Monday, May 9, 2011

Terpantas dan bergaya




KEUNGGULAN fungsi pada rangkaian telefon bimbit pitar Optimus keluaran LG Electronics (LG) semakin mendapat perhatian penggemar gajet elektronik mobiliti.

Dilihat sebagai pesaing kepada beberapa model peranti telekomunikasi moden hari ini, tidak mustahil keluarga Optimus bakal mendominasi pasaran telefon bimbit dunia pada masa depan.

Melengkapkan portfolio Optimus di negara ini, LG menampilkan dua lagi model terbarunya iaitu Optimus 2X dan Optimus Black.

Menurut Pengarah Urusan LG Electronics Malaysia, HK Kwon, kedua-dua model itu menawarkan kombinasi fungsi untuk tujuan kerja dan juga hiburan.

''Kami sangat teruja memperkenalkan model-model ini yang dibangunkan dengan teknologi termaju dan rekaan nipis bergaya.

''Keunikan lainnya, ia mampu melaksanakan pelbagai tugas selain menyokong operasi komunikasi maksimum,'' katanya pada pelancaran media produk itu di Pusat Teknologi LG, Litar Antarabangsa Sepang (SIA) di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Bagi memudahkan pengguna menikmati kecanggihan teknologi gajet-gajet pintar itu pula, LG telah bekerjasama dengan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi Celcom dalam menyediakan pakej pelan data eksklusif.

Maklumat lengkap mengenai model-model tersebut serta pakej yang ditawarkan boleh diperolehi menerusi laman web www.lg.com dan www.celcom.com.my.

LG Optimus 2X

Model LG Optimus 2X merupakan telefon bimbit pintar pertama dunia dilengkapi pemproses berkembar Dual-core Tegra 2 dengan pacuan sistem operasi Android 2.2 FroYo.

Ia menawarkan prestasi unggul daripada segi kuasa multimedia, pelayaran web moden, kepelbagaian aplikasi serta respons sentuhan skrin lebih lancar.

Di samping itu, model berkenaan turut dilengkapi spesifikasi unik lain seperti sambungan kabel HDMI, prestasi grafik yang disokong teknologi NVIDIA dan penjimatan kuasa operasi.

Melengkapkan kecanggihannya, LG Optimus 2X tersedia bersama keupayaan rakaman dan permainan video definisi tinggi (HD) beresolusi 1080p serta sambungan secara wayarles kepada peranti digital DLNA seperti televisyen HD.

Untuk fungsi multimedia pula, model berkenaan dilengkapi teknologi accelerometer, kamera depan dan belakang serta sokongan kad memori MicroSD 32 gigabit (GB).

Bagi tujuan langganan pelan data bersama Celcom, pengguna ditawarkan pakej Celcom Exec dengan harga peranti RM978 termasuk percuma kabel HDMI bernilai RM99.

Tawaran berkenaan boleh didapati daripada semua cawangan Blue Cube di seluruh negara.

Pengguna juga boleh membeli telefon bimbit LG Optimus 2X daripada rangkaian stor LG pada harga pasaran RM1,899.

LG Optimum Black

LG Optimus Black merupakan telefon bimbit pintar generasi baru yang dilengkapi teknologi kecerahan paparan terbaik dan rekaan ternipis.

Menerusi skrin NOVA bersaiz empat inci, ia menawarkan paparan yang terang, jelas dan mudah dibaca walaupun berada di bawah sinaran matahari yang terik.

Kelebihan itu bakal memberi pengalaman lebih natural kepada pengguna ketika melayari laman web, mengakses e-mel dan menjalankan aktiviti multimedia.

Di samping itu, teknologi NOVA turut berupaya mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 50 peratus berbanding LCD konvensional.

Daripada segi rekaan, LG Optimus Black mempunyai ketebalan hanya 9.2 milimeter dan berat 109 gram (g) selain bentuknya sesuai untuk genggaman di tapak tangan.

LG Optimus Black turut dilengkapi spesifikasi pintar Optimus UI 2.0 bagi tujuan kemudahan capaian kandungan dan aplikasi.

Menerusinya, pengguna boleh mengakses mesej, e-mel dan panggilan tidak dijawab hanya menggunakan satu sentuhan jari.

Selain itu, penerimaan gestur seperti sentuhan, gegaran dan tolakan bakal juga bakal memudahkan operasi membuat panggilan, membuka mod kamera atau mendengar muzik.

Keupayaan multimedia lainnya adalah seperti kamera hadapan dan belakang serta rakaman video beresolusi 720p.

Model LG Optimus Black bakal berada di pasaran menjelang Mei 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: