![]() |
| Halid Hasbullah Boestamam |
Universiti Selangor (Unisel) bercadang meningkatkan lagi penglibatan pelajar-pelajar dari Sarawak dan Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu.
Pengarah Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Korporatnya, Halid Hasbullah Boestamam berkata, setakat ini Unisel hanya mempunyai kira-kira 18 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajarnya yang berasal dari dua negeri Malaysia Timur itu.
"Jumlah ini masih kecil dan Unisel menyasarkan peningkatan kepada 30 peratus para pelajar dari kedua-dua negeri itu bagi sesi kemasukan akan datang," katanya ketika ditemui di Unisel Kampus Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Oleh yang demikian katanya, pihak Unisel akan turun padang pada Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak bagi bersemuka dengan lebih dekat dan memberi maklumat kepada masyarakat terutamanya pelajar sekolah mengenai Unisel.
"Unisel juga mengambil peluang dalam Festival Hari Guru ini untuk memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang program yang ditawarkan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.
"Ia seterusnya membantu pihak universiti untuk mencungkil bakat pelajar setempat yang kurang berminat untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atas alasan tidak mahu berjauhan dengan keluarga serta kekangan ekonomi," jelas beliau.
Katanya lagi, Unisel mahu memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat tentang program ditawarkan serta penerangan mengenai kemudahan pinjaman kewangan yang disediakan bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.
"Unisel juga akan memperkenalkan tawaran insentif penajaan bagi pelajar-pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian dengan mempunyai pelepasan pengecualian yuran pengajian.
"Tawaran ini dibuka kepada tiga kategori iaitu bagi program Asasi, Diploma dan Ijazah kepada pelajar-pelajar yang layak bagi tempoh satu tahun pengajian sahaja dalam semua bidang yang ditawarkan oleh Unisel," terang beliau.
Bagi Program Asasi dan Diploma, ujarnya, kelayakan untuk mendapat tawaran ini adalah para pelajar yang mendapat keputusan 5A ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Bagi Program Ijazah pula, para pelajar mestilah mempunyai keputusan nilai gred purata (CGPA) 3.0 ke atas dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma bidang berkaitan.
"Tawaran ini adalah untuk 500 pelajar bagi program Asasi, manakala masing-masing 300 bagi program diploma dan ijazah," ujarnya.
Menurutnya lagi, antara aktiviti yang bakal dianjurkan pada festival berkenaan ialah seminar kepada kumpulan guru-guru kaunseling dan guru tingkatan enam di sekolah-sekolah menengah di Kuching, Sarawak.
"Unisel turut mengadakan seminar bagi pelajar pra universiti atau lepasan STPM dari enam buah sekolah sekitar Kuching.
"Pihak Unisel juga akan mengadakan sesi kaunseling untuk membantu para pelajar memilih bidang yang bersesuaian dengan minat dan keputusan peperiksaan mereka.
"Diharap para pelajar dapat ambil peluang untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang perlu mengenai Unisel dan menanam minat meneruskan pengajian di peringkat universiti," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: