Tuesday, May 17, 2011

Rahsia ladang ayam tanpa bau


Ayam yang dipelihara kelihatan sihat yang dapat dilihat daripada bulunya berkilat dan bersinar.


APABILA menjejakkan kaki ke ladang ayam Titian Has Enterprise terasa seperti bukan di ladang ternakan.

Tiada langsung bau busuk. Yang ada hanya bau habuk kayu yang digunakan sebagai lapisan dalam reban dan dua tiga ekor lalat berterbangan.

Bukan itu saja, ayam yang dipelihara kelihatan sihat yang dapat dilihat daripada bulunya yang berkilat dan bersinar.

Jika selama ini ladang ternakan ayam sinonim dengan pencemaran bau dan alam sekitar tapi ia tidak berlaku di Titian Has Enterprise.

"Sekarang ramai penternak ayam datang meminta saya berkongsi 'rahsia' bagaimana ladang ternakan boleh didirikan berhampiran rumah kediaman," kata pemilik Titian Has, Hashim Abd. Rahman semasa ditemui di ladang ternakan ayam dan kambing miliknya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Tidak lokek berkongsi rahsia, Hashim menjelasnya segalanya berlaku apabila pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mencadangkan beliau menggunakan produk GenKimo hasil penyelidikan Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr. Ramli Mohd Noor.

Semuanya bermula apabila MARDI membantunya menyediakan tempat didikan bagi 2,000 ekor anak ayam yang dibahagikan kepada empat kepungan.

"Dalam setiap kepungan, satu lapisan habuk papan diletakkan di sana untuk keselesaan anak ayam.

"Biasanya habuk papan digantikan setiap dua hingga tiga bulan selepas digunakan bagi mengelakkan jangkitan kuman," katanya.

Dalam kajian di ladang berkenaan, dua kepungan dirawat dengan GenKimo manakala dua lagi diberikan makanan ternakan bermutu tinggi.

Hashim berkata, dalam kepungan yang dirawat dengan GenKimo, beliau menyembur cecair GenKimo pada habuk papan selain mencampurkannya dalam minuman dan makanan ayam.

Kadar GenKimo yang disyor dicampurkan dalam air minuman amat sedikit hanya 1:700 liter air manakala habuk kayu disembur pada kekerapan dua hingga tiga hari sekali.

"Hasilnya berat anak ayam meningkat dua hingga tiga gram bagi kepungan rawatan GenKimo.

"Ini disebabkan kadar pertukaran bahan makanan kepada berat badan ayam amat efektif berbanding makanan biasa," katanya.

Ini kerana GenKimo yang masuk ke dalam saluran penghadaman akan menghapuskan patogen pada ternakan dan merangsang kadar penghadaman.

Selain itu imuniti terhadap penyakit akan meningkat dan ternakan akan menjadi lebih sihat dan cergas.

Justeru penternak dapat memasarkan ayam dengan lebih cepat kerana kadar pertukaran makanan kepada berat badan berlaku lebih efisien.

"Jika dulu ayam hanya mencapai berat 700 gram hingga 1.5 kg dalam masa dua hingga tiga bulan dengan GenKimo, berat badan ayam boleh mencapai 1.2 hingga 1.4 kg dalam masa dua hingga empat bulan yang sesuai untuk dijual.

"Jadi apabila ternakan dapat dijual lebih awal, penternak dapat mengurangkan kos makanan sebanyak setengah hingga sebulan," katanya.

Malah Hashim menambah, bagi pusingan pertama, penjualan daging ayam menggunakan GenKimo mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau yang menjual ayamnya kepada Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi FAMA Negeri Sembilan dan Perak mendapat maklum balas menggalakkan daripada pelanggan.

"Pelanggan suka daging ayam yang lebih enak dan lazat berbanding yang tidak menggunakan GenKimo," katanya.

Apa yang menggembirakan Hashim, sejak menggunakan GenKimo, kadar kematian anak ayam menurun sehingga dua peratus.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos akibat kematian anak ayam," katanya.

Di samping baik kepada ternakan, GenKimo juga dapat membantu dalam mengurangkan pencemaran bau di ladang ternakan.

"Malah habuk papan yang disembur dengan GenKimo boleh digunakan semula empat hingga enam kali setahun sebelum dijadikan baja berbanding tidak dirawat," katanya.

Apabila ditanya jika Hashim akan bertukar kepada GenKimo sepenuhnya, beliau dengan yakin akan terus memberikan GenKimo bukan saja pada ternakan ayam tetapi juga kambing.

"Jika dulu ramai penduduk yang datang ke sini bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan bau reban ayam tetapi kini mereka datang kerana meminta nasihat untuk mendirikan reban ayam berhampiran rumah mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: