Thursday, May 19, 2011

Program cegah kehamilan monyet liar


MAKANAN yang mudah diperoleh di kawasan bandar menyebabkan monyet mula menyerang bandar-bandar besar seperti Kowloon.


POPULASI monyet liar terus berkembang dengan menjadikan Hong Kong, sebuah hutan konkrit sebagai habitatnya.

Tanpa menghiraukan hiruk-pikuk Hong Kong, ia menyebabkan kerajaan negara itu memperkenalkan kawalan kelahiran untuk mengawal ledakan populasi haiwan tersebut.

Keprihatinan segelintir masyarakat bandar kosmopolitan yang menempatkan kira-kira 7 juta penduduk dengan memberi makanan kepada monyet-monyet berkenaan turut membantu meningkatkan lagi spesies haiwan itu sehingga melebihi 2,000 ekor kebelakangan ini.

Ledakan populasi haiwan itu juga telah meningkatkan aduan gangguan mengenai monyet-monyet berkenaan yang sudah luntur perasaan semula jadi gentar kepada manusia.

"Saya rasa masih banyak kawasan untuk hidupan liar. Bagaimanapun, apabila desa dan bandar raya terletak hanya bersebelahan antara satu sama lain ia menimbulkan konflik apabila monyet-monyet ini sudah berani memasuki kawasan bandar," kata Chung-tong Shek dari Jabatan Pemuliharaan Kerajaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, aduan mengenai monyet agresif mengejar pejalan kaki, menyambar beg dan mencapai saku untuk mendapat makanan telah meningkat seiring dengan peningkatan spesies berkenaan.

Pada bulan April lalu, terdapat seekor monyet yang berjaya meloloskan diri sehingga berada di pusat Kowloon berdekatan deretan kedai-kedai kamera, hotel dan butik fesyen.

"Terdapat banyak makanan yang boleh diperoleh di tong sampah di bandar ini. Setengah daripada haiwan ini akan tersesat di bandar dari semasa ke semasa," kata Shek kepada AFP.

Walaupun larangan memberi makanan kepada monyet sudah dikuatkuasakan kerajaan dengan denda akan dikenakan sehingga AS$1,287 (RM3,850), namun nampaknya ia tidak berhasil.

Jadi, kerajaan telah menukar strategi kepada kawalan kelahiran.

Pada tahun 2002, ujian lapangan telah dilaksanakan. Ia merupakan program menyekat kelahiran pertama di dunia menyasarkan populasi monyet dengan menggunakan kaedah tertentu termasuk vasektomi pada beruk jantan dan suntikan sementara pada monyet betina.

Kini program berkenaan menumpukan kepada pensterilan beruk betina yang dilakukan sebanyak dua kali sebulan.

Kaedah tersebut yang mengasi monyet tersebut buat selama-lamanya atau sementara waktu telah berjaya mengumpulkan hampir 1,500 ekor. Namun, masalah utama yang timbul melalui keadah itu adalah untuk menangkap monyet-monyet tersebut.

Kebanyakan monyet berkenaan berada di semenanjung Kowloon terutamanya sekitar Kam Shan dan taman-taman Lion Rock. Ada juga kumpulan-kumpulan berada di sempadan utara barat.

"Amat sukar untuk menangkap monyet. Kita telah mencuba banyak kaedah," kata jurucakap Jabatan Pemuliharaan, Sally Kong.

Jaring, sangkar perangkap, umpan hidup, perangkap dan senapang lisu telah digunakan untuk menangkap monyet-monyet berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua kaedah tersebut hanya boleh digunakan beberapa kali sahaja kerana haiwan berkenaan akan menjadi pintar dan mempelajari menghindarinya.

Tidak lama dahulu, monyet-monyet itu juga boleh mengenal pasti individu dan kenderaan Jabatan Pemuliharaan dan mengelak daripada mereka.

Kini, sangkar umpan besar akan dibiarkan terbuka selama beberapa hari dengan manusia dikenali dan dipercayai monyet-monyet berkenaan memberi makan kepadanya.

"Dengan cara itu, apabila kami menangkap haiwan berkenaan ia tidak akan cemas. Ia akan terus menikmati hidangan di dalam sangkar besar berkenaan kerana telah mengunjungi beberapa kali sebelum ini," kata Ketua Doktor Haiwan Yayasan Pemuliharaan Taman Lautan, Paolo Martelli yang bertanggungjawab melaksanakan pensterilan itu.

"Apa yang kami lakukan adalah membuang tiub. Terdapat tiub kecil yang kami potong semasa melakukan pembedahan kecil di antara uterus dan ovari. Kami masuk, keluarkan dua tiub dan keluar. Ia hanya mengambil masa selama beberapa minit," kata Martelli.

Jelasnya lagi, ia adalah baik dalam mengekalkan ovarinya kerana ia memainkan peranan penting dalam hormonnya.

Program berkenaan telah mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan hak haiwan.

"Pencegahan kehamilan adalah lebih baik berbanding meracun atau menggunakan kaedah maut yang akan menyebabkan haiwan-haiwan ini menderita," kata jurucakap People for the Ethical Treatment of Animals di rantau Asia Pasifik, Ashley Fruno.

Monyet-monyet terdapat di Hong Kong dipercayai berasal dari keturunan beruk resus yang dilepaskan sewaktu abad lepas untuk memakan tumbuh-tumbuhan di sekitar takungan membekalkan minuman air kepada bandar raya tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: