mereka terus diasah menerusi latihan intensif, tidak mustahil akan lahir jaguh dunia inline skate dari negara ini.


Jika dilihat tempoh sukan inline skate bertapak di negara ini, ia mencecah hampir 20 tahun, namun entah mengapa sukan berkenaan belum dikembangkan secara meluas.


Ahmad Idroose berkata, kekurangan kemudahan gelanggang untuk beraksi menjadi satu faktor perkembangan itu seakan-akan terencat.


Memang tidak dapat dinafikan ada gelanggang disediakan oleh kerajaan, namun sesetengahnya tidak diselenggarakan dengan betul sehingga menyebabkan ia terbiar.


"Kebiasaannya sebarang pertandingan inline skating dilakukan dalam skala kecil berikutan kurangnya penajaan.


"Penganjuran pertandingan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata orang ramai bahawa sukan ini mampu pergi lebih jauh jika mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak," katanya.




>INFO
> Pertandingan Inline Skate "Freedom Life On Wheels" (Flow) dianjurkan oleh Persatuan Inline Skate Malaysia (Misa)
> Disertai 150 peserta dari seluruh negara
> Mengetengahkan empat kategori iaitu inline speed skating, aggressive inline, freestyle skating dan inline hockey
> Misa akan mengambil bahagian dalam Hari Belia 2011 pada hujung bulan ini di Putrajaya


>PROFIL
NAMA: Muhammad Ilman Mohd Mokhtar
UMUR: 24 tahun
ASAL: Kajang, Selangor
PEKERJAAN: Pekerja hotel
KATEGORI: Aggresive Inline

DIA terbabit dalam sukan ini bermula daripada bermain papan luncur ketika usia lapan tahun apabila melihat ramai rakannya bermain permainan itu.

Namun apabila usia semakin meningkat, dia berhenti bermain papan luncur dan kekurangan 'geng' yang terbabit dalam sukan itu sedikit sebanyak menjadi faktor.

"Saya mula terbabit dalam sukan inline skating ketika di tingkatan dua kerana terpengaruh dengan trend ketika itu.

"Namun lama kelamaan saya jatuh cinta dengan sukan ini dan terus tidak menoleh ke belakang lagi serta aktif menyertai mana-mana pertandingan," katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang bergiat aktif dalam sukan itu adalah kos penyelenggaraannya.

"Bagi yang berkemampuan, mungkin wang bukan menjadi masalah namun bagi kami, kos membaiki dan menyelenggara kasut roda agak tinggi," katanya.


>PROFIL
NAMA: Craig Matthew Lee
UMUR: 30 tahun
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
PEKERJAAN: Pengarah sebuah syarikat pengiklanan
KATEGORI: Inline hockey

WALAUPUN inline hockey tidak terkenal di negara ini, Craig mempunyai pasukannya sendiri malah aktif menyertai pertandingan di luar negara.

Katanya, di negara serantau seperti Singapura, Hong Kong dan Filipina, sukan ini semakin popular dan mendapat tempat di kalangan peminatnya.

"Mungkin ramai tidak tahu mengenai inline hockey tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk menubuhkan sebuah pasukan.

"Malah kami mampu berbangga apabila berpeluang berentap dengan pasukan handalan dunia dalam beberapa pertandingan dan prestasi pasukan kami sentiasa meningkat," katanya.

Craig berkata, sukan ini sebenarnya mempunyai peminat, namun dikekang oleh beberapa masalah, terutama kemudahan terhad.

"Oleh kerana ia tidak popular di negara ini, sukar mencari kelengkapannya selain kasut roda, malah tenaga kepakaran juga terhad.

"Namun, kami sentiasa melakukan jaringan hubungan dengan peminat sukan ini di luar negara untuk berkongsi maklumat dan pendapat," katanya.


>PROFIL
NAMA: Benjamin Chee
UMUR: 23 tahun
ASAL: Subang Jaya, Selangor
PEKERJAAN: Pelajar
KATEGORI: Freestyle skating

ASALNYA dia jatuh cinta terlebih dulu pada sukan luncur ais, namun akibat pengaruh rakan yang memperkenalkannya kepada inline skating, dia merasakan jiwanya tertarik dengan sukan itu.

Katanya, tatkala meluncur laju sambil melakukan aksi menarik ia seakan-akan memberi kepuasan pada dirinya dan kepuasan itu berganda apabila berjaya melakukan aksi sukar.

"Saya gemar melakukan aksi slide di mana melakukan pengakhiran menarik selepas meluncur dengan kelajuan tinggi.

"Setiap kali berjaya berhenti dengan sempurna, saya bagaikan mendapat semangat baru terutama apabila menerima tepukan gemuruh penonton," katanya.

Pembabitan dalam sukan itu membawanya 'mengembara' ke luar negara apabila menyertai pertandingan di China dan Singapura.

"Walaupun ada kalanya gagal membawa pulang pingat, saya tetap gembira kerana ia memberi peluang berkenalan dengan penggemar sukan itu dari pelbagai negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: