Monday, May 9, 2011

Tidak salah mereka berkawan

MAYA dan Lisa Surihani bergandingan dalam LBS2 dan Ombak Rindu.
MAYA dan Lisa Surihani bergandingan dalam LBS2 dan Ombak Rindu.
Maya tersenyum apabila ditanya hubungan Yusry dengan Lisa Surihani

MAYA Karin tersenyum saja apabila ditanya mengenai hubungan Yusry Abdul Halim dengan Lisa Surihani. Seolah-olah ada kelegaan pada wajahnya kerana sebelum ini dia juga pernah dikaitkan dengan duda terhangat itu.Bagi Maya yang turut dipasangkan dengan Lisa dalam filem Lagenda Budak Setan 2: Katerina (LBS2) dan Ombak Rindu, gosip terbaru itu jelas sekali menepis desas-desus menyatakan dia dan Yusry sedang dilamun cinta.
“Eh! saya bukan orang yang tepat untuk disoal pasal Yusry dan Lisa. Perkara itu patutnya ditanya kepada yang empunya diri. Siapalah saya untuk menjawab soalan berkaitan orang lain. Lagipun kedua-duanya kawan baik saya,” katanya tersenyum sambil menjeling ke arah Lisa yang duduk di sebelahnya.

“Apabila cerita ini timbul secara tidak langsung membuktikan saya dengan Yusry memang tiada hubungan. Dia berhak berkawan dengan orang lain, begitu juga diri saya. Jadi kalau kedua-duanya akrab, itu hak mereka,” sambungnya lagi.

Mengenali sisi wanita yang sudah kembali hidup solo itu, sememangnya dia semakin matang menangani segala persoalan sama ada kerjaya mahu pun peribadi.

Ditanya lagi sama ada pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu pernah bercerita mengenai keakrabannya dengan Lisa, Maya menjelaskan, mereka boleh berkongsi apa saja perkara tetapi tetap ada batasannya, lebih-lebih lagi kalau membabitkan hal peribadi.
“Ya, kami masih bertemu. Kalau tidak sempat berjumpa pun, kami berbual di telefon atau berbalas mesej. Banyak perkara boleh jadi topik perbualan, cuma kalau pasal orang lain mungkin tidak.

“Lisa sahabat saya juga. Kami sama-sama berlakon dalam LBS2 dan Ombak Rindu. Kami cukup serasi malah di lokasi kami saling berbincang untuk menonjolkan perwatakan masing-masing, terutama Ombak Rindu yang menampilkan saya sebagai Izzah dan dia sebagai Mila,” katanya lagi.

Enggan membiarkan pertanyaan terus larut dengan persoalan berkaitan masa depan, Maya terus berbicara mengenai kedua-dua filem terbarunya yang dirasakan cukup indah apabila diangkat ke layar perak.

Apatah lagi dalam LBS2, pengarahnya, Sharad Sharan memberikan amanah sebagai Katerina, gadis yang hadir semula dalam hidup Kasyah selepas lelaki itu kehilangan isterinya, Ayu, dan perlu menjaga bayi tunggal mereka.

Manakala menerusi Ombak Rindu arahan Osman Ali, watak ustazah yang terheret ke kancah pelacuran dek sifat tamak bapa saudaranya sendiri disifatkan cukup mencabar kemampuannya.

“Kedua-dua watak ini begitu unik. Saya sebenarnya terkesan dengan Izzah yang begitu sabar menerima dugaan hidup daripada guru agama menjadi pelacur seterusnya berstatus isteri secara sembunyi-sembunyi.

“Hanya wanita cekal saja mampu melalui kehidupan sebegitu dan perwatakan Izzah sangat kontras dengan diri saya. Sukar saya bayangkan ada wanita setabah Izzah membuatkan saya semakin menghargai hidup ini,” kata Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) itu.

Hikmah di sebalik Ombak Rindu

DEMI watak Izzah juga, Maya turut mengambil peluang mendalami agama dan belajar mengaji al-Quran apabila watak berkenaan ditonjolkan turut mengajar kanak-kanak mengaji.

Dibimbing seorang ustazah yang dijemput khas mengajarnya empat kali seminggu, dia tekun memperbaiki kekurangan diri selain mempertajamkan skil lakonan terutama dalam menjiwai emosi Izzah.

“Syukur saya banyak belajar daripada filem ini. Sebelum ini pun saya pernah bertudung di set tetapi dalam Ombak Rindu hampir setiap masa saya mengenakan kerudung.

“Belajar mengaji hampir sebulan juga satu rahmat buat saya yang jika diikutkan sebelum ini sentiasa dihambat masa. Nyata filem ini ada hikmah peribadi buat diri saya,” kata aktres berdarah campuran Melayu-Jerman itu lagi.

Mengambil kata-kata penerbitnya, Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashari bukan hanya istimewa dengan plot sarat emosi malah barisan pelakonnya terdiri daripada penerima anugerah termasuk Maya, Lisa, Bront Palarae, Aaron Aziz, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri dan Fauzi Nawawi.

Info

  • DALAM Ombak Rindu, Maya melakonkan babak panas bersama Aaron.

  • PENGGAMBARAN filem itu mengambil masa 45 hari untuk disiapkan.

  • KREN besar digunakan di tengah laut untuk merakam syot kapal layar.

  • BELAJAR mengaji hampir sebulan.

  • OMBAK Rindu ialah novel Melayu pertama dibaca Maya kira-kira tujuh tahun lalu
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: