GEORGE TOWN – Penagih dadah sintetik kini ibarat hilang punca untuk mendapatkan bekalan syabu, heroin dan ekstasi ekoran polis melumpuhkan satu sindiket terbesar di negeri ini membabitkan nilai rampasan sebanyak RM10.53 juta.
Serbuan selama enam hari bermula 12 Mei lalu di sembilan buah rumah mewah di Jalan Dato Keramat, Jalan Air Itam, Jalan Perak dan SP Ceria itu dapat menahan seramai 10 lelaki dan empat wanita termasuk dua warga China berusia di antara 20 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Kejayaan itu hasil gabungan dua kontinjen iaitu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya dapat membongkar enam makmal memproses pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu dan ekstasi serta tiga stor simpanan bahan khayal itu.
Katanya, selain merampas peralatan dan bahan-bahan kimia memproses dadah, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Auto Ilama bersama 77 butir peluru hidup pelbagai kaliber.
“Kesemua dadah, bahan kimia dan peralatan tersebut dianggarkan bernilai RM10.53 juta dan ini merupakan kejayaan terbesar untuk mengekang pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: