Monday, May 2, 2011

Proton Persona pilih deejay


DEEJAY Lin (kiri) tidak memiliki lesen memandu sehingga dia terpilih menjadi duta Persona sempena kempen Proton Persona-Sememangnya Lebih Sempurna.


WALAUPUN takut untuk memandu kereta dan belum memiliki lesen memandu, Roslinda Abdul Majid, 36, atau dikenali dengan panggilan Deejay Lin menyahut cabaran untuk mengambil lesen memandu. Dia kini telah mempunyai lesen L.

Semuanya disebabkan penyampai radio Suria FM itu telah dipilih menjadi duta kereta Proton Persona oleh syarikat Proton Edar Sdn. Bhd.

“Sebelum ini, saya tiada lesen memandu kereta malah tidak pernah memandu kenderaan empat roda itu kerana takut.

“Untuk pergi ke stesen radio tempat saya bekerja, saya akan menunggang motosikal atau menyuruh kawan-kawan hantar.

“Tetapi selepas terpilih menjadi duta kereta Proton Persona, saya sahut cabaran untuk memperoleh lesen memandu kereta,” katanya yang terpilih bersama dua lagi deejay radio iaitu Aanantha dan Jack Lim sebagai duta Proton Persona untuk kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna.

Ketiga-tiga duta itu akan berperanan sebagai mentor dan berkongsi pengalaman hidup melalui kempen masing-masing.

Sebagai ibu tunggal, Lin akan mengunjungi kediaman ibu-ibu tunggal dan berkongsi pengalaman menjadi ibu tunggal selama lima tahun.

“Saya juga akan terlibat dengan bengkel Memperkasakan Diri pada 18 Jun depan khusus buat ibu-ibu tunggal,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen itu di kafe Delicious, Marc Residence, Kuala Lumpur.

Menjadi mentor kepada ibu-ibu tunggal yang terpilih, Lin akan menyuntik semangat mereka untuk terus maju dalam hidup dan jangan sekali-kali menyerah kalah.

Lin juga akan merakamkan drama radio berkisar tentang kehidupannya yang bakal ke udara di Suria FM pada bulan Mei nanti di slot Pagi Bersama Halim & Zizi dan slot Petang Bersama Linda Onn.


LIN bergambar dengan Pengurus Besar Pemasaran Proton Edar, Abdul Sidik Abdul Hamid (kiri) serta duta kereta Proton Persona, (dari kanan) Jack Lim dan Aanantha.


Ditanyakan adakah dia tidak kisah mendedahkan kisah hidupnya kepada umum, Lin memberitahu, semuanya disebabkan dia ingin berkongsi pengalaman dengan ibu tunggal yang lain.

Sementara itu, deejay Aanantha atau nama sebenarnya Anand Rajaram, 34, akan menyasarkan bengkel motivasi untuk golongan muda yang berumur tujuh hingga 18 tahun.

Aanantha yang mengendalikan slot Pagi Ceria bersama deejay Uthaya untuk stesen THR Raaga pada hari Isnin hingga Jumaat itu juga akan memilih tiga peserta untuk muncul dalam klip video kumpulannya.

“Saya akan memilih tiga orang peserta untuk merakamkan klip video untuk salah satu lagu dalam album saya,” katanya yang mempunyai sebuah kumpulan muzik bersama abangnya, Ram yang dikenali sebagai Synergy.

Berbeza pula dengan Jack Lim yang merupakan deejay bagi stesen My FM.

Lim akan melakukan cabaran memandu selama 15 jam dari Perlis ke Johor dan mengajak beberapa individu untuk turut sama menyahut cabaran itu.

Menurut Pengurus Besar, Bahagian Pemasaran Proton Edar, Sidik Abdul Hamid, kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna membolehkan syarikat pengedar kereta itu berkongsi pengalaman dengan rakyat Malaysia khususnya dalam memilih kereta yang sesuai dengan keperluan mereka.

Semua aktiviti sepanjang kempen itu boleh diikuti menerusi laman web www.protonpersona.com. Kempen tersebut bermula April lalu hingga Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: