Monday, May 2, 2011

Selera Kampung Restoran Kelah

Pemilik Restoran Kelah, Abdul Ghani Hassan bersama hidangan menu makan tengah hari di restorannya.

KUNJUNGAN pertama penulis ke Restoran Kelah atas ajakan seorang kenalan untuk menikmati hidangan tengah hari nyata tidak menghampakan.

Pelbagai pilihan menu makan tengah hari di Restoran Kelah.

Pelbagai menu sajian tengah hari yang kebanyakannya resepi makanan Melayu tradisional membuatkan mata penulis rambang untuk memilih sebagai santapan pada hari itu.

Menyelerakan!

Bagaimanapun, pemilik restoran itu pasangan suami isteri, Zaleha Abd Rahman, 52 dan Abdul Ghani Hassan, 53, telah memilih beberapa hidangan terbaik untuk dinikmati penulis.

Ikan tongkol masak gulai.

Terletak di Lot 11 No 109 Bukit Lanjan, Off Jalan Damansara, restoran yang beroperasi seawal enam pagi itu turut menyediakan menu sarapan pagi seperti roti canai, nasi lemak, lontong, nasi kerabu dan nasi dagang.

Pucuk manis dengan labu.

Namun sudah semestinya, hidangan menu tengah hari menjadi tumpuan kerana masakan selera kampung yang disediakan oleh pemilik berjaya menambat hati pelanggan.

Bercerita mengenai kepelbagaian masakan di Restoran Kelah, Zaleha memberitahu, semua menu yang disediakan adalah mengikut citarasa dan permintaan pelanggan.

Pecal

“Sajian yang menjadi kemestian di sini adalah seperti masak asam rebus keladi, ikan kukus dengan air asam, masak lemak sayur kampung, sambal jering dan sayur-sayuran kampung sebagai ulam.

“Atas sebab itu juga lauk-pauk itu telah menjadi kewajipan untuk disediakan pada setiap hari,” ujarnya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Pelbagai bubur turut dihidangkan sebagai pencuci mulut kepada pelanggan.

Ketika ditanya mengapa dia dan suami memilih untuk menyediakan masakan berkonsepkan kampung, Zaleha memberitahu, selain permintaan pelanggan, faktor kekurangan restoran menyediakan makanan kampung memberikan ilham kepada mereka untuk menyediakan hidangan itu.

Gulai lemak nenas dengan ikan masin.

Pun begitu, selain menu sarapan pagi dan makan tengah hari, Restoran Kelah yang dibuka sehingga pukul satu pagi turut menyediakan nasi ayam, menu ala carte dan masakan Thai pada sebelah malam.

Pada tengah hari itu, penulis sempat mencuba beberapa resepi istimewa pemilik seperti pucuk manis dengan labu, tempoyak ikan patin, ayam masak kicap, gulai lemak nenas, ikan kukus dan sambal cincalok.

Kesemua lauk pauk itu cukup menyelerakan dan rasa seperti menikmati makanan yang di masak dirumah selain mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi penyediaannya.

Resepi turun-temurun daripada generasi terdahulu memberikan nilai tambah kepada sajian yang disediakan oleh Zaleha.

“Kebiasaannya saya tidak akan memasak sesuatu jenis lauk dalam kadar yang banyak kerana ingin menjaga kualiti dan rasanya,” katanya yang belajar mendapat ilmu masakan daripada ibu dan ibu mertuanya.

Ayam masak kicap.

Dalam pada itu juga, Zaleha berkata sebelum ini dia bukanlah seorang tukang masak yang mahir dalam semua hidangan tetapi memberanikan diri untuk memasak apabila mengambil keputusan untuk membuka restoran itu 13 tahun lalu.

“Selain resepi turun temurun dan belajar daripada keluarga, saya juga banyak mengikuti program masakan di televisyen dan majalah.

Sambal cincaluk

“Sehingga ke hari ini juga saya masih belajar untuk memperbaiki mutu masakan supaya ia sentiasa menjadi pilihan pelanggan,” katanya yang turut menyediakan pelbagai pilihan pencuci mulut seperti bubur pulut hitam, bubur jagung, bubur kacang hijau dan lain-lain sebagai pencuci mulut.

Lebih 30 jenis lauk disediakan setiap hari bagi memenuhi selera pelanggan dan Zaleha memberitahu dia dan pekerjanya mula menyediakan bahan-bahan masakan seawal 6 pagi. Harga makanan di kedai itu juga berpatutan diantara RM4 hingga RM8.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: