Wednesday, May 18, 2011

Tiga pelajar Malaysia menang pertandingan ISEF Intel


NURUL Amira Salehin (kiri) dan Haleeda Hilmi menang tempat keempat bagi kategori alam sekitar pada Pameran Sains dan Kejuruteraan (ISEF) Intel 2011 di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 17 Mei - Tiga pelajar mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi dua anugerah dalam pertandingan sains dan inovasi untuk pelajar sekolah tinggi yang terbesar di dunia iaitu Pameran Sains dan Kejuruteraan (ISEF) Intel 2011 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Intel semalam, tiga pelajar itu ialah Zawin Najah Zulkefli dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis dan Haleeda Hilmi serta Nurul Amira Salehin dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.

Kajian Zawin Najah iaitu 'Pengesan Polimer Mesra Alam' yang antara fungsinya adalah mengesan gas berbahaya dan bahan letupan mendapat tempat ketiga bagi kategori sains dan alam sekitar dalam pertandingan itu yang berlangsung dari 9 hingga 13 Mei lalu.

"Dia menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$1,000 (RM3,044.50)," jelas kenyataan itu.

Haleeda dan Nurul Amira pula yang bertindak sebagai satu pasukan melalui projek 'Pengesan Pencemaran' (Fishy Detector) mendapat tempat keempat bagi kategori pengurusan alam sekitar dan menerima hadiah wang tunai AS$500 (RM1,522.25).

Pengesan berkenaan merupakan alat mudah alih menggunakan enzim daripada otak ikan puyu untuk mengesan racun serangga, logam berat dan toksin yang tidak dikenali dalam air.

Kenyataan itu memberitahu, seramai 85 pelajar Malaysia menyertai pertandingan Intel ISEF sejak 1999 dan seramai 19 termasuk tiga pelajar tahun ini menang dalam pertandingan itu.

Pengurus Negara Bagi Operasi Jualan dan Pemasaran Intel Malaysia, Prakash Mallya pula yang dipetik dalam kenyataan sama memberitahu, Malaysia secara konsisten telah menghasilkan pemenang dalam pertandingan itu sepanjang 10 tahun ini.

"Ia menunjukkan golongan belia di negara ini merupakan generasi baru saintis, jurutera dan pencipta. Intel akan terus menggalakkan golongan belia menjadi pencipta bagi menjadikan Malaysia negara berpengetahuan dan berpendapatan tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: